Memori Dalam Kaca Monitor

The Collector
 
Kalau laman web seperti GOG wujud sepuluh tahun lalu, lagi awal rasanya saya kembali mengumpul permainan-permainan komputer seperti saya pernah lakukan ketika zaman sekolah. Tetapi mengumpul permainan komputer di tahun sembilan puluhan bermaksud mengumpul CD secara fizikal (dan selalunya bukan CD asli pun) dan kemudian menyusun setiap satu, dengan rasa bangga dan gembira, di atas rak seolah-olah sedang membina arkib masa depan. Sekarang seorang pengumpul permainan komputer (termasuk pengumpul filem, muzik, dan buku) melakukannya secara digital. Dia tidak perlu lagi susah payah turun ke SS2 Petaling Jaya (kalau dia mencari CD asli) untuk mendapatkan permainan terbaru terbitan Blizzard atau BioWare. Semuanya boleh dimuat turun. Paling mengujakan (buat pemain-pemain veteran yang sudah pencen) adalah menemui kembali permainan-permainan klasik yang sudah tidak ada di pasaran. Harganya pun murah (saya membeli Alpha Centauri di GOG dengan harga $6). Dalam filem Guardian of the Galaxy ada seorang watak eksentrik bernama The Collector (atau nama sebenarnya Taneleer Tivan) yang dilakonkan oleh Benicio del Toro. Selain si racoon celaka Rocket, ini adalah antara watak komik kegemaran saya. Keupayaan untuk seseorang itu mengumpul barang-barang antik di Bumi sahaja saya sudah anggap sebagai istimewa dan luar biasa; tetapi mengumpul semua barang berharga dan unik di alam semesta, wah, itu sangat mengujakan imaginasi saya. The Collector muncul sekejap sahaja dalam filem itu, tetapi babak ketika dia pertama kali menatap Batu Infiniti dan cuba menahan dirinya daripada menjerit gembira, saya rasa seperti akan terpelanting daripada kerusi panggung.
 
Kebelakangan ini saya baru sedar yang saya suka senarai. Apa-apa jenis senarai: filem-filem paling gila anda patut tonton, kafe-kafe hipster di Kuala Lumpur, buku-buku yang pernah dibakar, buku-buku yang patut dibaca di dalam tandas atau kereta api. Bahkan saya jadi lebih ghairah kalau senarai itu dalam sebuah novel. Life A Muser Manual saya kira adalah novel senarai terbaik yang pernah ditulis oleh sesiapa pun. Senarai barang-barang di dalam sebuah apartmen boleh menjadi dialog kepada kehidupan seorang watak. Senarai adalah memori; senarai adalah arkib dalam kepala kita. Kalau boleh dibuat indeks, saya kira indeks minda manusia adalah sama besar dengan indeks memori Google. Tetapi bolehkah dibezakan lagi indeks memori kita dengan indeks memori Google? Kita sudah kurang membaca dan kita sudah kurang menulis. Apabila kita menggunakan Twitter atau Google, kita hanya menurunkan data dalam ruang indeks yang sudah sedia ada dalam bentuk digital. Kita menyerahkan kepada sebuah mesin untuk membangunkan memori kita. Penulisan secara analog adalah rakaman memori peribadi. Sebuah novel, misalnya, adalah suatu ruang indeks dalam bentuk fiksyen. Melalui bahasa, kita yang menentukan bagaimana memori kita akan disusun dan disimpan. Tetapi di alam digital, bahasa hanya satu data dalam rantaian data-data yang lain. Di saat saya sedang menggunakan blog ini juga saya sedang menurunkan data. Sebaik sahaja ia diterbitkan, catatan ini bukan lagi wujud sebagai catatan, tetapi ia sudah bertukar menjadi data dalam hasil pencarian Google. Kita tidak lagi mengumpul memori (sama seperti saya tidak lagi mengumpul permainan video); kita hanya menyerahkan memori untuk membentuk memori. Namun memori itu bukan memori kita. Barangkali ia hanya barang eksotik dalam kaca monitor seorang lelaki gila bernama The Collector.
         

Comments

Anonymous said…
Nampak banyak borong buku di A4G tempohari. Boleh ulas buku Saat Omar tak? Hihihi

Popular Posts