Taiping: Berjalan dalam Hujan



Saya terlebih minum kopi putih semalam. Itu kali pertama saya meneguk dua gelas kopi sejuk secara berturut-turut. Asalnya kami bercadang hendak bergegas ke Ipoh mencari kopi putih paling asli dan paling kaw. Tetapi hari pun sudah petang. Dan Taiping masih tenang memerahkan baju lusuhnya yang basah.

THE RED BAWAL

YOU'LL NEVER EAT ALONE 

Saya dan Azrin ketawa membaca papan tanda sebuah gerai di Medan Selera Padang Sarkas. Kreatif juga orang kita memancing pelanggan ke kedai mereka. Tetapi malangnya tempat itu tidak memuaskan selera makan kami. Mahal pun mahal: Yong tau foo sampai RM22 sepinggan. Johan dan Azrin mengeluh nasih goreng seafood mereka tidak mempunyai rasa. Saya dan Yana pula kecewa tidak dapat menikmati ais krim istimewa medan selera itu. Maka saya pun membuka telefon dan menggoogle kopitiam Taiping dan belum sempat saya memilih hasil carian, Johan bersuara:

"Wei! Aku baru ingat ada chicken chop sedap kat Taiping." 

Ya Allah Johan! Sekarang baru dia nak cakap. Padahal sotong dan sosej basi sudah mengaum dan berenang-renang dalam perut masing-masing (mengalahkan Cthulhu). Johan tidak ingat nama kedainya. Saya semak Google dan menemui Yut Sun Restoran. Kebetulan medan selera dekat dengan Jalan Pasar, lebih kurang lima minit berjalan kaki.

Menurut isteri saya, kalau kami akan pindah rumah, kami akan pindah ke Taiping. Bukan Ipoh dan bukan George Town. Kota ini lebih sunyi dan lebih terpelihara keaslian budaya dan warisan seni binanya. Saya tidak peduli sangat soal budaya itu. Yang penting makanannya mesti sedap dan murah. Dan apabila saya mengunyah cebisan chicken chop di Yut Sun, saya bertambah-tambah setuju dengan pendapat isteri saya. Meja, kerusi, dan lantai restoran ini juga berwajah lama seperti dalam gambar hitam putih. Saya kata kepada Johan, "Inilah istimewanya Perak. Ada banyak sisa zaman kolonial." Kemudian sambil menyandar dan meneguk kopi putih ais, saya terfikir: Siapakah penulis Taiping? Ada tak puisi atau novel yang ditulis tentang kota yang sentiasa berbantal basah ini? Saya kata kepada Johan dan Azrin yang saya gemar mengikuti tulisan yang khusus mengenai sebuah kota. Saya beri contoh A. S. Laksana dan kota Semarang yang selalu menjadi latar ceritanya. Lovecraft pun sama, malah dia menjadikan sebuah kota kecil pintu kepada alam kosmik yang mengerikan.

Masa bergerak perlahan di Taiping. Azrin membuat gurauan yang sebuah universiti tidak boleh dibuka di Taiping kerana cuacanya yang sejuk dan suasananya yang tenang akan membuat pelajar (dan pensyarah) malas untuk bangun ke kuliah. Kami pun waktu itu rasa malas nak meninggalkan Yut Sun. Tetapi Kuala Lumpur masih jauh dan kami tidak mahu terperangkap dalam jaringan waktu.

Kami berempat berjalan perlahan meredah hujan. Tidak rasa pula nak berlari ke kereta. Bayangkanlah kalau Taiping adalah sebuah negara, dan bayangkanlah warganegara dan kerajaan yang memerintahnya. Nak pilihan raya pun entah berapa puluh tahun sekali, dan nak pilih seorang pemimpin baru, entah berapa ratus tahun lamanya.


Comments

Popular Posts