Novel Terbaik 2023 (No 8): Aki


Novel paling nipis dalam senarai saya tahun ini, hanya 58 halaman. Ini juga karya Idrus pertama saya pernah baca. Selalunya kalau novel eksistensi atau falsafah Indonesia pada pertengahan abad kedua puluh, kita akan ingat karya Iwan Simatupang, Putu Wijaya, dan Danarto (malah adikarya Pramoedya Ananta Toer Bukan Pasarmalam). Tapi novel Idrus berjudul Aki berada dalam liga tersendiri, malah saya percaya ia lebih bagus daripada Ziarah dan Telegram.    

Premis novel mudah: seorang lelaki 49 tahun bernama Aki mengetahui bahawa dia akan meninggal dunia dalam masa satu tahun lagi. Tarikh kematiannya ialah 16 Ogos. Maka Aki dan keluarganya mula membuat persiapan awal untuk hari yang Aki percaya dia akan mati. Adakah kehidupan kehilangan makna apabila seorang manusia mengetahui dengan tepat tarikh dia akan mati? Buat Aki, dia menjadi lebih bersemangat. Dia meraikan setiap waktu yang masih tersisa. Malah Aki langsung meletak jawatan di pejabat yang dia sudah bekerja selama lapan tahun. Ketenangan Aki membingungkan semua orang di pejabatnya. 


Beberapa pegawai bertanya-tanyakan:

Doktorkah yang meramalkan itu? Ia sudah baik betul kelihatannya, bukan? Mengapa Aki tidak seperti orang takut?

Dan entah dari mana datang jawapannya:

Tidak ada orang yang tahu. Aki mungkin ahlinujum. Ah, tidak, ia berilmu sihir. Ia tidak takut kepada mati, kerana ia orang yang baik hati. Tuhan akan senang padanya. 

Omong kosong, katanya siapa pula sekarang yang menentukan hidup-mati seorang makhluk? Sudah matikah Tuhan?


Aki sebenarnya boleh sahaja duduk diam-diam di rumah menanti kematiannya. Namun Aki adalah watak dalam sebuah cerita; dia memerlukan penonton dan pendengar; dia perlu berkongsi kepada semua orang bahawa dia, watak dalam sebuah cerita, akan mati. 


Comments

Popular Posts