Kematian Tradisi Penulisan Kritikan
Sesiapa pun boleh mengaku dirinya seorang pengkritik sastera seperti sesiapapun boleh mengaku dirinya seorang penyair. Namun, adakah orang itu benar-benar mengenali genre yang dipilihnya? Adakah hanya kerana dia sudah bergelar sasterawan maka cukuplah syarat untuk dia menulis kritikan dan dari situ mengakui dirinya seorang pengkritik? Ada ramai penulis kita yang perlu jawab soalan ini. Antaranya ialah S. M. Zakir, Nisah Haron, Marsli N. O. Kemudian adakah hanya kerana dia sudah menjadi seorang ahli akademik - seorang sarjana sastera - dan barangkali pada sama juga seorang sasterawan, maka sudah cukuplah syarat untuk dia menulis kritikan dan dari situ mengakui dirinya seorang pengkritik? Soalan ini pun ada ramai penulis perlu jawab. Antaranya ialah Muhammad Haji Salleh, Anwar Ridhwan, Mawar Shafie. Soalan terakhir sudah tentu untuk mereka yang bukan sasterawan - bukan penulis sastera - tetapi hanya sekadar sarjana sastera yang kononnya mengenali dan mencintai sastera dan ingin berbicara tentang sastera setelah membeli sejumlah ilmu sastera dari gudang universiti yang dari luar, memang, nampak macam sangat gah dan agung, namun apabila dilihat betul-betul tidak ada apa-apa nilai seni langsung. Golongan terakhir inilah yang paling bermasalah dalam sastera kita kerana mereka dengan bangganya mengakui diri mereka sebagai pengkritik sastera; padahal dalam hati dan minda mereka itu kosong sahaja bagai sebuah perpustakaan yang sudah lama terbakar dan menjadi abu.
Inilah realiti sebenar yang perlu kita sedar awal-awal: tradisi penulisan kritikan di negara kita sudah lama mati. Ya, memanglah buku dan artikel kritikan sastera masih ada. Namun, adakah buku-buku dan artikel-artikel itu memang sebuah kritikan, atau sekadar kertas kerja dan tesis sarjana tahun akhir di universiti? Dalam satu wawancara T. Alias Taib pernah sebut yang dia menulis esei atau kritikan apabila dia sudah tidak ada benda lain untuk tulis. Dan bukan T. Alias Taib seorang sahaja penulis kita yang berfikiran begini. Cuba anda baca artikel yang setiap bulan ditulis oleh Shahnon Ahmad dan Muhammad Haji Salleh di Dewan Sastera. Betul, artikel mereka itu memanglah ada fakta dan isi dan pengajaran dan khutbah dan rintihan tak kesudahan terhadap dunia sastera kita ini. Tetapi terdapatkah sentuhan seni dalam penulisan mereka itu? Adakah Muhammad atau Shahnon menulis artikel-artikel itu dengan penelitian dan kesungguhan dan keghairahan nafsu seni seperti ketika mereka menulis puisi atau novel mereka? Membaca artikel Muhammad ialah sekadar untuk menggali fakta baru tentang dunia sastera. Shahnon sekurang-kurangnya ada juga sentuhan gaya bahasanya yang kita sudah biasa sangat baca itu, dan apabila ia disertakan dengan visi sastera yang jelas dan tepat maka kita mendapatlah daripadanya sebuah esei yang bagus, dan bukan lagi sekadar artikel bulanan yang sendat dengan khutbah dan rintihan orang tua yang sudah lama patut duduk diam-diam dan tidak lagi membuat bising dalam kamar sastera kita. Merintih dan menyampaikan fakta itu bukan kritikan. Seperti kritikan keras semata-mata itu bukan juga kritikan sastera yang sebenar.
Seorang pengkritik menulis kritikan bukan untuk mencetuskan polemik atau membunuh seorang penulis atau mendewakan seorang penulis apatah lagi menjadi seorang tok bomoh buat para penulis. Seorang pengkritik menulis kritikan untuk mencipta seni seperti seorang penyair menulis untuk mencipta seni.
Di tangan seorang pengkritik sebuah karya sastera bukan lagi sekadar karya sastera. Ia menjadi objek seni. Ia menjadi benda yang hidup dan mengalir dalam jantung dan pemikiran seorang pengkritik. Ia menjadi dirinya. Seperti objek-objek alam yang apabila ditatap oleh mata seorang seniman, objek-objek itu cair menjadi warna-warna bahasa yang digaul dan kemudian dipercikkan ke kanvas penulisan. Dalam kata lain, sebuah karya sastera atau seorang penulis itu diciptakan semula di tangan seorang pengkritik. Contoh apabila Emerson menulis tentang Montaigne kita bukan lagi membaca tentang Montaigne sahaja, tetapi Emerson turut menciptakan Montaigne semula dalam diri kita. Atau apabila Borges menulis tentang Kafka dan Cervantes. Atau apabila Virginia Woolf menulis tentang Laurence Sterne dan Conrad. Atau apabila Mohd. Affandi Hassan menulis tentang Mohd. Affandi Hassan sendiri.
Di negara kita, Mohd. Affandi Hassan ialah seorang raja polemik seperti Saut Situmorang itu raja polemik di Indonesia. Dia ibarat pembawa obor yang terjun di tengah-tengah orang ramai untuk mencetuskan huru-hara. Penulis dan pembaca memang lari apabila dia datang. Kalau ada yang berani lawan, orang itu akan dibakarnya hidup-hidup. Sampai sekarang pun dia masih ingin membakar sastera kita, terutama sekali rumah para sasterawan negara yang dilihatnya sebagai manusia kafir yang tidak layak diangkat sebagai sasterawan negara. Tetapi Affandi bukan seorang nihilis. Dia, seperti mana-mana pengkritik sastera yang berteori, mempunyai agendanya yang tersendiri. Dia sudah ada masterplan buat dunia sastera kita. Dan Affandi bukan seorang membuat kerja-kerja membakar ini. Sudah ada segelintir penulis dan sarjana sastera yang turut membawa obor bersamanya. Semua akan dibakar oleh mereka. Barangkali hanya Iqbal dan Amir Hamzah yang akan terselamat dari api nafsu mereka. Terserahlah kalau Affandi dan tentera jihadnya ingin membakar semua manusia kafir dalam sastera kita ini. Seni tetap akan hidup. Satu pokok ditebang akan tumbuh pokok yang baru. Satu hutan dibakar akan tumbuh satu hutan yang baru.
Seni ialah alam. Dan alam itu ialah seni. Ia tidak boleh dibunuh.
Seorang penulis bernama Wahyudi pernah memberitahu saya yang dia meminati kritikan Saut Situmorang. Semasa dia cakap itu ada satu novel Henry Miller di atas meja makan depan kami. Tanpa perlu bersoal panjang saya sudah tahu kaedah kritikan yang digemarinya. Dia sukakan polemik. Sastera itu mesti ada polemik. Dari dalam beg galas saya keluarkan buku Borges dan Lydia Davis. Namun, dia dan teman-temannya terlalu mabuk dengan dunia seni mereka untuk mengambil kisah dengan buku-buku pilihan saya.
Comments
Pembacaan ialah perbualan dua hala antara pembaca dan penulis.
(Ya, saya tahu keseluruhan esei ini adalah penghadiran kefahaman anda yang tersebut. Tapi dalam satu ayat yang mudah, bagaimana ya anda menjelaskannya?)