Latiff Mohidin dan Sajak Imaginatif

Sekeping Cermin

Kulihat ke luar tingkap
kulihat diriku
berjalan mundar mandir
di tengah halaman
memikul sekeping cermin.

Malam telah larut
kulihat tapak tanganku
kubuka kembali balutan kainnya
tidak ada garis luka di situ
waktu tingkap kututup
kedengaran pecahan kaca
di anak tangga.


Rahman Shaari dalam bukunya Kemantapan Puisi Melayu: Satu Tinjauan mengkategorikan sajak ini, bersama sajak Sungai Mekong, sebagai sajak imaginatif yang lahir daripada minda bawah sedar penyair seolah-olah bukan menjadi kesalahan sekiranya sajak-sajak lain di Malaysia tidak bersifat imaginatif. Seolah-olah hanya Latiff dan T. Alias Taib dan Suhaimi Haji Muhammad yang menulis sajak dari minda bawah sedar. Jadi, kalau seorang penyair itu menulis sajak yang tipis imaginasi, tapi tebal dengan intelektual (sajak Rahman Shaari) atau tebal dengan politik ( sajak Usman Awang dan A. Samad Said) atau tebal dengan daun-daun syurga (sajak Kemala dan Shafie Abu Bakar), maka dia masih boleh diangkat sebagai penyair yang besar? Nampaknya begitulah hasil "tinjauan" Rahman Shaari ke atas sajak-sajak yang ada di Malaysia.

Mengikut "tinjauan" saya pulak, sebuah puisi, tidak kiralah di Malaysia atau negara mana sekalipun, mestilah lahir dari imaginasi seorang penulis. Jantung sastera itu sendiri ialah imaginasi. Dan apabila kita bercakap tentang imaginasi, maka kita bercakap tentang dunia yang subjektif, dunia "bawah sedar," dunia yang memerlukan bahasa asing bagi memberikan ia nyawa untuk keluar ke alam pembacaan. Bahasa asing ini ialah bahasa puisi. Contoh bahasa puisi yang paling terkenal di Malaysia ialah ini: "kaki kananku ke bulan / kaki kiriku ke matari." Sesiapapun apabila membaca atau mendengar sajak Sungai Mekong buat pertama kali akan merasakan yang sajak ini tidak masuk akal. "Susah nak faham." Lebih kurang begitulah komen yang sering kita dengar. Tapi kenapa jadi begini? Kerana bahasa puisi itu bukan bahasa seharian. Mana ada orang tahan teksi dan kata kepada pemandu, "Ah pak cik, bawakan kaki kanan saya ke bulan, dan kaki kiri saya ke matahari." Gila bukan? Dan lihat, apabila kita bercakap dengan bahasa seharian, sudah hilang susunan lagu yang terdapat dalam sajak Latiff. Kita tak akan sebut "matari" walaupun ia lebih sedap dibaca sebagai perkataan puisi. Tetapi di hujung pembacaan, walaupun bahasa puisi Latiff itu sedap sekali dibaca, pembaca masih akan merungut tentang kesukaran memahami makna sajak itu. Lebih baik baca sahaja sajak Usman Awang Ke Makam Bonda; lebih romantis dan senang nak faham. Bukankah begitu?

Saya bukan ingin mengatakan bahawa sajak yang imaginatif itu mesti sukar. Kalau nak dibandingkan dengan sajak-sajak Wallace Stevens, Sungai Mekong itu masih sederhana dari segi kesukaran dan level imaginasinya. Apabila kita beralih kepada penyair lain seperti T. Alias Taib, Baha Zain, Sapardi Djoko Damono, Joko Pinurbo, Charles Simic, kita mendapati bahasa puisi mereka itu sangatlah accessible, tidak perlu nak merangkak-rangkak dari satu baris ke satu baris, tapi pada sama kita juga merasakan yang mereka ini penyair yang tinggi imaginasinya. Lihat sahaja sajak Doa Sebelum Mandi karya Joko Pinurbo:

Tuhan, saya takut mandi.
Saya takut dilucuti.
Saya takut pada tubuh saya sendiri.

Kalau saya buka tubuh saya nanti,
mayat yang saya sembunyikan
akan bangun dan berkeliaran.

Saya ini orang miskin yang celaka.
Hidup saya sehari-hari sudah telanjang.
Kerja saya mencari pekerjaan.
Tubuh saya sering dipinjam orang
untuk menculik dan membinasakan korban.
Mereka bisa dengan mudah dihilangkan
tapi di tubuh saya mereka tak dapat dilenyapkan.

Tuhan, mandikanlah saya
agar saudara kembar saya
bisa damai dan tenang di tubuh pembunuhnya.


Karya yang imaginatif itu selalunya sukar kerana ia lahir dari dasar emosi seorang manusia. Kalau emosi dalaman itu mudah diungkapkan, maka senanglah hidup para penyair kita, dan barangkali mereka tidak akan menjadi penyair.

"And art springs from the depths of human imagination and is likely to be, in the final analysis as at first glance, idiosyncratic, mysterious, beyond easy interpretation."
(Joyce Carol Oates)

Antara Sungai Mekong dan Sekeping Cermin, saya rasa Rahimidin Zahari akan memilih Sungai Mekong sebagai sajak kegemarannya. Barangkali sajak itu lebih dekat dengan Rahimidin. Saya sendiri akan memilih Sekeping Cermin. Berbanding dengan Sungai Mekong, sajak ini lebih mudah dibaca dan diingat. Sukar tetap sukar kerana di kesudahan sajak, kita masih tertanya-tanya tentang apa sebenarnya yang telah berlaku? Kenapa ada kaca yang pecah di anak tangga? Kenapa dia membalut tangannya walaupun tidak ada garis luka di situ? Kenapa dia melihat dirinya memikul cermin di tengah halaman? Tidak ada jawapan. Latiff jarang sekali memberikan makna yang jelas dalam sajak-sajaknya. Makna itu sering kali disembunyikan. Atau barangkali diabaikan penyampaiannya seperti pentas teater yang tiba-tiba tertutup tirai. Ia bersesuaian dengan pendapat Paul Valery yang menyebut bahawa sebuah karya seni itu tidak pernah siap, ia diabaikan. Tugas penyempurnaannya diserahkan kepada pembaca.

Comments

Rahimidin Z said…
Salam.
Telahan adinda itu benar!
Wan Nor Azriq said…
Salam,

Terima kasih Abang Rahimidin.Saya tahu abang memang suka Sungai Mekong :)

Popular Posts