Novel Kedua: City of Saints and Madmen



 
Saya mengambil masa yang sangat lama untuk memperkenalkan City of Saints and Madmen kerana sehingga ke hari ini saya belum menemui jalan keluar daripada kota ciptaan Jeff VanderMeer bernama Ambergris.  
 
Kota imaginasi mempunyai sejarah yang panjang dalam tradisi sastera. Kalau sebut Hikayat Seribu Satu Malam, saya akan fikir tentang kota Baghdad, dan Baghdad yang saya bayangkan melalui cerita-ceritanya sudah tentu tidak akan sama dengan Baghdad di dunia sebenar pada zaman para khalifah. Barangkali Baghdad tidak pernah wujud. Kota ini lahir di tengah gurun dan bangkit di tengah taufan padang pasir hasil daripada angan-angan seorang pencerita tua badwi yang kemudian membenihkan dalam imaginasi pembaca lalu setiap seorang daripada pembaca itu kemudian memantulkan rekaan bangunan, warna langit dan rumput, serta wajah puteri dan putera kacak yang dibayangkannya ke atas dunia.
 
Peter Turchi dalam bukunya Map of the Imagination: The Writer as Cartographer menjelaskan yang semua penulis adalah jurupeta dan semua penulisan mirip kepada sebuah peta. Saya ingin menambah, penulis bukan sahaja jurupeta; penulis juga arkitek, jurutera, malah penulis juga tukang kunci kepada kota yang dibinanya. Lagipun, peta hanya panduan kasar kepada seorang pengembara. Apabila kita sudah sampai ke tempat itu, kita tidak akan bergantung lagi kepada peta, kerana kita tahu pengembaraan sebenar bukanlah perjalanan dari titik A ke titik E.
 
Pengembaraan sebenar bermula apabila kita hilang di atas sebuah peta.
 
Jeff VanderMeer tidak menyediakan peta kepada kota Ambergris. Kita harus menyusun dan membayangkan sendiri tempatnya bersadarkan fragmen cerita, petikkan buku, nota kaki, bibiliografi, illustrasi, dan glosari dalam City of Saints and Madmen. Novel ini mempunyai dua bahagian: The Book of Ambergris dan AppendiX. Bahagian pertama mengumpulkan empat buah cerpen dengan naratif penceritaan yang berbeza-beza. "Dradin, In Love" mengisahkan bagaimana lelaki bernama Dradin boleh jatuh hati kepada seorang wanita yang dilihatnya berdiri di tingkap bangunan emporium Hoegbotton & Sons. Dradin mempunyai latar belakang pendidikan agama dan merupakan orang baru di Ambergris. Sudut pandangnya mirip dengan sudut pandang kita kerana Ambergris juga sangat asing buat kita yang baru sampai dan masih mencari-cari dan menghafal nama jalan dan bangunannya. Dradin menyewa di asrama yang berada agak jauh dari pusat bandar. Ambergris ialah kota pelabuhan yang dikelilingi oleh laut, hutan, dan cendawan. Kita mendapat gambaran pertama kota ini apabila Dradin terjaga pada suatu malam di biliknya lalu berjalan membuka tingkap:
 
"On the fringe, jesters pricked and pranced, jugglers plied their trade with babies and knives (mixing the two as casually as one might mix apples and oranges). The life's blood swelled at a more exhilarating pace, a pace that quickened beyond the fringe, where the doughty sailors of the River Moth sailed on barges, dhows, frigates, and the rare steamer; anything that could float and hold a man without sinking into the silt.
 
Beyond the river lay the jungles, where the pace quickened into madness. The jungles hid creatures that had died after a single day, their lives condensed beyond comprehension, so that Dradin, in observation of their own swift mortality, had sensed his body dying, hour by hour, minute by minute, a feeling that had not left him even when he lay down with the sweaty woman priest."
 
