Pengaruh Bahasa dan Kehidupan


"Aren’t writers often the last to know—know truly—the literary influences on their work? All they really know is what they’ve read. Everything one reads is nourishment of some sort—good food or junk food—and one assumes it all goes in and has its way with your brain cells. I imagine that the things one read and loved while young have had the most subconscious influence, which in my case were biographies and mysteries of a generic sort plus a lot of A. A. Milne. There was also Sherlock Holmes, The Wizard of Oz, and a little book called Nine Days to Christmas, which still makes me cry. In college some of the writers whose prose style most amazed me included Margaret Atwood, Donald Barthelme, Thomas Pynchon, Gilbert Sorrentino, and John Gardner in his Queen Louisa stories. My favorite poems were George Meredith’s “Modern Love” and Hart Crane’s “Chaplinesque.” I loved Plath and Sexton and all of Shakespeare’s tragedies (though not his comedies, which baffled me). Some of my favorite novels were Charlotte Brontë’s Villette, Thomas Hardy’s The Return of the Native, and Henry James’s Washington Square. If there is influence there, in that eclectic list, I salute it"
- Lorrie Moore


Membaca cerita seorang penulis tentang buku-buku yang disukai dan yang telah mempengaruhi penulisannya, sentiasa membangkitkan keinginan saya untuk mencari. Saya ingin mencari buku-buku yang telah dibaca oleh penulis itu. Kadang-kadang buku yang kita cari itu ialah buku yang kita sudah pernah baca; kadang-kadang kita tidak sangka yang buku itu turut diminati oleh pembaca lain; barangkali pada masa kita membacanya kita belum menemui rahsia-rahsia tersembunyi dalam buku itu. Di sinilah terletaknya kekuatan sebuah buku atau karya seni. Ia membukakan suatu ruang yang baru dalam diri pembaca. Besar mana ruang yang dibuka itu bergantung juga pada kekuatan bahasa dan imaginasi seorang penulis selain persediaan pembaca untuk melakukan apa yang disebut oleh Coleridge sebagai "penagguhan kepercayaan."

Setiap penulis akan bertemu sekali atau beberapa kali dalam hidupnya dengan karya yang sangat berpengaruh. Kebanyakkan penulis bertemu dengan hero mereka pada usia muda seperti Lorrie Moore bertemu dengan Sherlock Holmes, atau Charles Dickens bertemu dengan Hikayat 1001 Malam, atau Henry James bertemu dengan Charles Dickens, atau Virginia Woolf bertemu dengan Henry James, atau Joyce Carol Oates bertemu dengan Lewis Carol. Yang saya paling suka ialah pertemuan, secara kebetulan, Jeanette Winterson dengan sebuah drama pendek yang ditulis oleh T. S Eliot. Usia Winterson ialah enam belas tahun pada masa itu, dia dibesarkan di utara England dalam sebuah keluarga religious, dan matlamat yang ditetapkan oleh ibu bapanya ialah dia akan menjadi seorang ahli gereja. Antara larangan paling besar di dalam rumah keluarganya ialah pembacaan buku fiksyen. Jadi, Winterson terpaksa membaca buku fiksyen dan puisi secara sembunyi. Buku pertama yang memberikan impak paling besar pada dirinya ialah drama T. S Eliot. Dia tidak kenal pun siapa T. S Eliot sebelum itu Dia hanya pergi ke perpustakaan pada suatu hari untuk meminjam novel-novel misteri yang ingin dibaca oleh emaknya, walaupun emaknya sendiri telah melarang dia untuk membaca buku fiksyen. Buku T. S Eliot dipilih kerana judul buku itu ialah "Murder In The Cathedral," yang disangkakan oleh emaknya sebagai sebuah novel misteri. Winterson bertanya pada pustakawan tentang siapakah T. S Eliot ini. Apabila diberitahu kepadanya yang Eliot ialah seorang penyair moden, Winterson terus duduk di perpustakaan dan membaca buku itu. Dari halaman ke halaman dia membaca sehingga akhirnya dia menangis. Dia telah jatuh cinta pada bahasa.

