Novel Keempat: Sudden Death




Sesiapa yang mengikut blog ini pasti tahu bahawa saya sering melontarkan kritikan negatif terhadap novel sejarah, terutama sekali novel sejarah di Malaysia. Saya bukannya alergik kepada sejarah, tetapi saya selalu ada masalah dengan keterbatasan tarikh dan fakta sejarah dan bagaimana keterbatasan itu turut mengikat dan merantai pemikiran kebanyakan orang (termasuk pengkarya seni) seolah-olah kalau kita bukan dalam  kumpulan A, kita pasti dalam kumpulan B. Maksudnya: kalau kita bukan pemenang dalam sesuatu peristiwa bersejarah, kita adalah orang yang kalah.   

Namun, menariknya, apabila kita membaca novel Alvaro Enrigue berjudul Sudden Death, kita melihat permainan sejarah diterjemahkan menjadi permainan sebuah novel. Tidak dinafikan lagi ini memang sebuah novel sejarah, tetapi ia bukan sebarangan novel sejarah; ia adalah novel sejarah dalam bentuk permainan tenis. Kalau kita boleh membayangkan sebuah stadium tertutup dengan beberapa gelanggang tenis di dalamnya, maka kita boleh membayangkan struktur novel yang inovatif ini. Terlebih dahulu mari kita melihat permainan utama yang diaturkan oleh pengarang untuk pembacanya iaitu perlawanan tenis antara dua tokoh sejarah: Francisco de Quevedo dan Caravaggio. Pemain pertama ialah seorang penyair Sepanyol dan pemain kedua ialah seorang pelukis Itali. Quevedo sedang lari daripada tuduhan jenayah bersama penaungnya iaitu seorang bangsawan bernama Pedro Tellez Giron. Sementara Caravaggio sedang berada di zaman kemuncaknya dan dia mempunyai tiga orang penaung: Cardinal del Monte, Vincenzo Giustiniani, dan Federico Borromeo. Tenang, ada banyak lagi nama lain dalam novel ini sehingga ada waktunya kita tidak tahu kita sedang membaca sebuah fiksyen atau menghafal nama dan fakta daripada buku teks sejarah sekolah. Alvaro Enrigue membahagikan naratif utamanya kepada tiga set dengan sejumlah pusingan permainan bagi setiap satu. Bahagian ini paling mudah untuk dibaca kerana ia padat dengan aksi, peluh, desah, judi, maki-hamun, dan perulangan kata Tenez! Tetapi bahagian ini juga yang paling membosankan melainkan anda peminat tegar tenis dan anda bersedia mengorbankan waktu menonton Novak Djokovic di ESPN untuk membaca deskripsi panjang seperti ini:


"The poet returned to his side of the court. Tenez! He served a slow ball with no backspin that floated like a balloon onto the far corner of the roof. He watched it go up and noted, from the moment it began its descent, that he'd put it just where he wanted it. It would bounce oddly, drop in an awkward spot, and the Italian would have to lunge for it, hopefully with his backhand."


Itu baru tenis. Bayangkan kalau Faisal Tehrani menulis novel tentang perlawanan sepak raga antara Hang Tuah dan Alfonso de Albuquerque. Ya Allah!  

Tetapi Sudden Death juga mempunyai iklan dan episod selingan di antara setiap pusingan perlawanan. Antaranya ialah rambut Anne Boleyn yang dijadikan bahan membuat bola tenis; jenis permainan bola orang Romawi; definisi raket tenis; ukiran di pisau milik Caravaggio; dan bab demi bab mengenai penjajahan Hernan Cortes di Mexico. Bayangkan anda masuk ke kelas sejarah dan guru anda mengajarnya secara melompat-lompat sehingga apabila loceng berbunyi, tidak ada satu nama dan tarikh anda boleh ingat. Serius, saya terpaksa membaca Sudden Death lebih daripada empat kali untuk ingat kesemua wataknya.

Tetapi saya bersedia untuk memaafkan semua itu kerana sistem novel ini sangat unik dan tepat dalam memberikan kritikan terhadap sejarah. Siapakah yang mencipta sejarah? Apakah faktor yang mencetuskannya? Bagaimanakah ia berlaku? Berdasarkan novel ini, nampaknya, punca Quevedo berlawan tenis dengan Caravaggio ialah mereka minum arak terlalu banyak pada malam sebelum itu. Dan punca tamadun Aztec boleh jatuh ke tangan Sepanyol ialah kegagalan Cortes untuk mendapatkan penterjemah tempatan yang bagus. Ya, tenez!
   

Comments

Hackeleh ⁢ said…
Saya tak tahu kenapa tapi setiap kali saya nama Faisal Tehrani disebut dalam blog ni, saya akan tersenyum atau ketawa.

Popular Posts