Masa Depan Buku, Di Mana?


Soalan masa depan ini berada di fikiran semua orang sekarang, tetapi tidak ada sesiapa ingin menjawabnya. Politik. Ekonomi. Filem. Sastera. Kita menyerah. Menunggu. Tanpa berharap apa-apa akan berubah. Pagi tadi saya menerima WhatsApp daripada Azrin Fauzi tentang penutupan kedai buku Kitartb. Minggu lepas saya baca di Facebook yang Terfaktab dan Rabak-Lit telah diambilalih oleh syarikat baru bernama Write and Brave Publication. Menurut kenyataan media sosial syarikat baru ini, misi mereka adalah seperti berikut:

"... memastikan pembaca kembali membeli buku di kedai buku (rakan kongsi/rakan niaga). Kami tidak akan menjual sendiri buku yang baru terbit. Pengedaran buku adalah keutamaan kami. Kami hanya menjual sendiri jika buku-buku tersebut menjangkau tempoh yang lama atau kedai buku kembalikan semula stok kepada kami."

Saya menyokong sepenuhnya usaha untuk mengembalikan pembaca ke kedai buku, walaupun saya sedikit ragu-ragu akan kemampuan Write and Brave Publication untuk melaksanakannya. Pertama, mereka bukan pemilik toko buku besar seperti MPH atau Popular yang memang mempunyai sumber, tenaga kerja, dan pengankutan untuk memastikan buku yang masuk ke kedai mereka akan beredar ke seluruh negara. Malah dari sudut promosi atau potongan harga murah, ia lebih berkesan jika dilakukan melalui toko buku berbanding digerakkan sendiri oleh penerbit atau penulis (ingat, niat utama di sini ialah memastikan pembaca "kembali" ke toko buku). Kedua, adakah pembaca muda hari ini masih membeli buku di kedai? Soalan ini barangkali tidak relevan jika ditanya kepada penerbit buku agama, buku motivasi, atau buku rujukan sekolah. Namun memandangkan dua tiang asas syarikat Write and Brave Publication adalah Terfaktab dan Rabak-Lit, maka selamat untuk kita mengandaikan bahawa bahan yang mereka ingin terbit adalah untuk golongan Millennials. Turut ditulis dalam kenyataan media sosial itu bahawa pengedaran buku "adalah keutamaan kami." Setahu saya, kalau penerbitan mandiri, buku yang boleh jual laris dan beredar ke merata kedai buku adalah novel komersil (cinta, horor, jenayah dll) dan buku bukan-fiksyen separa ilmiah. Puisi? Novel sastera? Karya terjemahan? Cerpen? Jangan harap. Siapa masih ingat Buku Hitam Press yang dulu memang rajin terbitkan kumpulan cerpen dengan tema-tema berat? Entah di mana sekarang pun kita tidak tahu. 

Barangkali sebenarnya tanggapan saya tentang Write and Brave Publication awal-awal lagi sudah salah. Barangkali hasrat mereka bukan untuk menerbitkan buku berjiwa indie, tetapi buku-buku komersil untuk pasaran umum. Kalau begitu, ya teruskan membawa obor anda. Cuma saya tertanya-tanya juga, bagaimana buku komersil akan memastikan pembaca kembali ke kedai buku? Bukankah sudah ada banyak penerbit buku komersil dalam pelbagai bidang sedang melakukannya? Kalau di negera besar seperti Amerika, rumah penerbitan kecil memang menggalakkan pembaca untuk membeli buku di kedai atas dasar solidariti untuk toko-toko buku kecil. Situasi ini agak susah untuk berlaku di Malaysia kerana boleh bilang dengan jari toko buku kecil yang ada dan masih berdiri dengan kukuh. Dan apabila saya sebut toko buku kecil, saya bukan sedang bercakap tentang kedai alat tulis di Rawang atau pondok majalah di tepi hentian bas. Saya sedang bercakap tentang tempat seperti Tintabudi Bookshop di KL atau Bookalicious di Subang atau Gerak Budaya Bookshop di George Town atau BACA di Temerloh. Kalau kita nak bercakap tentang mengembalikan pembaca ke kedai buku, maka inilah tempat-tempat yang patut disokong kerana ia dibangunkan oleh orang-orang yang mencintai buku. Adakah tempat-tempat begini yang menjadi sasaran Write and Brave Publication? Kalau niat hanya untuk tembus senarai sepuluh buku terlaris MPH, maka apa bezanya syarikat anda dengan Fixi dan Dubook? Sekadar berhimpit-himpit dalam pasaran buku komersil yang memang sudah tepu dan mendatar kualiti bahan bacaannya. 