Saya juga bergenang air mata semasa mendengar cerita ini kerana ia sungguh menyentuh hati dan memberi inspirasi kepada saya tentang kekuatan sebuah karya seni dalam mempengaruhi dan menyelamatkan hidup seorang pembaca. Cuba bayangkan, T. S Eliot, penyair ultra-moden yang menulis "The Wasteland", mampu memikat hati seorang gadis desa yang pada masa itu tidak kenal pun siapa T. S Eliot. Dan cuba bayangkan juga, jika Winterson tidak bertemu dengan T. S Eliot pada hari itu, adakah dia akan menjadi seorang penulis yang kita kenali sekarang? Mungkin ya dan mungkin tidak. Tetapi yang kita boleh pasti ialah ruang yang disediakan oleh seni kepada manusia. Seni membawa kita lari. Seni memberikan sayap kepada minda kita untuk terbang dan jantung kepada imaginasi kita untuk hidup.

Tetapi seni bukan escapism semata-mata. Kita tidak boleh lari dari kehidupan. Hanya karya pop, hanya karya picisan, hanya karya khutbah jalanan yang ingin mengkaburkan pandangan hidup manusia. Seni bukan begitu. Seni membawa kita bersemuka dengan kehidupan. Ia mengajar kita untuk bersedia; ia mengajar kita untuk menjadi imaginatif; ia mengajar kita menjadi penyair; ia mengajar kita menjadi lebih bijaksana. Bahasa ialah jambatannya. Dan semuanya bermula dengan kata-kata.

Di blog ini saya sering kali mengangkat penulis-penulis luar, penulis-penulis klasik, penulis-penulis Barat seolah-olah saya ini seorang penderhaka kepada sastera negara sendiri. Ia bukan soal negara atau politik atau agama atau sejarah atau budaya sebenarnya. Seni tidak mengenal sempadan. Ia bukan dicipta untuk kepentingan orang tertentu atau untuk waktu tertentu. Seni dicipta untuk semua manusia kerana seni ialah tentang urat-urat kemanusiaan. Kanak-kanak ialah contoh terbaik dalam membuktikan seni itu merentas waktu dan budaya. Semua kanak-kanak suka mendengar sebuah cerita. Adakah budak yang tidak suka dengar cerita sebelum dia tidur setiap malam? Bagi sahaja kepada dia cerita tentang Cinderella atau Little Red Riding Hood atau Wizard of the Oz, dan dia akan mendengar cerita-cerita itu dengan penuh minat, tanpa mempedulikan dari mana datang sebenarnya cerita-cerita ini. Kita semua dilahirkan dengan keinginan untuk berhubung dengan manusia lain. Orang pertama kita capai ialah emak kita. Kemudian apabila kita sudah dapat melihat diri kita dalam sekeping cermin, kita mula mencerminkan diri dalam kehidupan orang lain. Sebab itu kanak-kanak boleh tertarik pada cerita kerana mereka melihat diri mereka dalam watak-watak yang dibaca. Apabila kita masuk sekolah, kita diajar untuk melupakan imaginasi kerana ia tidak ada apa-apa fungsi dalam membantu seorang pelajar menjawab soalan peperiksaan. Ikut dan hafal sahaja skema peperiksaan, maka anda akan cemerlang. Budaya result-orientated ini kita bawa hingga ke alam dewasa sehingga akhirnya kita sudah lupa bagaimana untuk menjadi seorang kanak-kanak yang suatu masa dahulu pernah mencintai buku dan keseronokkan bermain di alam imaginasi. Pada masa sama kita berhenti mencintai bahasa. Tanpa bahasa, kita menyerahkan jiwa kita kepada manusia lain untuk mengungkapkan kewujudan kita.

Tanpa bahasa, tanpa imaginasi, kita tidak lagi hidup.

Comments

Popular Posts