Pakma Kembang Di Bilik: Keindahan Dunia Kanak-Kanak


Bagaimana kanak-kanak melihat dunia? Kita tidak tahu. Kecuali kita seorang kanak-kanak. Tanggapan kita sebagai orang dewasa akan sentiasa terbatas oleh faktor fizikal, bias, prejudis, trauma, dan memori yang sudah berbaur dengan pelbagai warna dan emosi kehidupan. Fiksyen ialah pengalaman paling dekat kita akan dapat untuk melalui semula kehidupan seorang kanak-kanak. Namun, cuba fikir, bilakah kali terakhir anda membaca novel yang berjaya menangkap suara dan fikiran seorang kanak-kanak? Ia sangat sukar. Dalam sejarah novel dunia pun, boleh bilang dengan jari (kita tolak tepi novel genre kanak-kanak kerana itu ditulis dengan matlamat berbeza). Di Malaysia, saya masih percaya salah satu gambaran terbaik fikiran kanak-kanak adalah bab dalam novel Shahnon Ahmad Seluang Menodak Baung di mana Shahnon hanya meletakkan satu titik hitam di tengah sebuah bulatan.  

Novel Abdullah Hussaini Pakma Kembang Di Bilik (terbitan Nusa Centre) bermain dengan dua naratif iaitu seorang kanak-kanak bernama Acap, dan bapanya bernama Munir. Berbeza dengan novel Shahnon yang saya sebut tadi, Abdullah tidak susun babnya mengikut nama; malah pembahagian bab lebih berat kepada penceritaan Acap, berbanding Munir. Keputusan Abdullah untuk menceritakan pengalaman Acap dari sudut pandangan pertama, sementara Munir dari sudut pandangan ketiga, terasa sangat janggal dan mengganggu aliran penceritaan. Saya terganggu bukan sebab loncatan teknik; tapi lebih kepada tekstur penceritaan yang tidak seimbang. Acap sangat polos dan nostalgia; sementara Munir sangat dramatik dan intense. 

Novel ini mempunyai plot yang sederhana dan mudah difahami: sebuah keluarga di kampung menghadapi kesempitan kewangan sehingga mereka terpaksa berhijrah ke kota untuk memulakan kehidupan baru. Dari sudut pandang Munir, kita melihat dilema dan tekanan emosi seorang suami dan bapa yang telah jatuh muflis akibat percaturan projek pembangunan yang salah. Munir digambarkan sebagai lelaki Melayu biasa yang bermula dari bawah, membuat kerja buruh, sehingga berjaya menjadi kontraktor dan memberi kehidupan yang agak selesa kepada keluarganya. Dari sudut pandang Acap, kita melihat seorang kanak-kanak yang terperangkap di antara dunia kanak-kanak yang serba bebas, seronok, dengan konflik ibu bapa yang sedang menghadapi kesusahan. Acap kanak-kanak yang berjiwa sensitif, mudah merajuk, sering dibuli, dan kuat juga berangan sehingga dia boleh membayangkan kehadiran seorang sahabat bernama Jahar yang menjadi semacam malaikat kepada Acap dalam novel ini. 

Tunjang utama novel Abdullah ialah cerita Acap, bukannya Munir, kerana di sinilah sisi polos, khayalan, kasih sayang, dan kemanusiaan dalam sebuah keluarga itu paling jelas digambarkan. Saat Acap bermain di tepi sungai, atau merayau di tengah kota bersama Jahar, kita sama-sama merasai keinginan Acap untuk lari ke sebuah dunia yang aman dan bahagia. Sayang sekali, pengalaman ini diganggu oleh konflik drama Melayu Munir dengan isterinya. Abdullah belum cekap mengatur konflik dalam sebuah perkahwinan, maka terpaksa bergantung kepada melodrama murahan sebagai jalan keluar kepada pengakhiran novelnya. 

