Susan Sontag: Pengenalan Kepada Esei
Berikut merupakan prakata Susan Sontag kepada buku The Best American Essays 1992. Sontag di sini bukan sahaja memberikan pengenalan yang tepat dan terperinci mengenai penulisan esei, tetapi nada, susunan ayat, suara, dan gaya bahasa Sontag menjadi contoh terbaik bagaimana seorang pengarang esei patut mempamerkan peribadi kepengarangannya. Terjemahan esei ini dilakukan oleh saya.
* * *
Rasanya saya boleh mula dengan pengakuan minat.
Esei datang ke dalam hidup saya melalui keghairahan membaca seorang anak kecil yang juga gigih membaca novel, cerpen, dan puisi. Mulanya ada esei Emerson, ada tulisan Poe, pengenalan Shaw termasuk dramanya sendiri, kemudian baru datang Mann melalui Essays of Three Decades berserta Stories of Three Decades. Selepas itu "Tradition and the Individual Talent" berserta "The Waste Land" dan "Four Quartets." Dan Henry James melalui prakatanya dan novelnya sendiri. Sebuah esei boleh menjadi peristiwa, iaitu peristiwa yang mengubah keadaan, seperti novel atau puisi. Kita boleh selesai membaca esei Lionel Trilling atau Harold Rosenberg atau Randall Jarrell atau Paul Goodman, sekadar menyebut beberapa nama pengarang Amerika, dan kita akan rasa fikiran kita berubah terus.
Esei yang mempunyai daya tarik dan kepetahan berkata-kata seperti saya maskudkan adalah bahagian daripada sebuah budaya kesusasteraan. Dan budaya kesusasteraan - iaitu komuniti pembaca dan penulis yang mempunyai rasa ingin tahu serta keghairahan pada sastera dari masa lalu - bukan sesuatu yang kita boleh endahkan pada masa sekarang. Seorang pengarang esei boleh jadi lebih ironik dan gila apabila dibandingkan dengan cendiakawan tersohor.
Sebuah esei bukan rencana, bukan meditasi, bukan ulasan buku, bukan memoir, bukan laporan, bukan maki hamun, bukan cerita picisan, bukan monolog, bukan catatan kembara, bukan himpunan aforisme, bukan elegi, bukan berita, bukan -
Tidak, sebuah esei boleh menjadi salah satu atau sebahagian daripada yang disebut di atas.
Tidak ada penyair yang ada masalah untuk kata, Saya seorang penyair. Tidak ada pengarang cerita yang akan teragak-agak untuk kata, Saya menulis cerita. "Puisi" dan "cerita" masih dianggap stabil, mudah untuk dikenal pasti bentuk dan genrenya. Esei pulak bukan sebuah genre. Sebaliknya, "esei" hanya satu nama, dan ia nama paling gah yang ditabalkan ke atas pelbagai jenis penulisan. Penulis dan editor selalu sebutnya sebagai "makalah." Ini bukan sahaja rasa rendah diri atau sikap selamba orang Amerika. Ada semacam tindak balas defensif apabila bercakap tentang esei. Dan ramai sekali pengarang esei terbaik sekarang yang akan segera mengakui bahawa tulisan terbaiknya berada di tempat lain: dalam tulisan lebih "kreatif" (fiksyen, puisi) atau lebih ilmiah (akademik, teori, falsafah).
Disebabkan ia selalu dilihat sebagai penulisan yang terbelakang, esei boleh didefinisikan berdasarkan apakah ia sebenarnya - atau juga berdasarkan apa ia bukan. Contoh paling jelas adalah melalui antologi ini sendiri yang sudah masuk tahun ketujuh. Mula-mula datang Cerita Pendek Terbaik Amerika. Kemudian ada orang cadangkan, bolehkah kita terbitkan Cerita - apa? - bukan fiksyen terbaik di Amerika. Maka kita boleh kata definisi paling tepat, walaupun kurang memuaskan, untuk esei adalah ini: karangan prosa pendek yang bukan sebuah cerita.
Akan tetapi esei adalah bentuk penulisan yang sangat lama - lebih lama daripada cereka, malah sudah tentu lebih lama daripada novel. Esei bangkit di tengah tamadun Rom yang berbudaya tinggi, menggabungkan kemahiran berucap dan persuratan formal. Pengarang esei terhebat mereka seperti Seneca dan Plutarch bukan sahaja menulis esei moralistik dengan judul seperti " Tentang Cinta pada Kemewahan," " Tentang Cemburu dan Benci," " Tentang Menjaga Tepi Kain Orang," " Tentang Mengawal Kemarahan," " Tentang Mempunyai Ramai Sahabat," " Tentang Mendengar Kuliah," dan "Pendidikan Kanak-Kanak" - semua ini adalah garis panduan terperinci mengenai prinsip, sikap, dan tingkah laku - tetapi selain itu terdapat juga esei bersifat deskriptif, seperti esei Plutarch tentang budaya orang Sparta. Dan tulisannya berjudul "Kejahatan Herodotus" adalah contoh terawal esei yang melakukan pembacaan dekat sebuah teks agung: hari ini kita panggilnya sebagai kritikan sastera.
