Bolehkah Seorang Pengarang Membenci?

Edouard Louis

Dalam wawancara bersama Electric Literature, pengarang Perancis Edouard Louis tidak menyembunyikan rasa bencinya terhadap golongan borjuis. Dia menyerang Sartre dan ahli intelektual Perancis yang dikatakan berjuang untuk golongan kelas bawahan, namun mereka sendiri adalah golongan borjuis. Edouard Louis bukan sahaja datang dari masyarakat kelas bawahan, dia juga seorang homoseksual, dan mangsa rogol. Dia menceritakan semua ini dalam novel autobiografinya History of Violence. Saya belum membacanya, di kedai buku pun belum nampak. Ya, sebuah lagi autofiksyen (saya percaya pengikut aliran ini akan terus meningkat). Seingat saya, Martin Amis pernah kata novelnya semua tentang golongan kelas bawahan, tidak ada satu pun tentang golongan kelas menengah. Tetapi bukankah Amis lahir dan membesar dalam suasana borjuis? Barangkali tulisan Amis (dan mungkin juga tulisan saya) tidak akan disenangi oleh Louis. Barangkali dia akan melihat cerita Amis sebagai dibuat-buat dan bukannya pengalaman yang autentik. Hanya orang yang pernah mengalami kesakitan boleh menulis tentang kesakitan; atau hanya orang yang pernah hidup susah boleh menulis tentang kesusahan. Lebih kurang begitulah nada dan retorik yang kita selalu dengar. Namun adakah kesakitan mewajarkan kita untuk membenci manusia lain? Ada banyak novel yang membuat kita sakit - membuat kita marah - ketika membacanya. Ranjau Sepanjang Jalan ialah novel tentang kesusahan dan kesakitan hidup golongan petani. Musuh utama dalam buku ini bukan tuan tanah atau ahli politik, tetapi alam. Dan kematian. Kita rasa derita Lahuma menghadapi kematian. Kesakitan dalam novel-novel J. M. Coetzee lebih kompleks, terutama sekali apabila isu rasisme berbaur dengan masalah politik. Disgrace ialah novel terakhir yang membuat saya marah selepas saya selesai membacanya. Adakah saya marah sebab jenayah seksual dalam novel itu tidak diselesaikan? Mungkin ya; dan mungkin itu juga realiti kehidupan di Afrika. Tetapi adakah dalam kemarahan itu, ia turut menanam rasa benci dalam diri saya? Tidak. Seorang novelis sentiasa melihat kehidupan dari jarak yang lebih jauh daripada pengalaman peribadinya. Tidak kisahlah ia fantasi atau autofiksyen. Penulisan mencipta ruang kerana bahasa mencipta jarak dengan kehidupan. Sukar untuk saya membayangkan menulis novel dalam suasana kebencian. Atau menulis novel untuk mengajak seorang manusia membenci manusia yang lain. Barangkali kesakitan saya alami dalam hidup tidak seberat pengalaman Edouard Louis. Maka saya tidak berhak untuk bersuara. Atau bak kata Wittgenstein: "Kita harus diam mengenai perkara yang kita tidak mampu ungkapkan."     

Comments

Popular Posts