Seperti Katak Yang Menemui Kunci Di Dasar Kolam


 
Kesepian sering menemui kita ketika kita enggan menemuinya. Ibarat tetamu yang datang ke rumah tanpa diundang. Kalau pengarang Melayu, saya kira, akan terlalu melodramatik melayan tetamu ini sehingga monolog dalaman tuan rumah melebihi dialog dengan tetamu di depan mata. Kalau pengarang Amerika terlalu banyak jenaka dan sembang kosong. Kalau pengarang Jerman mungkin terlalu banyak renungan dan  falsafahnya sampai tetamu pun beredar tanpa izin. Pengarang Jepun juga, akhirnya, yang bijak, halus, dan teliti menyusun kata-kata apabila kesepian menyusur masuk melalui jendela rumah.
 
Novel berbentuk diari bukanlah benda baru, tetapi novel yang mempunyai dua diari milik sepasang suami isteri ternyata memberi keistimewaan tersendiri kepada novel Junichiro Tanizaki Kunci (terjemahan Ainon Muhammad). Saya anggap buku ini sebuah novel kamar kerana hampir keseluruhan cerita berlaku di dalam rumah, terutama sekali kamar tidur. Selain itu jumlah wataknya pun sedikit dengan dorongan dan motif hidup tertumpu kepada keinginan seksual. Kita ada watak si suami (nama tidak pernah disebut), isterinya Ikuko, anak perempuan mereka Toshiko, dan Kimura yang main peranan sebagai orang luar dalam keluarga itu.
 
Tanizaki menyusun naratifnya secara berselang-selang di antara diari si suami dan isterinya Ikuko. Perjalanan waktunya bermula di tahun baru dan kemudian selama enam bulan catatan kedua-dua diari bergerak secara serentak dan saling berkomentar antara satu sama lain. Sekejap kita melihat pandangan si suami terhadap Ikuko, dan di bab seterunya kita melihat pandangan Ikuko terhadap suaminya. Sebagai sebuah bentuk, diari atau jurnal sering membuka ruang lebih intim dalam diri pembaca kerana apabila kita membaca catatan harian seorang watak,  kita rasa seperti sedang mengintip rahsia peribadi watak itu. Akan tetapi, kerana ruangnya sangat intim, pemilihan kata-kata pun terbatas. Kita tidak tahu, misalnya, apa yang berlaku di luar rumah pasangan suami isteri ciptaan Tanizaki. Justeru jalan penyelesaian Tanizaki adalah membawa masuk ke dalam rumah itu watak Kimura yang bukan sahaja orang asing, tetapi pemuda generasi moden dan berpendidikan Barat di Jepun.
 
Ada dua keinginan besar (atau kunci) dalam novel ini. Pertama, keinginan seksual si suami yang lebih bersifat fantasi. Kedua, keinginan seksual Ikuko yang lebih bersifat jasmaniah. Mereka sudah dua puluh tahun berkahwin, saling mencintai, tetapi kenikmatan di ranjang selalu hambar sehingga perlahan-lahan tumbuh rasa bosan dan meluat dalam diri mereka. Si suami kalau boleh inginkan aksi-aksi ranjang lebih liar daripada isterinya. Ikuko sendiri juga mempunyai nafsu seks yang tinggi, tetapi sering kecewa dan jelik dengan rupa fizikal suaminya.
 
Menariknya sepanjang dua puluh tahun perkahwinan mereka, masalah ranjang ini tidak pernah dibahaskan secara berdepan. Mereka memendam keinginan dan amarah masing-masing dalam bentuk catatan diari. Kesunyian dalam novel Tanizaki bukan sahaja kesunyian sepasang suami isteri, tetapi juga kesunyian sebuah diari yang sering kali menanggung beban rahsia penulis dan terpaksa disimpan di dalam laci yang berkunci. 
 
* * *
 
 
Syahmi Fadzil memang bukan orang Jepun, tetapi membaca novel pertamanya Insta, membuat saya rasa seperti menemui seekor katak yang baru melompat keluar dari kolam orang Jepun. Badan katak ini bukan sahaja basah dengan memori dan kenangan, tetapi ia juga pemalu dan akan merangkak masuk di bawah batu kalau kita cuba mengusiknya.
 
