Sepasang Mata Jingga Dalam Tubuh Puisi


1. Mata puisi Syafiq Ghazali ialah mata berwarna jingga.  

2. Syafiq menulis puisi seolah-olah dia takut kepada malam; seolah-olah dia takut mata puisinya akan terpejam. 

3. "kau menetap di mataku/ seketika/ tapi, sungguh, ia berbekas lama."

4. Kenapa Syafiq nak membakar matanya sendiri? 

5. Adakah Syafiq seperti lelaki-lelaki dalam filem Wong Kar-wai yang menyeksa diri dengan cinta?

6. Tahun lepas saya menangkap gambar gerhana matahari, orang kata mata saya akan jadi buta.

7. "aku membakar mataku buat suluhan jalan ke jejakmu."

8. Tiga belas cara Wallace Stevens melihat seekor burung hitam ialah tiga belas cara seorang penyair melihat waktu.  

9. "Di antara dua puluh gunung salji/ Satunya-satunya yang bergerak/ Ialah mata burung hitam."

10. Kenapa Syafiq hanya melihat dunia dengan sepasang mata jingga? 

11. Adakah cinta hanya sepasang mata hati yang buta? 

12. Melihat puisi Syafiq ialah melihat mata senja yang "dicelup dakwat malaikat."

13. Dalam dunia Syafiq, manusia tidak tidur; mata mereka menggelintar di tengah kota seperti hantu-hantu Baudelaire. 

14. "dalam segala warna, jingga yang paling kusuka."

15. Syafiq melihat ke dalam mata puisi dan menemui kematiannya sendiri. 

16. Syafiq menulis untuk melemaskan diri dalam kolam mata puisi. 

17. Di bawah mata kiri saya ada satu parut dari masa lalu.

18. Orang kata pena lebih tajam daripada pedang; dalam dunia Syafiq, mata ialah pedang yang menusuk dada.     

19. Dalam filem Peeping Tom, kamera ialah mata yang merakam ketakutan wanita. 

20. Dalam puisi Syafiq Ghazali, jendela ialah mata ke dalam tubuh seorang kekasih. 

21. "mencintai seseorang adalah memasuki tubuhnya dan menetap di jantungnya."

22. Seperti mata yang menatap cahaya dengan terlalu lama, saya keluar dari sajak Syafiq dengan sepasang mata berwarna jingga. 

23. Adakah puisi mengubah kita menjadi penyair, atau ia mengubah kita menjadi kata-kata seorang penyair? 

24. "kalau kacamataku boleh berkata-kata, dia tetap memilih/ untuk bisu - dan retak seribu." 

25. Menurut Syafiq, dia selalu menghadapi masalah untuk berkata-kata kerana kata-kata "yang sepatutnya mudah melompat keluar dari bibir saya menjadi satu teka-teki yang rumit, dan segala yang rumit pula adalah labirin yang menyesatkan pendengarnya."

26. Maka Syafiq menulis puisi, kerana hanya melalui puisi dia boleh melihat jalan keluar dari labirin itu.  

27. Tetapi sepantas mana pun Syafiq berlari, tubuhnya akan tetap terbakar, dan kata-katanya hancur menjadi debu. 

Comments

Popular Posts