DOM
Tidak banyak yang ingin saya perkatakan tentang DOM baru-baru ini. Isunya, iaitu sastera arus perdana, bukanlah perkara yang dekat dengan jiwa saya buat masa sekarang, walaupun saya memang menulis di medium itu. Bagi saya, seorang penulis bebas menulis di mana-mana dia suka asalkan dia dapat mencambahkan karyanya kepada dunia. Di bebas nak berdiri di kiri atau kanan; mengikut arus atau melawan arus; berangkatan atau berseorangan. Terserahlah pada diri masing-masing. Roslan Jomel, misalnya, memilih untuk masuk ke semua kamar sastera yang ada di Malaysia, asalkan ia berbahasa Melayu. Pintu Dewan Sastera dibukanya, pintu Mingguan Malaysia dibukanya, pintu JalanTelawi dibukanya, pintu sastera underground pun dibukanya, dan, sebelum kita lupa, pintu akhbar Harakah. Penulis-penulis kita yang lain, nampaknya, masih belum bersedia untuk mengambil langkah aktif dan prolifik seperti Roslan. Tetapi, sekali lagi, semua ini terserahlah pada diri masing-masing. Kalau nak terus berarus perdana atau berunderground, silakan sahaja, asalkan kualiti seni dipertahankan.
Comments