Tradisi esei ternyata menunjukkan kesinambungan sehingga sekarang. Lapan belas abad selepas Plutarch, kita melihat Hazlitt menulis esei dengan judul seperti "Tentang Kenikmatan Membenci." "Tentang Berkelana," "Tentang Cinta pada Desa," "Tentang Ketakutan pada Kematian," "Tentang Berbobot dan Kepalsuan," "Prosa Para Penyair" - subjek sepanjang zaman - termasuk esei mengenai hal remeh-temeh dan pertimbangan berkenaan pengarang klasik dan peristiwa bersejarah. Tradisi esei yang dimulai oleh orang Rom mencapai kemuncaknya pada abad kesembilan belas. Hampir kesemua penyair dan novelis terpenting abad kesembilan belas pernah menuli esei, bahkan sebahagian pengarang terbaik era itu (Hazlitt, Emerson) menulis esei sahaja. Selain itu pada abad kesembilan belas juga salah satu pengubahsuain penulisan esei - iaitu esei sebagai ulasan buku - mula dikembangkan. (Kebanyakan esei terpenting George Eliot ditulis sebagai ulasan buku untuk Westminster Review.) Dan dua pemikir terpenting abad itu, Kierkegaard dan Nietzsche, boleh dilihat sebagai pengkarya kepada bentuk penulisan esei - Nietzsche menjadikannya lebih fragmen dan padat; Kierkegaard menjadikannya lebih berulang dan bertenaga.
Sudah tentu, apabila kita kata ahli falsafah sebagai pengarang esei, ia seolah-olah menurunkan pangkat mereka. Budaya pentadbiran di universiti sering memandang esei dengan kecurigaan, kerana kandungannya terlalu subjektif, terlalu mudah difahami, terlalu santai. Namun melalui para pengacau dalam lapangan suci falsafah dan polemik ini juga kita menemui esei yang mempunyai penyimpangan, sikap berlebih-lebihan, dan kenakalan.
Sebuah esei boleh mempunyai subjek sama seperti novel atau cerpen atau puisi boleh mempunyai subjek. Tetapi disebabkan kelantangan suara dalam sebuah esei, dan ketegasannya berkenaan pendapat dan argumen, maka esei adalah bentuk kesusasteraan yang mudah hilang ditelan waktu. Hanya beberapa pengarang esei dari masa lalu yang masih dibaca, selebihnya tidak langsung. Pengarang esei yang masih dibaca oleh khalayak pembaca adalah pengarang yang memang sudah dikenali. Kita menemui esei Turgenev menentang hukuman gantung, yang kemudian kita temui dalam esei dengan tema sama oleh Camus dan Orwell, hanya kerana kita sudah mengenali Turgenev sebagai novelis. Kita menikmati tulisan Gertrude Stein "What Are Masterpieces" dan Lectures in America hanya kerana Stein adalah Stein adalah Stein.
Ia bukan sebenarnya soal esei boleh ditulis tentang apa sahaja. Ia memang begitu dari dahulu. Kelangsungan tradisi esei bergantung kepada penulis yang terus mendepani subjek di luar kebiasaan umum. Ini berbeza dengan puisi dan fiksyen kerana sifat semula jadi esei adalah kepelbagaian - kepelbagaian laras, subjek, nada, diksi. Esei tentang melalui hari tua dan jatuh cinta dan rahsia puisi masih ditulis. Dan ada juga esei tentang zip Rita Hayworth dan telinga Mickey Mouse.
Kadang-kadang pengarang esei adalah penulis yang menghadapi kekangan waktu (kerana menulis puisi atau fiksyen), dan sibuk menulis perkara lain... seperti polemik, catatan kembara, elegi, penilaian semula karya seorang tokoh atau musuh, manifesto mengangkat diri sendiri. Ya. Esei juga.
Kadang-kadang label "pengarang esei" itu kelihatan bersembunyi di bawah jubah "kritikus." Dan, memang, antara pengarang esei terbaik abad kedua puluh merupakan pengkritik. Seni tarian, misalnya, telah memberikan inspirasi kepada Andre Levinson, Edwin Denby, dan Arlene Croce. Kajian kesusasteraan telah melahirkan ramai sekali pengarang esei - dan masih berterusan, walaupun kajian kesusasteraan diganggu oleh budaya akademik.
