Kehilangan ialah Koridor Tanpa Hujung
Isteri saya sering ketawa dalam tidur. Namun dia tidak tahu atau ingat apa mimpi yang dialaminya setiap malam. Sementara saya akan catat apa saya mimpi dalam jurnal. Mengingati mimpi ialah ibarat berjalan di sebuah koridor yang panjang. Ada sesuatu atau seseorang yang kita cari, namun tidak dapat ditemui.
Emosi kehilangan adalah tekstur yang tersendiri dalam penulisan, sama ada puisi atau cereka. Paul Auster dan Haruki Murakami antara pakar yang pandai bermain dengan kehilangan. Pendekatan mereka berbeza dengan pengarang minimalis seperti Lydia Davis, Marguerite Duras, dan Gabriel Josipovici yang menghilangkan kata-kata melalui ruang putih teks.
Tekstur memberitahu kita peraturan yang membataskan sesebuah karya. Tanpa tekstur, sebuah karya hanya gumpalan rasa tanpa makna. Tekstur ialah cahaya dan bayang yang saling berhubung dan saling melengkapi.
Saya selesai membaca baru-baru ini novel Patrick Modiano Missing Person. Seperti kebanyakan novel Modiano, ada kabus misteri yang melatari setiap babak, setiap tempat, dan setiap pertemuan watak-wataknya. Dunia Modiano ialah dunia dalam bayang-bayang. Kita mengintip dari lorong gelap, kita mendengar dari tepi tingkap kereta api, kita dibawa merayau pada tengah malam kerana ada memori masa lalu yang menghantui fikiran wataknya. Tanpa mereka sedari atau fahami.
Kehebatan novel ini ialah bagaimana Modiano kekal konsisten dari mula hingga hujung: motif watak, suasana kota Paris yang lengang, mood malam, perbualan bersahaja setiap orang yang kita temui, penggunaan fotografi sebagai alat penceritaan, pengaruh sejarah ke atas identiti dan masa depan seseorang. Bak kata Rilke, "I live not in dreams, but in contemplation of a reality that is perhaps the future."
Membaca novel Modiano ialah seperti melihat foto-foto Andre Kertesz:
Kita menemui sebuah kota yang kosong dan sunyi. Seolah ia sudah lama ditinggalkan. Masing-masing mencari (atau tercari-cari) sebuah memori masa lalu yang sudah hilang.
Seperti saya sebut di atas, tekstur turut temui dalam puisi. Maka saya tutup catatan ini dengan sebuah puisi pendek oleh Michael Longley berjudul "Bjorn Olinder's Pictures:"
Comments