Baik, kita tinggalkan dulu Write and Brave Publication dan misi besar mereka. Menurut saya persoalan paling penting hari ini apabila kita membincangkan masa depan industri buku dan penulisan adalah: 

Bagaimana nak mengembalikan masyarakat membaca buku? 

Saya tidak kata masyarakat kita sudah tidak membaca, kerana dengan perkembangan teknologi digital, masyarakat Malaysia hari ini membaca dan mengumpul maklumat jauh lebih banyak berbanding generasi pada abad kedua puluh. Masalah kita adalah keutamaan hidup, terutama sekali buat mereka yang tinggal dan bekerja di bandar-bandar utama. Antara beras dan buku; antara minyak dan buku; antara sewa rumah dan buku; antara bil elektrik dan buku; antara cukai dan buku; antara kereta dan buku; antara kasut kulit dan buku; antara uniform sekolah dan buku; antara TV dan buku; antara PS4 dan buku; antara Netflix dan buku; antara Facebook dan buku; antara Twitter dan buku; antara Instagram dan buku; antara email dan buku; antara Spotify dan buku; antara YouTube dan buku; antara iPhone 8 dan buku; antara solat dan buku; antara bola dan buku; antara konsert dan buku; antara beer dan buku; antara kekasih dan buku; antara ibu bapa dan buku; antara Tuhan dan buku; antara simpan duit.... dan buku. Tidak kisahlah apa bandingannya. Buku sentiasa kalah.

Umberto Eco pernah ditanya sama ada buku akan pupus atau tidak? Menurut Eco, buku tidak akan pupus kerana ia sudah lama menjadi bahagian daripada hidup manusia, ibarat sudu dan garpu. Yang akan berubah barangkali adalah medium untuk membaca sebuah buku. Dan saya percaya ini sedang perlahan-lahan berlaku dalam masyarakat di seluruh dunia. Sebagai seorang novelis, adakah saya bimbang dengan perubahan ini? Bohong besar kalau saya kata saya tidak rasa bimbang. Menulis dan menerbitkan buku adalah pekerjaan utama saya selain membaca. Tetapi di sela-sela kebimbangan ini, saya juga teruja untuk melihat apa akan berlaku pada masa depan bahasa Melayu dan penulisan novel. Bagi saya bahasa bukan makhota yang berada di kepala seorang manusia atau sekelompok manusia. Ia tidak boleh dilindungi dengan membina tembok tinggi mengelilinginya. Bahasa berada di sekeliling kita; bahasa adalah bahagian daripada diri kita. Sekiranya kita ingin melindungi bahasa, kita harus membenarkan bahasa untuk hidup bebas, dan ada ketikanya membiarkan ia mati, supaya ia boleh bangkit dan hidup semula sebagai tubuh yang lebih bijak dan kaya dengan pengalaman.

Saya sedar masalah dunia perbukuan adalah masalah remeh-temeh di mata sebahagian masyarakat Malaysia hari ini. Kita dahagakan perubahan ekonomi, revolusi budaya, dan kedatangan seorang penyelamat bangsa. Adakah salah untuk kita berharap? Tidak. Adakah salah untuk kita melihat ke depan? Tidak. Adakah salah untuk kita memilih yang satu dan menolak yang lain? Tidak. Kita harus memilih dan kita harus berharap. Sekarang bukan masanya untuk berada di jalan tengah atau bergayut-gayut di atas pagar atau menyorok di dalam lumpur sambil memeluk salib dan molotov. Sekiranya hari ini kita tidak mampu untuk meruntuhkan penjara atau mencabut kasut tumit tirani, maka pulanglah ke rumah dan susun buku untuk anak-anak kita yang akan pulang dengan luka dan mata merah di hati.

Comments

Popular Posts