Novel Ketiga: The Light And The Dark




Martin Scorsese dalam sebuah video wawancara menceritakan bagaimana kepekaan visual bermula dengan memahami bahasa sinema. Bagi seorang pengarah filem, sudah tentu, manipulasi dan pembingkaian imej adalah segala-galanya dalam menterjemahkan sesuatu idea atau pengalaman kepada penonton. Akan tetapi apabila kita bercakap tentang novel, kita jarang berfikir tentang imej. Protagonis, plot, sudut pandang, suspens. Ini ialah benda-benda asas yang kita selalu dengar dalam bengkel atau baca dalam buku panduan penulisan. Walaupun semua benda ini sering digunakan oleh seorang novelis untuk membangunkan naratif, ia masih terlalu asas, dan belum cukup untuk menerangkan sendi-sendi dan kod DNA dalam sebuah novel.   



Antara unsur penting dalam sebuah filem atau lukisan adalah pencahayaan. Kalau saya sedang melihat lukisan pemandangan, misalnya, saya akan melihat bagaimana pelukis itu membaurkan cahaya, warna, dan geometri untuk menghasilkan kedalaman imej. Kita mahu imej itu membuka jalan kepada mata kita untuk bergerak dan berada dalam lukisan tersebut. Salah satu keterbatasan novel atau prosa adalah unsur visual ini kerana pengarang hanya mempunyai bahasa sebagai alat penceritaan. Tetapi apabila saya fikir tentang novel Pramoedya Ananta Toer dan Virginia Woolf saya akan fikir tentang imej dan pencahayaan. Perburuan ialah satu contoh novel yang sangat nokturnal kerana peristiwanya berlaku dalam satu malam. Selalunya apabila pengarang memendekkan waktu, pengarang itu sebenarnya memanjangkan lagi pengalaman yang ingin diceritakan. Sekarang bandingkan pulak novel ini dengan Mrs Dalloway karangan Virginia Woolf di mana siang lebih panjang daripada malam. Kalau kegelapan dalam novel Pramoedya membuat kita rasa terasing, maka cahaya dalam novel Woolf membuat kita terdedah dan lebih peka terhadap benda di sekeliling.  

Namun pencahayaan dalam novel datang bukan sahaja melalui kerangka naratif, tetapi juga melalui satu unsur prosa yang jarang dibicarakan secara kritikal iaitu perenggan. Antara novel terbaik saya pernah pilih untuk blog ini adalah Dept. Of Speculation karangan Jenny Offill. Ini ialah contoh novel yang tahu bagaimana menggunakan serpihan episod sebagai mekanisme penceritaan, malah saya rasa ia jauh lebih berkesan daripada novel Alvaro Enrigue Sudden Death. Di tangan Jenny Offill, memori dibahagikan mengikut perenggan dan setiap perenggan menjadi semacam piring-piring petri ingatan. 

"Memories are microscopic. Tiny particles that swarm together and apart. Little people, Edison called them. Entities. He had a theory about where they came from and that theory was outer space."

Angkasa lepas? Kita tidak perlu pergi sejauh itu untuk faham tentang memori.

Satu lagi contoh terbaik adalah The Light and the Dark tulisan seorang pengarang Rusia bernama Mikhail Shiskin. Judulnya sudah memberitahu kita tentang dua unsur penting novel ini iaitu cahaya dan kegelapan. Kedua-dua unsur ini secara bergilir keluar dan masuk ke dalam novel melalui dua arus penceritaan yang saling berhubung tetapi tidak pernah bertemu. Di sudut cahaya kita ada Sashka yang menulis surat dari rumah di Rusia, kemudian di sudut gelap kita ada Voldoya yang menulis surat dari medan perang di China. Kita tahu kedua-dua orang ini pernah membina memori bersama, namun anehnya apabila mereka menulis surat mereka seakan-akan bercakap dengan diri sendiri.

Semasa saya membaca novel ini timbul suatu persoalan, kenapa surat boleh menjadi bentuk penulisan novel yang disebut sebagai epistolari? Apa yang istimewa sangat tentang surat? Dan kalau ia sangat istimewa kenapa kita sudah berhenti menulis surat? Barangkali salah satu keistimewaan itu adalah rahsia. Seperti membuka diari, surat membenarkan kita untuk mengintip ke dalam rahsia hidup seseorang. Justeru apabila ia diterjemahkan ke dalam bentuk prosa kita merasa lebih intim dengan naratif teks seolah-olah teks itu memang pernah ditulis oleh seseorang. Tetapi adakah pembaca bersedia membaca apa-apa jenis surat? Saya kira surat tentang hutang tanah atau senarai barangan pasar tidak akan menjadi bahan menarik untuk sebuah  novel. Maka sebahagian besar novel epistolari mengisahkan percintaan antara dua orang watak seperti dalam The Light and the Dark.

Tetapi kalau surat adalah jambatan waktu serta emosi antara dua orang individu, apakah akan terjadi kalau bahasa sudah menjadi bisu? Barangkali ia sama sahaja seperti surat yang tidak ke sampai ke alamatnya. Penulisan harus mencipta alamat kepada seorang pengirim tanpa pengarang itu sendiri mengetahui apakah alamat tersebut. Kalau tidak ia akan jadi seperti surat yang ditulis dan disimpan di dalam laci meja. Itu gambaran saya dapat apabila membaca novel Shiskin di mana dua kutub kehidupan iaitu cahaya dan kegelapan telah terpisah akibat keruntuhan fungsi bahasa.  

Kemudian kita ada cara Shiskin menggunakan perenggan yang saya rasa adalah antara kekuatan terbesar novel ini. Dalam satu perenggan Shiskin akan membina imej, kemudian apabila dia bergerak ke perenggan seterusnya, imej itu berubah - atau memori itu berubah - seolah-olah imej Shiskin ialah butir cahaya yang tidak boleh duduk diam dan sentiasa melompat-lompat. Sebagai pembaca, apa yang kita patut buat dengan butir cahaya atau bayang kegelapan ini? Satu cara ialah mengambilnya dan simpan di dalam saku seluar untuk dibaca dan direnungkan di kemudian hari.


     

Comments

Unknown said…
Assalamualaikum tuan, saya dan ahli kumpulan merupakan pelajar dari Universiti Putra Malaysia. Tujuan kami ialah bolehkah kami menemuramah tuan dalam masa terdekat dalam menyiapkan tugasan kami. kami harap mendapat maklum balas dari tuan. sekian terima kasih.

Popular Posts