Berbeza dengan Tanizaki yang lebih teratur susunan cerita, Syahmi merekakan bentuk novelnya secara fragmen memori berdasarkan sudut pandang dan pengalaman seorang pemuda tanpa nama. Pemuda ini mempunyai latar belakang dalam bidang seni bina, menyukai filem daripada studio Ghibli, gemar bermain kamera, dan pernah belajar dalam kelas bahasa Jepun. Di kelas ini juga dia berkenalan dengan gadis berjiwa kompleks (atau kacau) nama Ayumu. Disebabkan sifat novel Syahmi yang fragmen dan aliran ceritanya yang berselang-selang antara realiti dan fantasi, ia membuat kita tertanya-tanya jika Ayumu ini memang wujud atau hanya angan-angan si pemuda itu.
 
Novel Syahmi mempunyai tiga garis cerita dan setiap satunya seakan-akan boleh berdiri sendiri, walaupun akarnya adalah memori si pemuda itu. Garis pertama adalah kisah percintaan antara si pemuda dan Ayumu. Garis kedua adalah sejumlah foto dengan imej-imej rawak di sekitar kehidupan harian si pemuda. Garis ketiga adalah hubungan sureal antara si pemuda dengan seekor kucing yang boleh bercakap. Sebagai novel yang membawa semangat kesepian dan falsafah alam Jepun, saya merasakan hubungan antara ketiga-tiga garis ini masih terlalu longgar dan kabur. Ibarat buluh-buluh yang tidak diikat kemas dan diletak di dalam pasu seramik yang cantik. Saya nampak yang Syahmi ingin menggunakan ruang kosong di antara kata sebagai salah satu elemen ceritanya, dan ia sangat berkesan apabila Syahmi menggunakan foto untuk mengisi ruang tersebut. Akan tetapi sebuah novel bukan sahaja mempunyai ruang tekstual, ia juga mempunyai ruang dalaman iaitu ruang fiksyen. Kalau ruang tekstual mengawal nafas pembacaan dan rentak emosi kita, ruang fiksyen memberikan bentuk dan memetakan perjalanan imaginasi kita. Di ruang fiksyen ini, Syahmi seperti masih tidak tahu jika dia ingin mencipta seorang Ayumu yang realistik atau cuba bermain-main dengan alam minda bawah sedar gaya Haruki Murakami.
 
Novel Jepun selalunya tidak memilih bentuk yang eksperimental kerana emosi gelap yang mengalir di bawah cerita mereka itu sudah rapuh dan dalam (pengecualian boleh dibuat untuk novel Kobo Abe). Justeru apabila pengarang seperti Tanizaki, Kawabata, Mishima, dan Murakami menulis novel, mereka memilih bentuk yang konvensional dan tekstur yang realistik untuk memastikan emosi rapuh tadi itu berlayar di atas kapal yang kukuh binaannya. Saya kira Syahmi Fadzil juga seorang novelis yang rapuh lantai emosinya, namun apabila saya melihat foto-foto yang dimuatkan ke dalam Insta dan membaca anekdot ringkas di bawah foto itu, saya turut menemui sisi Syahmi yang lain. Saya menemui sisi Syahmi yang teliti kepada benda-benda harian dan sisi Syahmi yang berfikir seperti penulis esei. Ya, cantuman esei dan fotografi memang bukan semangat penulis Jepun. Tetapi saya rasa menarik kalau kita boleh melihat selepas ini Syahmi melompat jauh daripada bayang Murakami dan terjun masuk ke dalam pemikiran pengarang bahasa Jerman seperti W. G. Sebald dan Robert Walser. Adakah Syahmi boleh melompat sejauh itu?
   

Comments

This comment has been removed by the author.
Teliti saya baca review dua novel ini. Sungguh, saya ibarat benih jagung baru ditanam dalam bidang bacaan, penulisan atau seumpamanya. Menariknya, buku SF, benar menyentuh kalbu saya sebab sunyi yang saya alami diterjemah salam tulisan hasil dati fikiran orang lain. Setidaknya, saya tahu bukan saya saja merasainya. Ada manusia lain turut gembira dan sedih dalam masa sama atas sunyi di alami. Saya pun tak pandai nak komen atau ulas, tidak layak saya kira sebab saya masih sangat kurang membaca. Saya kini sedang usaha mendapatkan buku anda. Otak kalian itu bagaimana ya? Bijak benar menyusun kata sampai bermuka-muka. Seperkara lagi yang saya pada review ini ialah tarikhnya.

Popular Posts