Novel Kesembilan: Babyrina

 
Saya fikir apabila kita membaca karya daripada negara kita sendiri kita harus menjadi lebih cerewet dan degil untuk menurunkan pujian. Sebab sebenarnya kita paling mudah memberikan pujian pada sesuatu yang kita kenal dan sudah biasa. Mungkin sebab itu dua tahun sebelum ini tidak ada novel Malaysia yang masuk dalam senarai saya. Pertama, saya memang jarang membaca novel kontemporari Malaysia, kecuali ia dihasilkan oleh pengarang yang memang saya tidak meragui lagi kepintarannya bercerita. Kedua, saya percaya saya memerlukan jarak dengan karya tersebut. Ibarat sekeping lukisan impressionist: kalau terlalu dekat kita hanya nampak gumpalan warna dan garis-garis berus, tetapi berdiri sedikit jauh, imej itu mulai menjadi jelas dan indah.
 
Antara penemuan menarik saya tahun ini adalah novel Hamzah Hussain berjudul Rumah Kosong. Tidak dinafikan lagi ini adalah antara novel psikologi terawal di negara kita. Dari segi struktur memang jauh ke depan untuk zamannya. Bab-bab pendek yang tidak melebihi satu halaman disusun ibarat bilik-bilik di dalam sebuah rumah. Ada ancaman incest dan rasukan hantu Wuthering Heights yang bergerak di halaman-halaman novel cinta tiga segi ini. Patut dicetak semula (dan satu penumbuk ke muka Kassim Ahmad yang mengkritik penulisan Hamzah Hussain sebagai bengis dan sadis.)
 
* * *
 
Sepanjang tahun ini rasanya saya membaca novel Ridhwan Saidi Babyrina lebih daripada tiga kali. Mula-mula memang tidak nampak keistimewaan novel ini. Tetapi selepas beberapa bulan apabila saya beralih kepada novel Malaysia yang lain, baru saya sedar satu kekurangan besar kebanyakan novel kita: gaya bahasa. Idea mungkin besar, ceritanya mungkin sangat gelap, tetapi bahasanya timbul tenggelam ibarat kapal yang sedang sesak nafas di tengah laut. Di kalangan novelis Malaysia generasi saya hanya ada beberapa yang mempunyai kesedaran terhadap gaya bahasa. Salah seorangnya adalah Saat Omar. Saya tidak tahu sejauh mana Saat sedar tentang keunikan gaya bahasanya, tetapi Santet adalah antara novel Malaysia paling lucu saya pernah baca. Kalau bukan kerana Babyrina, ia memang sudah masuk senarai saya. Melebihi novel-novel Ridhwan sebelum ini, Babyrina mempunyai banyak permainan bahasa: sembang lucah di mIRC, puisi, keratan akhbar, laporan koroner, email, sesi main spirit of the coin. Ridhwan memang tahu nak membuat sebuah novel misteri yang tipikal kelihatan segar dan kompleks. Saya percaya Babyrina tidak akan memuaskan selera pembaca tulen novel misteri mahupun pencandu novel sastera kemasyarakatan. Babyrina sebaliknya mengisi ruang sempit yang menjadi sempadan antara dua dunia itu.     
 
 

Comments

Popular Posts