Novel Kelima: Rebel

 
 
 
Sudah tahun 2016 dan saya belum selesai menurunkan senarai. Terlalu banyak manuskrip tertangguh yang terpaksa diselesaikan terlebih dahulu. Justeru saya mohon maaf jika ulasan saya tentang buku Saat Omar, Rebel, teramat ringkas dan tidak memuaskan hati mereka yang mungkin masih tertanya-tanya kenapa saya memberikan novel ini lima bintang di Goodreads.
 
Ada dua benda saya ingin kongsikan sebelum saya masuk ke dalam Rebel. Pertama, pengalaman bertemu Saat Omar di Bengkel Penulisan Zaharah Nawawi. Kalau tidak salah saya, ia berlaku pada tahun 2007. Hotel Mandarin Court berhadapan Stadium Merdeka. Ada lebih kurang dua puluh orang budak-budak muda dan mentah di dalam bilik seminar. Saat Omar ialah peserta paling tua dan mempunyai sosok seorang seniman, sementara kami yang lain memang nampak macam budak sekolah. Mungkin sebab rambut Saat berkerinting, badannya kurus, dan dia memakai baju batik kuning. Dia duduk di barisan depan berdekatan dengan sahabat lama saya, Aidil Khalid, yang kini sudah tidak mengarang. Saya tidak ingat cerpen apa yang Saat hantar ke bengkel itu. Zaharah Nawawi ini sangat terkenal sebagai guru yang garang sehingga ada yang memanggilnya "lidah api." Mungkin ketika bengkel dan selepas bengkel itu Saat sempat merasa percikkan api daripada Zaharah Nawawi.
 
Kedua, pengalaman membaca novel Albert Camus The Outsider. Saat membaca novel klasik ini jauh lebih awal daripada saya. Malah dia menemuinya di perpustakaan Teluk Intan dalam versi terjemahan bahasa Melayu. Ini mengingatkan saya kepada Roslan Jomel yang membaca cerpen Marquez versi terjemahan bahasa Melayu dalam majalah Dewan Sastera. Saya kira itu pengalaman cinta pertama buat kedua-dua pengarang ini dan betapa besarnya pengaruh cinta itu pada perkembangan karier penulisan mereka. Saya menemui novel Camus di tahun kedua universiti bersama pengarang eksistensi lain seperti Kafka dan Sartre. Kelas sastera saya sangat sedikit dan hampir semua orang tidak suka Camus dan Kafka. "Gelap," "Murung," dan "Kering" adalah antara komentar yang dilontarkan kepada pensyarah kami. Tetapi menemui Camus dan Kafka ialah kejutan luar biasa untuk saya. Kedua-dua pengarang ini membuat  saya kembali percaya kepada realisme, kerana realisme yang mereka tulis bukan realisme kampung gaya Shahnon atau realisme arkaik gaya Zaen Kasturi. Tidak. Camus menggunakan bahasa yang sangat mendatar dan nipis dan dekat dengan kehidupan harian. Namun di sebalik bahasa yang mudah itu tersimpan cerita yang sangat absurd dan bahaya. Ia seolah-olah Camus meletakkan pistol di atas meja dan kita berdebar dan gelisah menanti bilakah peluru akan ditembak.    
 
Saya sahaja kongsikan dua anekdot ini kerana kita perlu faham perjalanan karier Saat sebelum dia sampai kepada Rebel. Ini adalah novel kelimanya selepas Seronok dan Santet, dan apabila kita melihat novel-novel awal itu, kita belum nampak bayang-bayang Camus. Yang ada cuma perwatakan tipikal dunia Saat Omar iaitu hubungan cinta/platonik/skandal antara lelaki dan perempuan, atau hubungan ayah/cikgu/kawan antara seorang lelaki muda dan seorang lelaki tua. Gender dan alat kelamin juga antara permainan plot kegemaran Saat. Paling melucukan ialah babak kelamin melekat di permulaan novel Santet. Ada waktunya permainan Saat ini agak berlebihan sehingga ia bertukar menjadi lawak slapstick seperti babak seks di penghujung novel Seronok. Tetapi memang bukan novel Saat Omar kalau tidak ada humor. Hanya apabila Saat menulis Rebel, baru humor itu dijinakkan, dan ia bukan lagi sekadar alat permainan plot, tetapi menjadi sebahagian daripada roh cerita.
 
Rebel ialah novel yang sudah matang kerana realismenya ialah realisme yang sudah matang. Saat Omar yang saya kenal di tahun 2007 tidak mungkin akan dapat menulis novel ini, walaupun pada masa itu dia sudah membaca The Outsider. Bahagian pertama ialah cerita persahabatan antara Khairul, Amri, dan Melur. Antara rutin mereka ialah keluar naik kereta pada waktu malam:
 
"Ini rutin kami; tidur sehingga lewat petang dan keluar sehingga lewat malam. Kami tak ke mana juga sebenarnya, kereta dipandu memasuki jalan-jalan yang kami tak pernah tempuh sebelum ini. Melur menggelarkannya sebagai kembara malam. Peraturannya mudah sahaja; pandu sehingga rasa bosan. Kami bayangkan yang kami adalah Travis Bickle yang memandu teksinya pada waktu malam dan merasa jijik dengan persekitarannya. Tapi kami berkelana malam bukan sahaja untuk melihat kebobrokan, sebaliknya mengecapi keindahan pada malam dan keterasingan."
 
Kehadiran Camus masih minimal pada tahap ini, tetapi sudah terasa nafas resah dan eksistensi orang muda yang jarang dapat dilukis dengan mengesankan oleh pengarang kita. Pada bahagian kedua latar berpindah ke New York kerana Khairul ingin mencari ayah kandungnya yang merupakan seorang lelaki Yahudi. Tidak ada orang Arab kena tembak dalam novel Saat, tetapi ada seorang lelaki Melayu yang dibelasah oleh Khairul kerana orang itu memanggilnya "belacan" dan orang itu berlagak menjadi "Melayu-Jewish." Itu ialah kemuncak novel Rebel dan kemuncak, setakat ini, dalam sejarah eksistensi Saat Omar sebagai novelis Malaysia.
 
      

Comments

Popular Posts