Kadang-kadang pengarang esei adalah penulis yang susah difahami, tetapi kelihatan berbahagia apabila berhijrah ke dalam penulisan esei. Kalaulah lebih ramai pemikir, ahli falsafah, dan pengkritik budaya Eropah abad kedua puluh mengikut contoh Simmel, Ortega y Gasset, dan Adorno - mungkin orang akan lebih seronok membaca melalui esei mereka.
Perkataan esei itu berasal daripada Perancis, essai, percubaan - dan ramai pengarang esei, termasuk yang paling hebat antara semua, Montaigne, telah menegaskan bahawa ciri utama esei adalah eksperimen, iaitu keengganan untuk berada di bawah sistem pemikiran sistematik dan tertutup. Akan tetapi kesungguhan argumen juga salah satu ciri esei yang penting.
Jika kita ingin membaca esei dengan betul, kita mesti memahami bukan sahaja argumen yang disokong, tetapi juga argumen yang ingin ditentang. Ini senang apabila kita membaca esei oleh pengarang kontemporari kerana kita boleh nampak konteks idea, perdebatan umum, pihak lawan, yang tersurat dan tersirat. Namun perbezaan beberapa dekad akan menjadikan ia sangat mustahil.
Esei terbit di buku, tetapi ia bermula di majalah. (Sukar nak membayangkan sebuah buku diterbitkan dengan kandungan esei yang belum pernah terbit di tempat lain.) Nilai sebuah esei datang daripada isu semasa. dan untuk waktu singkat, ia boleh memberikan impak besar dan pengaruh kepada pembaca kontemporari, melebihi mana-mana bentuk penulisan. Banyak esei telah dibincangkan, diperdebatkan, dan menerima reaksi panas yang boleh membuat mana-mana penyair dan pengarang fiksyen cemburu.
Seorang pengarang esei berpengaruh mempunyai kepekaan halus terhadap perkara yang belum pernah (secara teratur) dibincangkan, dan perkara yang patut dibincangkan (tetapi dengan cara berbeza). Namun sebuah esei boleh bertahan lama bukan sangat disebabkan argumennya, tetapi kerana minda di belakangnya itu kompleks dan mempunyai suara kepengarangan tersendiri.
Walaupun ketepatan maksud dan argumen yang jelas dan gaya bahasa mudah sering dianggap sebagai norma penulisan esei, seperti mana naratif konvensional diterima sebagai norma (dan dengan sedikit sebab munasabah), tetapi tradisi penulisan esei yang paling bertahan dan memikat adalah wacana berbentuk lirik.
Semua esei hebat ditulis dalam sudut pandang pertama. Pengarang tidak semestinya menggunakan "aku." Tulisan yang jelas, kaya dengan langgam gaya prosa serta padat dengan kata-kata mutiara masih dikira sebagai tulisan sudut pandang pertama: ingat kembali esei Emerson, Henry James, Gertrude Stein, Elizabeth Hardwick, William Gass. Nama saya sebut tadi semuanya pengarang Amerika dan ada sahaja nama lain untuk ditambah. Penulisan esei adalah antara bentuk kesusasteraan paling kuat di Amerika. Ia bermula daripada khutbah dan alternatif sekularnya, iaitu syarahan umum. Pengarang besar pertama kita, Emerson, merupakan pengarang esei sejati. Dan pelbagai jenis esei telah berkembang dalam budaya kontemporari kita yang gemar bising dan kecoh: ada esei argumen dan ada juga esei meditasi dan motivasi.
Selain melihat esei kontemporari berdasarkan subjek - esei kembara, kritikan sastera, esei politik, kritikan budaya dll - kita boleh membezakan setiap satu melalui tenaga dan penyesalan. Esei sebagai ratapan. Esei sebagai pengucapan nostalgia. Esei sebagai pameran rasa minda. Dan sebagainya.
Kita mendapat daripada esei segala jenis suara yang manusia mampu hasilkan. Arahan. Kelincahan bermain kata-kata demi kata-kata. Pemulihan moral. Hiburan. Mendalamkan perasaan. Model pemikiran.
Kebijksanaan adalah akhlak kepengarangan, bukan tenaga atau kemahiran berjubah seni.
Sukar nak membayangkan esei yang sama sekali tidak bijak kandungannya. Dan kebijaksanaan dari makam tertinggi boleh dengan sendirinya melahirkan sebuah esei hebat. (Ingat kembali tulisan Riviere tentang novel, atau tulisan Adorno Prisms dan Minima Moralia, atau esei-esei Walter Benjamin dan Roland Barthes.) Tetapi seperti mana ada pelbagai esei, seperti itu juga ada pelbagai jenis kebijaksanaan.
Baudelaire dikatakan ingin memberi nama himpunan eseinya tentang pelukis sebagai Pelukis Yang Berfikir.
