Penulisan Cerpen dan Pembinaan Kota Imaginasi



"Three hundred miles and more from Chimborazo, one hundred from the snows of Cotopaxi, in the wildest wastes of Ecuador's Andes, there lies that mysterious mountain valley, cut off from the world of men, the Country of the Blind. Long years ago that valley lay so far open to the world that men might come at last through frightful gorges and over an icy pass into its equable half-breeds fleeing from the lust and tyranny of an evil Spanish ruler. Then came the stupendous outbreak of Mindobamba, when it was night in Quiyo for seventeen days, and the water was boiling at Yaguachi and all the fish floating dying even as far as Guayaquil; everywhere along the Pacific slopes there were land-slips and swift thawings and sudden floods, and one whole side of the old Arauca crest slipped and came down in thunder, and cut off the Country of the Blind for ever from the exploring feet of men."
(Dipetik dari cerpen H. G. Wells The Country of the Blind)


"Para pelancong mengunjungi kota kami untuk menyaksikan kepedihan. Mereka datang untuk menonton kota kami yang hancur. Kemunculan para pelancong itu membuat kesibukan tersendiri di kota kami. Biasanya kami duduk-duduk di gerbang kota menandangi para pelancong yang selalu muncul berombongan mengedarai kuda, keledai, unta, atau permaidani terbang dan juga kuda semberani. Mereka datang dari segenap penjuru dunia. Dari negeri-negeri yang gemerlapan."
(Dipetik dari cerpen Agus Noor Piknik)


"With a clamor of bells that set the swallows soaring, the Festival of Summer came to the city Omelas, bright-towered by the sea. The rigging of the boats in harbor sparkled with flags. In the streets between houses with red roofs and painted walls, between old moss-grown gardens and under avenues of trees, past great parks and public buildings, processions moved. Some were decorous: old people in long stiff robes of mauve and grey, grave master workmen, quiet, merry women carrying their babies and chatting as they walked. In other streets the music beat faster, a shimmering of gong and tambourine, and the people went dancing, the procession was a dance. Children dodged in and out, their high calls rising like the swallows’ crossing flights over the music and the singing. All the processions wound towards the north side of the city, where on the great water-meadow called the Green Fields boys and girls, naked in the bright air, with mud-stained feet and ankles and long, lithe arms, exercised their restive horses before the race. The horses wore no gear at all but a halter without bit. Their manes were braided with streamers of silver, gold, and green. They flared their nostrils and pranced and boasted to one another; they were vastly excited, the horse being the only animal who has adopted our ceremonies as his own. Far off to the north and west the mountains stood up half encircling Omelas on her bay."
(Dipetik dari cerpen Ursula K. Le Guin The Ones Who Walk Away From Omelas)


Pembinaan fiksyen ialah pembinaan kota imaginasi dalam diri pembaca. Setiap pembaca, setiap manusia, lahir di dunia ini sebagai manusia kota walaupun dia mungkin tidak membesar di sebuah kota. Bermula dari dalam sebuah rumah seorang bayi itu telah mula membina pandangan hidupnya sebelum dia membuka matanya ke dunia di luar jendela dan dari situ membina rumah yang lebih besar dalam mindanya sehingga rumah itu menjadi sebuah kota memori. Kita belajar ini dengan membaca karya penulis moden seperti Marcel Proust, Virginia Woolf, dan James Joyce yang membawa sastera kembali ke dalam minda setelah ia dilontar keluar ke tengah alam dan masyarakat pada abad kesembilan belas ketika zaman keemasan novel berbentuk realisme. Di zaman moden dan selepasnya, pembaca telah menjadi arkitek kepada minda mereka sendiri.

Joyce membina kota Dublin melalui buku kumpulan cerpennya berjudul Dubliners. Dalam cerpen-cerpen ini kita dibawa melihat bukan sahaja kehidupan harian masyarakat Dublin, tetapi Joyce juga membenarkan kita untuk mendengar suara dalaman watak-wataknya. Seperti Flaubert dan Chekhov, kehadiran pengarang dalam cerita tidak ada sama sekali. Jadi untuk hidup dalam kota Dublin Joyce kita mesti bersedia untuk menjadi watak-wataknya. Joyce telah menulis ini dalam salah satu suratnya: "My intention was to write a chapter of the moral history of my country and I chose Dublin for the scene because that city seemed to me the centre of paralysis." Memang masalah paralysis itulah yang kita temui dalam buku ini dan juga novel-novelnya. Ia dilukiskan bukan sahaja melalui watak, plot, dan latar, tetapi selalunya melalui ketiadaan unsur-unsur itu. Buat pertama kalinya dalam tradisi penulisan cerpen, ellipsis digunakan dengan kerap seolah-olah Joyce ingin membina sebuah puisi dari keruntuhan moral kota Dublin. Dalam kata lain, bahasa tidak lagi tunduk kepada tuntutan realiti, tetapi melalui kegeniusan linguistik Joyce, realiti telah dipaksa tunduk kepada kuasa bahasa pengarang. Tradisi ini kemudian diteruskan oleh Ernest Hemingway dan Raymond Carver ke satu tahap di mana bahasa fiksyen itu menjadi terlalu minimal sehingga kompleksiti dalaman watak telah diabaikan. Di tangan Haruki Murakami, emosi watak kembali bersuara dan kita menemui lapisan-lapisan yang lebih dalam berbanding dengan apa yang pernah dilakukan oleh Joyce mahupun Chekhov.

Dubliners ialah kemuncak pencapaian cerpen realistik moden. Ia adalah contoh terbaik di mana sebuah kota boleh diruntuhkan oleh mata pena seorang pengarang dan dibina semula melalui kata-kata puisi.

