Siapakah Pengarang Hikayat Abdullah?



Seperti kedengaran retorik pula soalan ini: semua orang tahu pengarangnya ialah Munsyi Abdullah. Tetapi bagaimana kita boleh pasti? Tidak ada dokumen atau wasiat, sekadar catatan dua orang mat salleh  (Alfred North dan J. T. Thomson) mengenai Munsyi Abdullah. Tidak ada ulasan atau kritikan pembaca pada zaman Munsyi Abdullah. Tidak ada kata pengantar oleh Raffles (seperti kata pengantar Raffles untuk terjemahan Sejarah Melayu oleh sahabatnya John Leyden) walaupun Munsyi memuji Raffles sampai ke langit. Barangkali kita perlu melihat teks itu sendiri dan membuat perbandingan dengan karya Munsyi yang lain, pasti ada persamaan dari segi pemikiran dan gaya bahasa. Ya, pendekatan sebegitu memang lazim dibuat, tetapi akan timbul satu halangan lain: versi manakah kita ingin rujuk? Saya yakin para peminat (ada ke peminat?) dan pengkaji (masihkah dikaji?) tegar Munsyi Abdullah akan menuduh saya melebih-lebihkan variasi naskhah Hikayat Abdullah. Niat saya sebenarnya bukanlah nak merendah atau menafi kepengarangan Munsyi Abdullah, tetapi membebaskan Munsyi daripada penjara tafsiran yang sedia ada. 

Saya bukanlah pakar dalam kajian sastera Melayu tradisional, malah boleh bilang dengan jari hikayat-hikayat saya pernah baca. Tetapi saya tertarik dengan kajian filologi ke atas sebuah teks lama, terutama sekali kajian terhadap teks Sejarah Melayu. Sepanjang sejarah kajiannya, saya perasan, ada semacam kegilaan di kalangan sarjana dan sejarawan untuk membuktikan versi atau naskhah Sejarah Melayu manakah yang paling lama. Winstedt kata Raffles No. 18 ialah naskhah paling lama, sementara Ahmat Adam pula kata naskhah Krusenstern paling lama. Entah suatu hari nanti ada sarjana akan terjumpa naskhah Sejarah Melayu di bawah piramid Mesir atau di dalam laci bilik tidur Leonardo da Vinci, dan umum ke seluruh dunia bahawa inilah naskhah paling tua! Hebat betul ya pengarang kita dulu? Katakanlah dengan izin Tuhan kita dapat menemui manuskrip asal Sejarah Melayu (sebelum ia dilarikan ke Gowa dan kemudian "dikarang" semula oleh Tun Sri Lanang pada 1612), dan sungguh-sungguh menelitinya, dan mendapati ia tidaklah sehebat mana pun. Barangkali susunan asal manuskrip itu berselerak dan tidak kemas berbanding teks yang diselenggarakan oleh Tun Sri Lanang. Barangkali bahasanya mendatar dan tidak ada pun babak pertarungan antara Tuah dan Jebat. Barangkali manuskrip asal itu tidak lebih daripada senarai sultan-sultan yang pernah memerintah negeri Melaka. Adakah pada masa itu para sarjana kita akan kata inilah teks Sejarah Melayu yang paling autentik? Tidak perlu lagi baca versi Tun Sri Lanang, terus pergi kepada manuskrip asal. Saya serahkan kepada pembaca untuk fikir, kerana saya ingin kembali kepada Hikayat Abdullah.  

