Kehilangan Sebuah Buku


Kehilangan sebuah buku adalah tragedi paling mendukacitakan buat seorang pengumpul buku. