Lima Novel Terbaik 2017


Saya akan mula dengan menyebut novel terbaik 2016 iaitu Light Years karangan James Salter. Sepanjang tahun ini Azrin Fauzi berkali-kali mengingatkan saya supaya menyiapkan senarai novel terbaik tahun lepas. Masalahnya Light Years ialah karya yang terlalu indah bahasanya sehingga susah untuk saya mencari bentuk atau penyusunan ayat yang akan memberi keadilan sewajarnya kepada buku ini. Cukuplah untuk saya katakan bahawa Light Years bukan sahaja novel terbaik saya baca pada tahun 2016, ia juga novel realisme terbaik yang pernah dikarang oleh seorang penulis Amerika.



* * *

Pada tahun ini saya tidak bercadang untuk menyenaraikan sepuluh buah novel seperti selalu, sekadar pilih lima yang terbaik. Malah ulasan saya pun ringkas. Saya harus akui tahun ini merupakan tahun paling sedikit saya membaca novel. Tenaga juga banyak dihabiskan ketika menulis dan menyusun novel keenam saya Di Kala Bulan Bermain Biola. Kenapa saya masih membaca novel? Barangkali ini soalan aneh dan tolol kerana seorang novelis sudah tentu akan membaca novel. Tetapi ada ramai juga penulis saya kenal yang tidak lagi membaca novel baru melainkan mengulangi membaca novel-novel kegemaran pada zaman muda mereka. Kalau mereka cuba membaca pun novel terkini Haruki Murakami atau Paul Auster, mereka tidak akan menemui apa-apa keistimewaan di dalamnya. Barangkali ia masalah generasi juga. Kalau penulis senior tidak tahan membaca Murakami, saya kira ada ramai juga penulis muda yang tidak tahan membaca Hemingway atau John Steinbeck. Baru-baru ini saya temui komen Peter Handke tentang novel Knausgaard My Struggle. Dia tidak boleh membaca buku itu kerana menurutnya tulisan Knausgaard "tidak ada udara." Dia percaya, "Sastera memerlukan udara." Saya tidak tahu apa udara yang Handke maksudkan kerana setiap kali saya membaca My Struggle, saya mendapat udara yang lebih daripada cukup. Handke pengarang yang lebih senior dan gaya bahasanya pun sangat berbeza dengan Knausgaard. Adakah ini masalah generasi atau sekadar citarasa terbatas seorang pengarang lama? Kemudian saya teringat: Knausgaard tidak suka novel Murakami. Mungkin udara Murakami tidak cukup Jepun. Apa-apalah. Ia sekurang-kurangnya menjawab soalan saya tadi: saya membaca novel - dan akan terus membaca novel - kerana saya tidak pernah mempunyai ruang cukup untuk bernafas. 

* * *
Saya jarang memasukkan novel klasik ke dalam senarai ini. Saya fikir novel klasik seperti Madame Bovary atau Anna Karenina akan sentiasa dibaca oleh setiap generasi; ia tidak memerlukan sebarang sokongan dan pujian daripada saya. Tetapi kadang-kadang kita terlupa kenapa novel klasik masih ada bersama kita ibarat tukul yang tersimpan lama di dalam almari garaj. Di saat kita mencarinya, ia masih boleh digunakan, dan masih boleh membuat seseorang tercedera jika dipakai dengan terlalu kuat. Kalau tidak salah saya Thomas Bernhard tidak suka ahli falsafah bangsanya sendiri (Martin Heidegger misalnya), maka saya boleh membayangkan kemarahannya kalau saya kata membaca tulisannya adalah ibarat tangan yang dihentam tukul secara bertalu-talu. Tetapi saya tidak berdrama. Membaca Extinction memang menyakitkan sehingga saya terpaksa berhenti dan menunggu kemarahan dalam dada saya surut sebelum saya sambung membaca. Selain Bernhard, hanya Coetzee boleh membuat saya rasa begini. Tetapi Coetzee masih menggunakan cerita dan ketegangan di antara watak. Sementara Bernhard hanya memerlukan bahasa untuk membuat nadi kita melompat-lompat. Extinction sangat sesuai dibaca selepas ibu bapa menghalau kita daripada rumah, atau ketika kita merindui seorang pak cik yang jarang datang ke rumah kerana dia tidak tahan dikelilingi oleh orang ramai dan kerana dia berbeza daripada semua orang dalam keluarga.       


Ini adalah seorang novelis yang tidak perlu diperkenalkan lagi kerana Paul Auster sudah banyak kali masuk ke dalam senarai novel terbaik saya. 4321 bukan sahaja novel paling tebal dia pernah tulis, ia juga merupakan karyanya paling kompleks dan epik. Selalunya apabila sebut epik, kita akan terbayang novel seperti Moby Dick atau Karamazov Brothers (pengembaraan luar biasa dan pertembungan ideologi berbeza). Tetapi 4321 mengisahkan perjalanan hidup seorang lelaki bernama Ferguson. Kita membesar bersamanya dan kita dapat melihat empat kemungkinan (1, 2, 3, 4) yang boleh berlaku sekiranya dia menempuh jalan kehidupan berbeza. Secara teknikal, Auster memang bekerja keras untuk novel ini melebihi mana-mana novelnya yang saya pernah baca. Adakah hasilnya sama besar dengan skala epik yang dia ingin bawa? Menurut saya, Auster belum sampai ke tahap itu. Bahasa dan teknik naratifnya masih tipikal Auster. Ia mengingatkan saya kepada novel Murakami 1Q84 yang juga tidak menawarkan apa-apa pembahuruan kecuali memuaskan kerinduan kita sebagai seorang peminat.


Nak mencari novel komedi sangat susah dan bukan semua pengarang ada bakat untuk berkomedi (sesiapa pun boleh menulis drama dan tragedi). Fiksyen Malaysia yang paling lucu saya baca tahun ini ialah cerpen Anas dan novel Hadi M. Nor, kedua-dua pengarang baru yang bakal mengubah landskap pembacaan kita. Kemudian saya juga temui novel komedi falsafah Lars Iyer berjudul Exodus. Saya pertama kali menemui tulisan orang ini beberapa tahun lalu apabila ada makalah online menyebut novel Spurious yang bermula daripada blog dengan judul yang sama. Lars Iyer menggunakan kaedah komedi duet di mana dua watak saling berdialog dan saling mengkritik tindakan masing-masing. Kita menemui kaedah ini dalam novel Cervantes Don Quixote dan juga novel Flaubert Bouvard et Pecuchet. Exodus merupakan bahagian daripada trilogi yang dimulai oleh Spurious. Lars Iyer memperkenalkan watak Lars dan W., dua orang profesor falsafah yang sangat meminati Kierkegaard, tetapi pada masa sama, agak bengap dan tolol. Pemerhatian dan pendapat mereka tentang falsafah Eropah dan budaya universiti di England sangat melucukan dan bersahaja. Ini bukann novel untuk semua orang, tetapi peminat falsafah Eropah dan sastera kontemporari akan menikmati jenaka Lars Iyer yang manis dan bergetah.


Novel Jean-Philippe Toussaint Self-Potrait Abroad juga padat dengan jenaka seperti novel Lars, tetapi ketawa kita bukan ketawa hal-hal intelektual; bakat Toussaint  ialah melihat dan memberi warna kepada benda-benda harian dan membosankan. Setiap bab disusun mengikut negara yang dilawati oleh naratornya (Jepun, Czech, Vietnam antaranya). Ketebalan novel ini hanya sekitar 80 halaman dan Toussaint menggunakan setiap ruang dengan sebaik-baiknya. Malah kalau kita nak bercakap tentang karya minimalis, saya rasa kita mesti terlebih dahulu merujuk kepada tulisan Toussaint dan bukannya cerpen Raymond Carver. Minimalis menurut saya bukan soal menulis ayat dan dialog ringkas semata-mata; lebih penting adalah memadatkan waktu dan pengalaman harian manusia ke dalam bentuk naratif yang paling mudah dan senang dicerna imejnya.


Selepas saya selesai membaca novel Samanta Schweblin Fever Dream, ada dua benda yang berlaku kepada saya. Pertama, badan saya rasa seram sejuk seolah saya baru bangkit daripada mimpi ngeri. Kemudian saya terfikir, kalaulah novel ini ditulis oleh seorang pengarang Amerika (Schweblin ialah pengarang dari Argentina), adakah ia akan terbit sebagai novel sastera atau novel weird fiction? Secara mudahnya novel ini mengisahkan akibat yang berlaku apabila seorang ibu menggunakan ilmu bomoh untuk memindahkan roh anaknya yang sedang nazak ke tubuh anak lelaki lain. Fever Dream tidak memberikan langsung ruang untuk kita bernafas kerana suspensnya berterusan dari mula hingga akhir cerita. Kenapa saya pilih Fever Dream sebagai novel terbaik 2017? Apabila saya melihat kembali novel-novel terbaik saya pernah pilih untuk blog ini (seperti My Struggle dan Bartleby and Co.) saya boleh rumuskan semuanya dalam satu perkataan: baru. Bukankah itu juga maksud literal novel, sesuatu yang baru. Dan bila kata baru, benda baru apa yang saya cari? Permainan plot? Pemikiran? Ideologi? Watak segar? Gaya bahasa kompleks? Semua unsur itu penting, tetapi pembaharuan saya paling cari ialah pengalaman membaca novel yang berbeza. Tidak dinafikan, akhirnya, semua novel harus dibaca dari kiri ke kanan, dari halaman pertama hingga ke halaman paling belakang. Namun cara seorang pengarang mengisi perjalanan itu dan bagaimana dia membahagikan setiap halaman dan mengatur rentak pembacaan kita, akan menentukan di mana letaknya novel itu berbanding novel-novel yang telah datang sebelumnya. Sebagai sebuah novel, Fever Dream memang padat dan memuaskan; tetapi ia juga mempunyai satu kelebihan lain yang tidak ada pada kebanyakan novel berbentuk realisme: ia mencipta dunianya sendiri. Bandingan paling dekat saya boleh fikir adalah novel Henry James The Turn of the Screw atau cerpen terkenal Julio Cortazar "House Taken Over." Tanggapan kita tentang hubungan realiti dan alam bawah sedar bukan sahaja dicabar dalam karya-karya ini; kita juga akan mula mempersoalkan kesahihan sebuah cerita dan bagaimana fiksyen mempunyai kuasa untuk memukau dan membuat kita percaya sesuatu yang memang tidak akan pernah ada.
                    

Comments

Popular Posts