Autre-Coetzee-Biografi?


Kejujuran pengarang? Saya selalu dengar pendapat atau komen atau kritikan atau pujian - malah kutukan - dilakukan menggunakan kata ini, iaitu "kejujuran", seolah-olah pengakuan seorang pengarang itu mesti bermoral, atau dalam kata lain, tidak menyelewengkan pembaca untuk mempercayai sebuah cerita itu ditulis daripada pengalaman yang bukan milik pengarang itu sendiri. Lebih teruk ialah apabila seorang penulis diminta bertanggungjawab ke atas kata-kata atau perbuatan yang dilakukan oleh watak dalam sebuah cerita. Saya kira, sepanjang saya mengenali fiksyen dan kepengarangan J. M. Coetzee, masalah atau dilema ini - iaitu konfrontasi kuasa antara fakta dan fiksyen - sentiasa menjadi subjek yang diperdebatkannya dengan serius dan komikal. Summertime ialah novel lewat Coetzee dan adalah antara novel terbaiknya selepas Disgrace dan Waiting for the Barbarians. Novel ini, bersama tetralogi Nathan Zuckerman tulisan Philip Roth dan cerpen-cerpen Roberto Bolano, meletakkan fiksyen betul-betul di bawah mikroskop pembacaan kita; dan spesimen ini - yang Coetzee sebut sebagai "autre-biografi" - dilahirkan atau diciptakan untuk melakukan provokasi dan mencabar andaian dan pemikiran stereotaip pembaca terhadap hubungan kepengarangan dengan kuasa autonomi fiksyen.

Satu benda - ada banyak benda lain juga tetapi ini idea paling penting - yang saya belajar selepas membaca Summertime, dan boleh kata semua novelnya, ialah kehidupan sebenar seorang pengarang itu ialah ibarat sebuah rumah terpencil di atas bukit, dan fiksyen - atau sastera - itu ialah dunia di luar rumah itu. Fiksyen membebaskan dan seterusnya melengkapkan diri saya sebagai manusia. Adalah kesilapan besar - dan suatu pemikiran naif - untuk pembaca datang mencari anugerah serta sumbangan seni seorang pengarang di dalam rumahnya. Kenapa? Kerana dia sudah lama keluar dan sedang berada dalam fiksyen. Dalam hal ini juga saya akan sentiasa ingat dua nasihat - kedua-duanya saling bertentangan - iaitu, pertama, daripada Borges yang mengatakan "semua karya sastera adalah autobiografi" dan, kedua, daripada Martin Amis yang melihat "kehidupan telah mati" dan untuk menulis secara langsung daripada pengalaman peribadi adalah sekatan, sementara menulis dari dalam dalam fiksyen adalah membebaskan.

Ia membebaskan seorang pengarang daripada kejujuran dirinya.

Comments

Popular Posts