Cerpen kedua berjudul "The Hoegbotton Guide to the Early History the City of Ambergris." Ini lebih kepada tulisan makalah dan catatan nota kaki oleh sejarahwan bernama Duncan Shriek. Kalau di cerpen pertama tadi nadanya sangat romantik, sekarang nadanya bertukar menjadi serius, kritikal, dan ilmiah. Jeff VanderMeer akan mengubah-ngubah gaya penceritaannya di sepanjang buku ini dan secara tidak langsung ia menjadikan kota Ambergris lebih hidup di fikiran kita. Kaedah VanderMeer berbeza dengan cara China Mieville bercerita dalam novel Perdido Street Station yang juga merupakan sebuah novel kota. Selain menyediakan peta kota New Crobuzon kepada pembaca, Mieville memilih kaedah penceritaan yang konvensional. Walaupun New Crobuzon dan Ambergris ialah dua kota yang sangat berbeza, saya lebih mudah membayangkan suasana dan kehdiupan di Ambergris.

Cerpen ketiga berjudul "The Transformation of Martin Lake" mengambil sudut pandang seorang pelukis yang mencintai kota Ambergris. VanderMeer menyusun ceritanya secara berselang-selang antara kerja upahan yang diterima oleh Martin Lake dan komentar ke atas lukisan-lukisannya. Tidak ada apa-apa keistimewaan tentang cerita Martin Lake sebenarnya, tetapi komentar lukisan itu menarik kerana kita diberikan gambaran kota Ambergris di atas kanvas.

Saya kira cerpen "The Strange Case of X" ialah yang paling lemah dalam buku ini kerana teknik metafiksyen yang digunakan terasa begitu janggal dan mengganggu mood tiga cerpen sebelumnya. Cerpen ini mengingatkan saya kepada tulisan Thomas Ligotti yang juga pernah menghasilkan metafiksyen horor. Kalau "The Strange Case of X" wujud secara eceran di majalah, barangkali tidak ada masalah, tetapi untuk hadir dalam sebuah novel yang bukan sepenuhnya avant-garde, memang tidak sesuai.

Binatang dan tumbuhan mempunyai peranan sangat penting sistem kepada budaya dan ekosistem kota Ambergris. Sotong adalah antaranya, malah VanderMeer menyediakan satu bab khas di bahagian AppendiX untuk menceritakan secara akademik sejarah Raja Sotong dan Festival Sotong Air Tawar. Saya sanggup buang kesemua cerpen dalam The Book of Ambergris dan hanya membaca sejarah Raja Sotong. Ia sangat detail dan mengagumkan. Cuba lihat cara VanderMeer menggambarkan mata binatang ajaib ini:

"And the eyes! If the eyes function as a window on the soul as so many doctors seem to believe, then the King Squid is a being from the Truffidian's Heaven. Firstly, a squid's eyes are not binocular: each sees what is on that side of the head. As a result, a squid can see twice as well as a human being; four times as well as those of you with glasses. Secondly, these eyes come in all shapes and sizes, from eyes as big as wagon wheels to eyes as small as buttons. Oblong, circular, ovoid, slitty, triangulated, spherical, octagonal. In colors that range from the exact shade of the green-gold sunset over Ambergris through the bars (of distant music) to the red-silver shimmer of a rich woman's skirt at visiting time."

Tikus juga merempat di Ambergris, malah ada ajaran agama memujanya yang dipanggil Manziism!

Ambergris bukan tempat selamat untuk pelancong yang terlalu bersih dan murni hatinya. Kalau anda tidak ditikam oleh pencuri, anda mungkin diculik pada waktu malam oleh orang cendawan. Penduduk sejati Ambergris masih keluar rumah membawa peta kota itu kerana rekaan jalannya terlalu rumit dan boleh mengubah bentuk sesuka hati. Mujur kita hanya pembaca novel Jeff VanderMeer. Kita boleh melihat dan mengenali Ambergris pada jarak selamat, ibarat seorang pengembara yang hanya berlayar di atas peta menggunakan mata dan angan-angan.
 
 
    

Comments

opendra said…
jika kita hidup di zaman viking mungkin kau angkat sebagai dewa yang tidak disembah, tulisan kau bagi aku boleh menjadi sebab orang buta mencari penawar untuk melihat, semata-mata untuk membaca.

moga tuhan limpahkan ilham kepada kau - kawan.

Popular Posts