Pada mulanya hanya terdapat dua bentuk Hikayat Abdullah: naskhah dan edisi cap batu 1849. Antara 1880 dan 1917, teks dalam edisi cap batu itu diulang cetak sebanyak 14 kali di Singapura. Ada cetakan Jawi, dan ada cetakan Rumi. Kebanyakan versi cetakan ini digunakan di sekolah, malah ada ketika judulnya ditambah menjadi:

Hikayat Abdullah bin Abdul Kadir Munsyi yang Berguna di dalam Tempat Belajar Kanak-Kanak Melayu yang di dalam Singapura, Pulau Pinang dan Melaka

Sejauh mana buku ini memberi kesan yang "Berguna" pada anak-anak Melayu zaman itu kita tidak tahu. Kita yang hidup di zaman media sosial barangkali sudah naik muak membaca kritikan terhadap sikap "malas" orang Melayu dan keboborkkan raja-raja Melayu. Tetapi bayangkan anak-anak muda di penghujung abad kesembilan belas dan awal abad kedua puluh; membaca Munsyi Abdullah ketika itu pasti seperti dicurah air dingin ke muka.

Hanya terdapat tiga naskhah salinan Hikayat Abdullah. Pertama, terdapat di Library of Congress, disalin oleh Husein bin Ismail, jurutulis Alfred North. Kedua, di Houghton Library, Harvard, juga disalin oleh Husein bin Ismail. Ketiga, di Hocken Library, Dunedin, inilah naskhah yang disalin oleh J. T. Thomson. Menurut Thomson, pada 1846, dia menerima manuskrip daripada Munsyi yang minta ia diterjemahkan ke bahasa Inggeris. Antara ketiga-tiga salinan naskhah ini, mana satukah yang paling autentik dan bagus? Saya sendiri tidak pernah menatap naskhah ini, maka saya hanya boleh berpegang pada kajian terperinci yang dibuat oleh Amin Sweeney. Jawapannya: tidak ada satu pun naskhah sempurna. Masing-masing ada kelemahan dan ciri-ciri menarik untuk dikaji. Itu baru variasi naskhah, kita belum tengok suntingan-suntingan yang dibuat dalam edisi cetakan kemudian. Maka apabila teks Hikayat Abdullah sampai ke tangan Kassim Ahmad, kita boleh bayangkan sahaja bahawa ia semakin jauh meninggalkan manuskrip asal yang dikarang oleh Munsyi.

Maka sipakah sebenarnya pengarang Hikayat Abdullah? Seorang kerani kelahiran Melaka bernama Abdullah bin Abdul Kadir? Seorang pengarang bernama Munsyi Abdullah yang menulis tentang "watak" bernama Munsyi Abdullah? Keasberry (penerbit pertama buku ini)? Thomson? Husein bin Ismail? Alfred North? Barangkali semua nama ini boleh dikumpul di bawah satu nama ibu atau induk iaitu MUNSYI ABDULLAH. Saya tidak fikir satu naskhah harus diutamakan di atas naskhah yang lain. Pokok induknya tetap sama; cuma akar yang membumi itu bercabang dan berselirat.

Dari segi bentuk, Hikayat Abdullah sebenarnya meminjam idea daripada teks-teks Melayu klasik yang lain seperti Sejarah Melayu dan Taj Us-Salatin. Tetapi saya tertanya-tanya juga jika Munsyi Abdullah pernah membaca Hikayat Amir Hamzah. Ini merupakan kisah klasik dari India pada zaman kegemilangan  Empayar Mughal. Seperti Sejarah Melayu, Hikayat Amir Hamzah (atau Hamzanama) dikarang di istana sekitar tahun 1557 dan 1572 berdasarkan titah seorang maharaja yang baru berusia empat belas tahun. Namun perbezaan paling ketara ialah teks ini dikarang secara kolektif yang melibatkan ratusan pelukis dan pengarang. Hamzanama mengandungi 46 jilid dan 48000 halaman dengan illustrasi berwarna. Betapa hebatnya karya klasik ini, ia disebut dalam Sejarah Melayu ketika Portugis menyerang Melaka di mana ia dibaca untuk membangkitkan semangat pahlawan Melayu. Maka tidak mustahil Munsyi Abdullah juga pernah membacanya.

Tetapi kalau proses penciptaan Hamzanama itu melibatkan begitu ramai seniman, siapakah pengarang yang sebenarnya? Menurut Salman Rushdie "the true Overartist" karya ini tidak lain tidak bukan ialah Maharaja Akbar sendiri.
  

Comments

Popular Posts