Adakah Merosakkan Diri Suatu Kepuasan Hidup?
Kebisingan media sosial ialah kebisingan peminat sesuatu produk. Algoritma menjalin benang-benang naratifnya melalui kulit dan nadi seorang peminat. Kau minat Batman? Nah, setiap satu saat, aku akan campak content Batman ke muka kau. Kau minat video pelaburan saham? Nah, mana-mana aplikasi kau buka, aku akan hidang kau dengan iklan video pelaburan. Waktu kau dibeli dengan perhatian tanpa penghujung.
Saya bekerja dalam bidang pemasaran digital dan penjenamaan. Dulu, bila kita sebuat penjenamaan, kita akan fikir tentang identiti dan naratif sebuah syarikat. Dalam dunia media sosial hari ini, jenama adalah hamba kepada aliran garis masa. Pencipta content menjadi kompas kepada nilai sesuatu produk pemasaran. Adakah ia trendy? Adakah ia mendapat reach dan engagement yang tinggi? Lebih penting: berapa banyak pulangan pelaburan ia akan jana? Pegawai pemasaran menjual apa anda ingin lihat dan bayar. Mereka mempergunakan gema pasar untuk merangka naratif yang kononnya memenuhi kepentingan diri anda sebagai pengguna.
Ini membawa kita kepada buku terbaru Todd McGowan berjudul Self-Sabotage di mana beliau membincangkan dialektik konsep kepentingan diri ("self-interest") dengan kemunduran diri ("self-sabotage"). Mengejar kepentingan diri adalah norma dalam sebuah masyarakat kapitalis: anda bekerja untuk mendapat bonus dan kenaikan pangkat, anda melancong setiap tahun untuk menambah koleksi magnet peti sejuk negara yang anda telah kunjungi, anda menghabiskan duit simpanan KWSP memperbesarkan dapur dan bersaing bilangan kereta EV dengan jiran rumah sebelah. Buat McGowan proses meningkatakan kualiti hidup dan memperkayakan kehendak rohani, mempunyai akar dalam tradisi falsafah barat, bermula dari Plato dan berlanjutan ke Spinoza, Kierkegaard, Heidegger, dan pemiki kontemporari. Tetapi apa salahnya saya ingin memperbaiki kualiti hidup? Bukankah itu tunjuan pendidikan, agama dan ilmu falsafah? Menurut McGowan, apabila kita mengejar kepuasan diri, kita sebenarnya sedang melawan kehendak bawah sedar yang Sigmund Freud sebut sebagai death drive. Freud memperkenalkan konsep death drive dalam Beyond the Pleasure Principle pada tahun 1920, suatu anjakan pemikiran buat Freud yang sebelum itu melihat libido (seks) sebagai dorongan utama minda bawah sedar.
McGowan menulis, "The most common forms that our self-sabotage takes involve our investment in activities that damage our life prospects while supplying us with a small dose of pleasure, which we tell ourselves is the reason why we do these things." Sebagai contoh, kegilaan saya membeli buku dan memenuhi rak perpustakaan di rumah. Di permukaan, saya mungkin didorong oleh angan-angan untuk membina sebuah Perpustakaan Babel versi Taman Melawati yang akan mengandungi seluruh isi dunia di dalamnya. Tetapi secara bawah sedar, saya sedang merosakkan diri dengan menghabiskan duit selain membuat ruang rumah saya bertambah sempit. Tanpa rasa bersalah itu, saya akan gagal menyedari bahawa sebenarnya saya tidak perlu pun terkejar-kejar nak memenuhi impian fantasi Borges. Cukuplah ada koleksi lengkap novel Bolano dan Murakami.
McGowan meneroka konsep kemunduran diri dalam segala aspek: politik, sejarah, filem, percintaan, dan sukan. Kemunduran diri hanya bermakna apabila seseorang bersedia melakukan pengorbanan. Anda tidak akan dapat mengurangkan berat badan jika anda tidak bersedia untuk mengorbankan waktu dan tenaga di sampaing mengekang selera makan. Kemenangan menjadi lebih manis apabila anda menghadapi kesengsaraan untuk mencapainya. McGowan mengambil contoh peminat tegar sukan bola sepak. Mengapa kemenangan pasukan underdog selalunya lebih dramatik dan mengujakan? Buat peminat pasukan itu, mereka telah mengharungi kekalahan demi kekalahan, setiap musim, namun mereka memilih untuk terus membeli tiket, memenuhi kerusi stadium, dan memberi sokongan padu kepada pasukan mereka. Justeru, apabila kemenangan yang dinanti-nantikan akhirnya muncul, ia menjadi jeritan katarsis. Suatu pembebasan. Kita sebagai penonton, turut bersorak kerana kemenangan tersebut lebih bermakna. Saya masih ingat malam Manchester City memenangi Liga Perdana Inggeris di saat akhir apabila Sergio Aguero membenam gol penentuan di minit akhir perlawanan. Saya berada di sebuah warung tepi jalan yang penuh dengan peminat Manchester United dan City. Mula-mula TV menunjukkan perlawanan di Old Trafford hingga wisel akhir ditiupkan. Kemudian serta-merta siaran dialihkan ke perlawanan City menentang Crystal Palace. Sebaik sahaja Aguero menjaringkan gol, suasana di warung itu meletup dengan sorakkan. Jiran tetangga Manchester United yang hingar akhirnya menebus malu dan kekalahan selama bertahun-tahun.
Cerita bola sepak memang seronok dan heroik. Tetapi adakah kita menempuh hidup, hari demi hari, semata-mata untuk menjadi hero di hujung hari? Ini masalah saya dengan pemikiran toksik maskulin yang sentiasa ingin menjadikan diri sebagai subjek dalam sebuah naratif watak-diri melawan penindasan-sosial. Adakah pemikir-pemikir Marxis seperti McGowan dan Zizek begitu taksub dengan ideologi hingga segala tindakan manusia perlu diberikan label dan dibandingkan dalam kerangka dialektik psikoanalisis? Kadang-kadang sarjana dan pemikir terlalu sibuk melihat benda yang berlaku di belakang tabir, mereka lupa untuk menjadi penonton kepada persembahan di tengah pentas. Yang rahsia bukan yang tersembunyi. Yang rahsia ialah apa yang ada di depan mata.


.jpeg)
Comments