Benda Di Atas Meja

Kotak ajaib Joseph Cornell

Ingatan seorang pengarang berada di atas mejanya. Tetapi benda-benda ini adalah untuk dilupakan apabila dia duduk memulakan kerja. Walaupun bukan semua penulis bekerja di rumah, namun meja adalah ruang paling peribadi. Buat Azizi Haji Abdullah, meja adalah kawasan larangan. Isteri dan anak-anak tidak boleh sesuka hati mengubah barang di atas mejanya. Malah Azizi turut menganggap mesin taip sebagai isteri pertama. Asalkan ada sebotol Livita di atas meja, dia boleh menulis dari malam sampai ke pagi. Meja seorang pengarang adalah ibarat hotel di dalam sebuah rumah - ia tidak dibuka kepada umum. 

Meja saya tidak ada Livita (saya tidak faham orang yang minum Livita untuk berjaga kerana ia tidak ada kesan langsung pada saya). Rokok pun sama. Saya jarang membiarkan pinggan atau mangkuk atau sisa makanan bersepah di atas meja kerana saya tidak tahan melihat benda organik berada bersebelahan dengan objek-objek statik. Sampai sekarang saya percaya bahawa kerja penulisan tidak ada kaitan langsung dengan kehidupan: ia lebih kepada kerja menggali kubur dengan kata-kata. Namun, memang ada hari, saya bercita-cita untuk mempunyai balang akuarium di atas meja saya. Ketika saya menulis - saya membayangkan - mata ikan-ikan di dalam balang itu akan merenung saya seolah-olah saya adalah gergasi yang akan menelan mereka di tengah malam. Bagaimanakah agaknya perasaan Edgar Allan Poe yang pernah menulis dengan seekor kucing di atas bahunya? 

Di atas meja saya terdapat banyak buku dan majalah. Sangat banyak. Malah sebahagian besar daripada buku dan majalah itu sudah bertahun-tahun tidak dibaca. Kenapa tidak digantikan saja dengan bahan rujukan yang diperlukan sekarang? Entahlah, saya pun tidak pasti. Saya sering menyalahkan godaan rasa nostalgia pada bilik mainan di rumah keluarga saya (bilik itu sudah tidak wujud lagi selepas abang saya berkahwin). Di situlah asalnya koleksi majalah perang Images of War disusun bersama komik Tintin dan Asterix. Turut berada di bilik mainan itu adalah koleksi permainan-permainan papan klasik seperti Mad, Cluedo, Risk, Saidina, Jumanji, dan Subbuteo. Tidak ada satu pun daripada permainan ini selamat kerana telah menjadi santapan rakus anai-anai ketika umur saya lapan belas tahun. Majalah dan komik yang belum rosak teruk saya larikan bersama saya ke Kuala Lumpur. Lalu kini ia menghuni meja tulis saya bagai mangsa perang yang kehilangan  tanah airnya. 

Di atas meja saya ini juga ada barang-barang yang tidak mempunyai kaitan dengan kerja penulisan: gam Chunbe, gam UHU, gunting, gumpalan tisu dari pelbagai restoran, cebisan tiket bas, resit kedai buku, resit kedai makan, sampul-sampul kosong, pemotong kuku, arca mini tiga ekor burung kenyalang, pisau cukur, patung beruang, patung origami angsa, siling-siling lama. Pernah suatu masa dahulu meja ini mempunyai timbunan kertas di setiap penjuru sehingga ada ruang kecil saja untuk saya menulis. Saya tidak pernah mengemaskan meja saya. Kalau ada orang datang (emak saya selalunya) dan mengubah mana-mana buku di atas meja itu, saya jamin ia akan hilang kerana saya tidak akan ingat di mana ia berada.

Giuseppe Tomasi di Lampedusa tidak boleh berpisah dengan mejanya. Apabila dia keluar rumah setiap hari, dia membawa barang-barang di atas meja di dalam sebuah bagasi kulit. Rutin Tomasi adalah mengunjungi kafe dan kedai buku di sekitar bandar Sicily. Orang yang tidak boleh berpisah dengan rutin adalah orang yang tidak boleh berpisah dengan ingatannya. Namun sejauh manakah kita dapat lari daripada ingatan lama? Sejauh manakah kita dapat melangkah senang ke hadapan tanpa, kadang-kadang, dikunjungi oleh bayang-bayang silam?

Bukankah kebanyakan daripada kita mengusung sebuah meja kenangan di dalam kepala rumahnya?


Comments

Pa'al said…
Di atas meja saya, banyak pokok kaktus.
EzzmerDaruh said…
"Bukankah kebanyakan daripada kita mengusung sebuah meja kenangan di dalam kepala rumahnya?"

Sangat baik.

Popular Posts