Dunia Menyepi Saat Waktu Menyendiri
Institusi korporat mengajar saya untuk menyendiri. Dalam semua benda. Menyendiri di depan komputer riba, menyendiri di koridor jabatan, menyendiri ketika mesyuarat, menyendiri ketika perhimpunan bulanan, menyendiri ketika mengarang memo, menyendiri ketika mengarang e-mel pemohonan bajet pemasaran, menyendiri ketika melawat kilang pelanggan, menyendiri ketika menemu ramah pengerusi atau ketua divisyen, menyendiri ketika sarapan dan makan tengah hari, menyendiri ketika mengopi, menyendiri ketika pulang setiap petang. Proses menyendiri ini sebenarnya membantu saya untuk fokus dan menyimpan tenaga mental dan emosi untuk aktiviti lebih bermakna di luar pejabat.
Menyendiri memerlukan latihan. Bukan sehari dua. Anda akan melaluinya sepanjang hidup. Matlamat akhir anda bukan untuk menolak masyarakat dan ahli keluarga. Tetapi menemui ketenangan dalam sendirian. Di HBO Max sekarang baru bermula siri Lanterns mengenai watak komik Hal Jordan dan John Stewart. Buat pemegang cincin ajaib hijau, apabila mereka diserang hendap oleh musuh dengan senapang, perisai hijau terpancar membungkus tubuh mereka daripada peluru. Lebih kurang begitu proses melatih diri untuk menyendiri. Anda mahu ia menjadi senjata perlindungan dan ruang selamat dalam diri anda.
Adakah menyendiri bermaksud anda perlu diam sepanjang masa bersama orang ramai? Di tempat saya bekerja, ada seorang pereka grafik muda yang akan duduk terpacak depan skrin komputer sepanjang hari. Dia akan hanya membuka mulut apabila ditegur atau ditanya. Ketika orang lain berbincang atau bergurau, kepalanya sama ada tunduk menyeka skrin telefon, atau tegak menghadap tugasan pada skrin. Mungkin dia pemalu. Tetapi keupayaan untuk menyendiri bukan bermaksud anda lari daripada interaksi sosial. Sebaliknya, semakin luas ruang menyendiri yang anda bina dalam diri anda, maka semakin mudah untuk anda menepis sebarang gangguan dan kritikan negatif dari luar.
Menurut David Lynch, setiap projek memerlukan ruang kerja sendiri. Ia boleh merujuk kepada studio atau kamar. Tetapi ia boleh juga merujuk ruang menyendiri. Ibarat bilik belakang di dalam sebuah kedai perabot terpakai. Sebuah projek mungkin bermula dengan sekeping pintu atau lantai kosong. Perlahan-lahan ia berkembang, berubah, dan meneroka wilayah-wilayah baru yang tidak disangka. Justeru, melihat David Lynch bekerja di belakang tabir ketika pembikinan filem Inland Empire, membuat saya terfikir jika di sebalik kemarahan dan putung demi putung sigaret yang dihisap, Lynch sebenarnya terseksa dan merana. Bukan sebab sunyi (walaupun tidak mustahil). Tapi lebih kepada jurang pemisahan yang maha luas di antara kegeniusan dan vision beliau dengan orang-orang sekeliling. Lynch bermeditasi setiap hari semenjak zaman beliau menghasilkan Eraserhead. Tapi sukar untuk membayangkan, kaedah meditasi yang bagaimana mampu untuk mengosongkan fikiran seorang David Lynch.
Amina Cain menerangkan proses kreatif beliau dalam buku A Horse at Night: "Saya percaya menulis, seperti mana-mana aktiviti, memerlukan minda yang menyendiri, dan mata yang menyendiri. Kita mengasingkan diri untuk membaca. Kita mengasingkan diri untuk berfikir."
Membaca sastera boleh mewujudkan ruang menyendiri kerana perkataan dan imej yang puitis akan menelan segala kebisingan dalam fikiran seorang pembaca. Itu saya alami ketika membaca salah satu babak indah dalam novel pascakiamat Antoine Volodin berjudul Radiant Terminus:
"Sky. Silence. Rippling plants. Whispering plants. Rustling plants. Murmuring mauve-garde, chugda, marche-sept-lieues, epernielle, old-captives, saquebrille, lucemingot, quick-bleeds, Saint-Valiyans, Vailyan-harelips, sottenfraise, iglitsa. Rasping odilie-des-foins, grand-odilie, chauve-grille, or calvegrillette. Uniformly sighing prance-the-ruins. The plants were of many colors, and each one even had its own way of bending under the wind or twisting gracefully and waited a good while after gust before returning to their original position. Plants whispering in their passive movements, in their resistance.
Time flowed.
Time took its flowing, but it flowed."
Saya bakal berpindah rumah tahun depan. Mujur ia masih di Taman Melawati. Kejiranan ini ialah tempat saya menyendiri daripada kesibukan dan kegilaan kota. Sama sepert blog ini yang saya sudah huni lebih daripada 15 tahun. Ia masih setia. Ia masih menerima saya untuk menyendiri dan merenung.


Comments