Namun bukan semua penulis itu berminat dengan apa yang dilihat di depan matanya. Ada penulis yang merasakan bahawa wujudnya dunia yang lebih indah dan kompleks dalam diri seorang manusia. Mereka ialah Don Quixote yang memburu sesuatu yang tidak boleh dilihat oleh mata tubuh, tetapi mesti direnung dengan dalam oleh mata imaginasi. Mereka ialah pencipta kota mimpi. Dan juga pada sama para ahli psikologi sebenar psyche manusia. Dalam tradisi ini kita menemui penulis seperti E. T. A. Hoffmann, Nikolai Gogol, Edgar Allan Poe, Ambrose Bierce, Henry James, H. G. Wells, Borges, Calvino, Kafka, Marquez. Setiap seorang daripada penulis ini ialah pencipta dunia imaginasi yang genius. Kita boleh mengkritik bahasa Poe dan Lovecraft sebagai terlalu lewah, namun adakah penulis yang boleh mencipta sebuah dunia yang bernafas dan berotot-otot seperti mereka? Kalau kita boleh hiris mana-mana satu daripada cerpen Lovecraft itu, maka akan meleleh keluar darah hitam yang pekat. Antara semua penulis ini, saya rasa Marquez ialah yang paling kaya dan boleh kata, hampir sempurna, dari segi pembinaan sebuah kota imaginasi. Bacalah mana-mana satu daripada cerpennya dan anda akan menemui pembinaan dunia yang padat dengan kata-kata sensual dan puitis seolah-olah kita sedang dipukau oleh seorang ahli sihir untuk dibawa lari ke sebuah alam mimpi. Di negara kita, Roslan Jomel ialah penulis yang paling kuat menerima pengaruh Marquez dan boleh dikatakan tidak korban terus ke dalam kubur akibat pengaruh itu. A. Samad Said dan Shahnon Ahmad sudah terlalu tua ketika mereka bertemu dengan One Hundred Years of Solitude dan, akibatnya, novel-novel ala Marquez mereka itu gagal menjadi original. Mereka karam dalam imaginasi Marquez. Di Indonesia, telah muncul sebuah novel berjudul Cantik Itu Luka tulisan Eka Kurniawan yang saya lihat bukan sahaja novel terbaik di rantau ini sekarang, tetapi juga novel yang bakal mengubah tradisi penulisan novel kita. Walaupun darah One Hundred Years of Solitude itu mengalir dengan begitu deras dalam novel Eka, tetapi ia tidak pernah menjadikan Eka itu Marquez. Dewi Ayu ialah watak perempuan yang sangat menggodakan peribadinya sehingga dia boleh berdiri sama tinggi dengan watak Emma Bovary ciptaan Flaubert. Apabila membicarakan Eka ada satu perkara yang membingungkan saya. Kenapa pencapaian cerpennya itu tidak sehebat novel Cantik Itu Luka? Ya, dia memang ada menulis beberapa cerpen yang bagus, namun kalau nak dibandingkan dengan Seno Gumira Ajidarma atau Agus Noor, Eka itu jauh di belakang. Malah saya berani mengatakan yang Roslan Jomel ialah cerpenis yang jauh lebih bagus dan original dari Eka.

S. M. Zakir berpendapat yang fiksyen di negara kita adalah lebih baik dari fiksyen di Indonesia. Hanya puisi mereka yang kita tidak boleh lawan. Sudah tentu penyair yang dimaksudkannya ialah Chairil Anwar dan Amir Hamzah. Dari segi fiksyen, kalau kita menggunakan cerpen sebagai kayu ukur, memang ada benar kata-kata Zakir itu. Shahnon Ahmad dan Anwar Ridhwan ialah dua orang cerpenis terbaik kita yang dari segi jumlah dan pembinaan naratif dan penggunaan bahasa, boleh menyaingi mana-mana cerpen terbaik dari Indonesia. Kalau saya diminta pilih satu genre dalam sastera kita untuk dijadikan panji untuk dibawa ke pentas sastera antarabangsa, maka saya akan pilih cerpen. Namun, panji ini sebenarnya masih belum kuat sulaman benangnya. Tradisi penulisan cerpen kita, kalau nak dibandingkan dengan negara-negara lain, masih muda dan belum mencapai kemuncaknya. Walaupun Anwar Ridhwan telah menulis Naratif Ogonshoto, tetapi pencapaiannya kalau nak bandingkan buku itu dengan cerpen terbaik Chekhov, Joyce, atau Marquez, Anwar masih jauh di belakang. Imaginasi para penulis kita masih belum meledak dengan sepenuhnya. Kota yang ingin kita binakan masih terikat dengan pandangan hidup dan struktur binaan yang lama.

Saya memilih tiga cerpen di atas bagi menunjukkan contoh tiga pembukaan terbaik sebuah cerpen. Dari ayat pertama lagi ketiga-tiga orang cerpenis ini telah membenamkan kita dalam kota imaginasi mereka. Satu lagi sebab saya memilih cerpen mereka ialah kerana latar yang mereka ciptakan adalah rekaan semata-mata dan memang tidak wujud dalam kehidupan sebenar. Lagipun, pentingkah sama ada sebuah dunia fiksyen itu memang wujud atau tidak? Bahasa bukan lahir dari dalam kamus atau dari sebuah sistem yang dicipta oleh masyarakat. Bahasa lahir dari dalam minda kita. Bahasa ialah pandangan hidup peribadi setiap manusia. Tidak ada bahasa yang benar-benar mutlak. Setiap manusia ialah pencipta bahasa. Dan setiap bahasa yang diciptakan itu dicetuskan oleh satu ledakkan kuat dalam diri kita yang kita kenali sebagai kuasa imaginasi.

Comments

Popular Posts