Kuala Lumpur Dalam Kiraan Sepuluh



Apabila saya memandu sendirian di waktu malam, perasaannya seperti sedang duduk dalam memori mata saya. Tiang lampu demi tiang lampu menggelinding di cermin kereta, mengingatkan saya tentang ingatan hari siang yang saya ingin lupakan. Tidak ada tempat lebih tenang untuk memandu  selepas jam dua belas malam selain Lebuhraya Persekutuan. Bagi sesetengah warga Kuala Lumpur, peluang ini digunakan untuk memecut kereta di lorong ketiga. Namun saya lebih selesa memandu di lorong kedua dan melihat sahaja kereta melintas di kiri dan kanan saya seperti bayang-bayang hantu. 
 
Paul Auster pernah menulis ini dalam novelnya In the Country of Last Things:
 
"When you live in the city, you learn to take nothing for granted. Close your eyes for a moment, turn around to look at something else, and the thing that was before you is suddenly gone. Nothing lasts, you see, not even the thoughts inside you. And you mustn’t waste your time looking for them. Once a thing is gone, that is the end of it."
 
Apabila seseorang itu telah tinggal lama di Kuala Lumpur, dia akan belajar menjadi pelupa. Kota ini bukan ranjang mimpi untuk mereka yang berjiwa sentimental. Kuala Lumpur cepat berubah hati dan kita pun harus cepat melupakan Kuala Lumpur. Namun kenapa kita yang telah hidup lama bersama Kuala Lumpur, enggan pergi meninggalkannya? Bagi sebahagian penduduk Kampung Baru, Kuala Lumpur ialah rumah pertama dan warisan keluarga mereka. Bagi sebahagian penduduk Bukit Kiara, Kuala Lumpur ialah negeri di atas angin. Bagi sebahagian penduduk Pantai Dalam, Kuala Lumpur hanya tempat  persinggahan sebelum mereka pulang  kembali ke kampung. Bagi sebahagian penduduk Ulu Keramat, termasuk saya, Kuala Lumpur ialah rumah kedua dan peluang kedua untuk membina hidup baru.
 
Sekarang saya sudah hampir 10 tahun tinggal di Kuala Lumpur sebagai seorang bujang. Maksudnya sudah hampir 10 tahun juga saya menggunakan bas awam untuk bergerak antara Ulu Keramat dan LRT Setiawangsa. Nak memandu kereta setiap hari di Kuala Lumpur memang akan rabak dompet. Ketika zaman kuliah, saya akan bangun seawal jam 6 pagi untuk mengejar bas dan LRT pertama ke Kelana Jaya. Saya jarang sangat tidur di dalam tren, malah tidak faham bagaimana orang lain boleh mensia-sia waktu di awal pagi dengan tidur. Zaman itu saya masih keliru antara hendak menulis puisi dan menulis prosa. Saya turut menanam angan-angan untuk menulis sebuah novel pengembaraan di dalam LRT seperti mana Xavier de Maistre pernah menulis novel Journey Around My Room. Saya pernah menulis di blog ini bagaimana saya menemui A. Samad Said di dalam LRT bersama tote Times Bookstore dan buku kulit keras Doctor Zhivago. Itu kali terakhir saya tersempak dengan seorang penulis di dalam LRT, sepanjang 10 tahun di Kuala Lumpur. Aneh. Di manakah penulis-penulis lain? Sukar nak membayangkan Kemala berdiri berhimpit-himpit di dalam LRT pada jam enam petang (entah balik rumah malam itu terus karang sajak sufi dengan 100 stanza dan 100 pengulangan rima akhir). Bagi generasi sebelum saya, Kuala Lumpur adalah musuh kepada keindahan. Ironinya, untuk mereka menentang musuh itu, mereka mencipta antara kata-kata paling indah yang pernah ditulis dalam sejarah puisi Malaysia.    
 
Jummat lepas saya teman Azrin Fauzi ke Platinum Sentral untuk menonton tayangan istimewa filem Abbas Kiarostami Ten. Filem ini dibahagikan kepada 10 episod dan semua episod itu berada di dalam sebuah teksi. Pemandunya adalah seorang wanita Iran yang menggelintar di sekitar Tehran mengutip penumpang dan berbual dengan mereka sambil menjadikan  isi perbualan mereka sebagai cermin eksistensi kepada identitinya sebagai seorang wanita. Kita melihat dalam filem Kiarostami sebuah kota Tehran yang panas, bingit, dan padat dengan lelaki. Dan sepanjang filem ini, kita sering melihat lelaki di atas jalan mengintip hairan ke dalam teksi yang sedang dipandu oleh si wanita. Namun wanita itu langsung tidak mempedulikan mereka, kerana di dalam kereta itu,  dia adalah permaisuri dan raja. Kereta menjadi syurga peribadi buat seorang wanita Islam di Iran. Di syurga itu wanita boleh mengkritik undang-undang perceraian, wanita boleh mengutuk lelaki, wanita boleh mempersoalkan Tuhan, dan wanita boleh membuka hijab tanpa rasa malu.
 
Satu masalah dengan apartmen saya di Ulu Keramat adalah mendapatkan tempat parkir kereta. Sebuah rumah kadang-kadang ada sampai tiga buah kereta, dan ketiga-tiga diletakkan di bawah tempat parkir berbumbung. Tanah pun menjadi rebutan antara setiap blok apartmen. Semenjak setahun lalu, blok di depan apartmen saya telah membina tembok dan pagar mengelilingi kawasan mereka, semata-mata nak menghalang penghuni blok lain daripada parkir dan membuang sampah di kawasan mereka. Pada hari saya tidak mendapat parkir, saya akan bawa kereta ke lereng bukit berhampiran situ, dan duduk sendirian memandang cahaya tiang lampu jalan. Dalam hati, saya harap hujan akan turun kerana saya ingin melihat lampu mengeluarkan tangisan. Hujan juga waktu terbaik untuk keluar memandu di atas lebuh raya. Bayangkan: mata anda saling berpegang tangan dengan biasan lampu di atas jalan yang basah. Dalam kiraan tujuh... lapan... sembilan... sepuluh, anda ingin pejam, dan biarkan mata anda yang memandu ke dalam mimpi kota yang dingin ini.
                

Comments

Popular Posts