Mengintip Lubang Di Dinding

 
 
"Tuesday, August 22nd.
 
The way to rock oneself back into writing is this. First, gentle exercise in the air. Second the reading of good literature. It is a mistake to think that literature can be produced from the raw."
(Virginia Woolf)
 
 
Salah satu cara saya mengembalikan momentum menulis adalah membaca diari seorang penulis. Anehnya di rak saya belum ada diari penulis lelaki. Saya teringin membaca diari John Steinbeck atau Andre Gide. Malangnya buku mereka susah untuk dicari. Setakat ini saya hanya ulang membaca, tanpa bosan, diari Joyce Carol Oates, Susan Sontag, dan Virginia Woolf. Paling lama menemani saya adalah diari Virginia Woolf, dan ini pun bukan diari lengkapnya, hanya petikan yang disusun oleh suaminya Leonard.
 
Di Malaysia kita belum ada budaya menerbitkan diari seorang penulis. Kadang-kadang sahaja kita menemuinya. Buku Abdullah Hussain lebih kepada autobiografi dan Azizi Hj Abdullah hanya berkongsi proses kreatif. Shahnon Ahmad tidak ada diari. Mungkin dia ada, tetapi disembunyikan di bawah bantal atau katil. Rata-rata penulis kita masih malu untuk mendedahkan kehidupan peribadi mereka kepada dunia.
 
Apabila saya membaca, saya ingin pembacaan saya menjadi organik. Maksudnya saya tidak akan berhenti dengan sebuah buku kalau tulisan pengarang itu sangat memikat selera. Saya ingin tahu semuannya. Saya ingin tahu buku-buku lain pengarang itu tulis. Saya ingin tahu di mana dia tinggal, apa warna dinding rumahnya, kereta apa dia pandu, komik apa dia baca, filem apa dia tonton, berapa jam dia duduk di meja menulis, dan tuhan mana satu dia percaya.
 
Pembacaan adalah kebenaran yang diberikan kepada pembaca untuk mengintip. Ibarat lubang kecil yang sengaja ditinggalkan di dinding. Dan siapa yang tidak ghairah dan gementar apabila dia mengintip jiran di bilik sebelah?
 
Saya tidak mengintip semua penulis, tetapi boleh kata ramai juga yang menjadi mangsa kenakalan saya: Paul Auster, Haruki Murakami, Roberto Bolano, Henry James, Philip Roth, Karl Ove Knausgaard, Robert Walser dan sudah tentu Virginia Woolf. Mengintip kehidupan mereka memberikan saya semangat dan inspirasi. Kalau saya mengintip bilik Walser saya nampak sebuah bilik darjah dan seorang lelaki tua yang duduk di meja bersama pensil dan kertas seperti murid sekolah rendah. Kalau saya mengintip bilik Philip Roth saya nampak rumah kayu di tengah hutan dan sebuah katil dan lima orang Philip Roth berbadan bogel sedang tolong memberikan blow-job antara satu sama lain. Rasanya bilik Paul Auster paling sederhana: hanya ada meja, kerusi, dan mesin taip lama.  
 
Dulu saya hanya seorang pembaca. Sekarang saya juga seorang penulis dan mempunyai buku sendiri. Siapa agaknya, kalau ada, yang sedang mengintip saya dari dinding di sebelah sana?
 
 

Comments

AdinataGus said…
anda sedang diperhatikan oleh banyak pasang mata sebenarnya.
syuhadaa said…
Selaku pembaca, saya begitu teruja apabila menjumpai blog peribadi penulis. Saya ingin 'membaca' penulis dari sudut lain. Saya ingin faham mengapa penulis tulis apa yang dia tulis.
Wan A. Rafar said…
Dalam simpanan saya, ada dua buah buku diari penulis Malaysia: Diari Kembara SN A. Samad Said (Marwilis Publisher, 1989) dan Mexico: Kesan dan Ingatan oleh Zakaria Ali.

Popular Posts