Tapi kalau Abdullah hanya tumpu pada naratif Acap, adakah ia akan melipat gandakan pengalaman kita membaca novel ini? Tidak sepenuhnya; saya fikir Abdullah masih ada kekangan dari segi gaya bahasa dan teknik penceritaan yang boleh memberikan kepadanya ruang paling luas untuk bermain dengan suara dan emosi seorang kanak-kanak. Ia bukan soal apa yang Acap lihat sahaja; cara dia bercakap, cara dia berfikir, tidak akan sama dengan cara orang dewasa bertindak. Di sini Abdullah perlu melihat, sebagai contoh, cara Henry James bermain dengan sudut pandang kanak-kanak dalam What Maisie Knew, atau cara Charles Dickens menggunakan kanak-kanak untuk pandu konflik utama penceritaan. 

Namun, di sebalik keterbatasan teknik dan gaya bahasa Abdullah, masih ada momen-momen intim bersama Acap yang sangat berbekas di fikiran saya. Seperti Acap, saya juga bukan berasal dari Kuala Lumpur. Ketika membesar, Kuala Lumpur sentiasa ada tarikan magis; ia kota yang saya ingin tinggal apabila dewasa. Saya boleh faham keterujaan seorang kanak-kanak yang kali pertama melihat suasana sebuah kota besar. Maka bab ketika Acap bangun subuh dan melihat dunia di sekelilingnya, memberikan kepada kita pengalaman paling indah dalam novel Abdullah Hussaini:

"Aku menyukai waktu subuh. Aku suka bangkit di pangkal hari walaupun selepas membuka mata aku masih terbaring di atas tilam dengan kelopak mata mata yang hampir-hampir tertutup semula. Kalau di rumah dahulu hawanya lebih dingin dan selimutku tebal membalut tubuh yang terketar-ketar kesejukan. Tetapi di Kuala Lumpur ini aku aku membiarkan tingkap terbuka dan dunia luar  membawa sama pemadangan malam bercahaya yang indah, seperti kerlipan kunang-kunang di muara kuala (aku hanya pernah lihat di iklan tv sahaja) dan untuk sekurang-kurangnya membawa sama tiupan angin sederhana dingin. 

Aku mengilas badan ke kiri dan ke kanan sehigga tulang-temulang menghasilkan gerutup yang melegakan bunyinya. Aku menyandarkan badan ke dinding dan melunjurkan kaki. Kipas sudah kututup tengah malam tadi kerana bunyinya bising. Yang anehnya deruman enjin kenderaan yang lalu-lalang di jalan bawah tidak dirasakan menganggu telingaku.

Aku berjalan ke tingkap dan memegang birainya. Tapak tanganku terasa sejuk. Di blok rumah pangsa yang bertentangan, aku melihat beberapa buah rumah yang sudah terang-benderang dan kelibat manusia di dalamya. Ada yang sedang menggosok pakaian dengan seterika, ada anak-anak yang sudah siap dengan seragam sekolah. Dan di meja makan sang ibu sedang mengatur pinggan mangkuk untuk sarapan. Hal ini membuatkan aku tertanya-tanya, bilakah kali terakhir keluarga kami bersarapan bersama? Ya, di rumah Pak Long.

Sorotan mataku mengekor pula pada bangunan-bangunan yang masih tidur. Walaupun ada yang bercahaya terutama pada puncaknya, tetapi kebanyakannya masih nyenyak tanpa kehadiran para penghuninya. Kemudian pandanganku memanjang pula pada jalan raya yang melingkar, bertembung di penghujung seperti ular-ular yang terbelit kekenyangan. Ada beberapa buah kenderaan berat terutamanya lori yang melintas dengan perlahan. Jalan-jalan masih diam dan belum bising dengan tempikan hon atau sepuluhan debu."     

Comments

mohamad kholid said…
aku fikir, aku pun sudah seperti kanak-kanak kembali. letak kepala atas bantal. lelap.

Popular Posts