Ini adalah teras kepada sudut pandang seorang pengarang esei: mengubah dunia dengan segala isinya menjadi spesis pemikiran.
Idea tentang sastera - apabila dibandingkan dengan idea tentang cinta, misalnya - jarang sekali timbul melainkan sebagai tindak balas kepada idea orang lain. Ia adalah reaksi idea. Saya kata begini kerana tanggapan saya ialah anda - atau kebanyakan orang atau ramai orang - kata begitu. Idea memberikan kebenaran. Dan saya ingin memberikan kebenaran, berdasarkan apa saya tulis, untuk mendapat perasaan atau penilaian atau amalan berbeza.
Inilah, sebetulnya, pendirian seorang pengarang esei.
Saya kata begini apabila anda kata begitu bukan sebab penulis secara profesional bersaing sesama sendiri; bukan sebab nak jelaskan situasi berat sebelah dan tidak seimbang yang pasti berlaku apabila melibatkan aktiviti sebuah institusi (dan penulisan memang institusi); tetapi sebab disiplin - dan saya juga maksudkan sifat semula jadi - kesusasteraan itu berakar daripada semangat untuk melakukan kontradiksi. Kebenaran tentang sastera juga adalah kebenaran yang bertentangan dengannya.
Setiap puisi atau cerita atau esei atau novel penting, yang dilayak dipanggil sastera, membangitkan idea tunggal, iaitu idea tentang satu suara. Tetapi sastera itu sendiri - yang menggabungkan semua - membangkitkan idea plural, kepelbagaian, dan dosa nafsu. Semua penulis tahu seni sastera memerlukan bakat untuk berzuhud. Tetapi sastera... sastera adalah parti. Dengan kesedaran, sepanjang masa. Tetapi masih parti. Walaupun penulis melawan ketidakadilan, penulis sebenarnya memberikan kebahagiaan. Dan seseorang itu menjadi penulis bukan sangat sebab nak katakan sesuatu, tetapi sebab dia telah merasai kebahagiaan sebagai pembaca.
Ini ada dua nukilan yang saya asyik fikir kebelakangan ini.
Pertama oleh Camilo Jose Cela, penulis dari Sepanyol: "Sastera adalah penafian terhadap zaman yang seorang sedang hidup."
Kedua oleh Manet yang memberitahu pengunjung studionya pada tahun 1882: "Bergeraklah selalu ke arah yang minimal. Dan kemudian, pelihara memori; alam tidak akan memberikan apa-apa kecuali bayangnya sahaja - ia ibarat palang yang menghalang anda daripada jatuh ke dalam kekosongan. Anda mesti sentiasa menjadi sifu dan buat apa anda suka. Tiada kerja! Tidak, tiada kerja!"
Inilah, sebetulnya, pendirian seorang pengarang esei.
Saya kata begini apabila anda kata begitu bukan sebab penulis secara profesional bersaing sesama sendiri; bukan sebab nak jelaskan situasi berat sebelah dan tidak seimbang yang pasti berlaku apabila melibatkan aktiviti sebuah institusi (dan penulisan memang institusi); tetapi sebab disiplin - dan saya juga maksudkan sifat semula jadi - kesusasteraan itu berakar daripada semangat untuk melakukan kontradiksi. Kebenaran tentang sastera juga adalah kebenaran yang bertentangan dengannya.
Setiap puisi atau cerita atau esei atau novel penting, yang dilayak dipanggil sastera, membangitkan idea tunggal, iaitu idea tentang satu suara. Tetapi sastera itu sendiri - yang menggabungkan semua - membangkitkan idea plural, kepelbagaian, dan dosa nafsu. Semua penulis tahu seni sastera memerlukan bakat untuk berzuhud. Tetapi sastera... sastera adalah parti. Dengan kesedaran, sepanjang masa. Tetapi masih parti. Walaupun penulis melawan ketidakadilan, penulis sebenarnya memberikan kebahagiaan. Dan seseorang itu menjadi penulis bukan sangat sebab nak katakan sesuatu, tetapi sebab dia telah merasai kebahagiaan sebagai pembaca.
Ini ada dua nukilan yang saya asyik fikir kebelakangan ini.
Pertama oleh Camilo Jose Cela, penulis dari Sepanyol: "Sastera adalah penafian terhadap zaman yang seorang sedang hidup."
Kedua oleh Manet yang memberitahu pengunjung studionya pada tahun 1882: "Bergeraklah selalu ke arah yang minimal. Dan kemudian, pelihara memori; alam tidak akan memberikan apa-apa kecuali bayangnya sahaja - ia ibarat palang yang menghalang anda daripada jatuh ke dalam kekosongan. Anda mesti sentiasa menjadi sifu dan buat apa anda suka. Tiada kerja! Tidak, tiada kerja!"
Comments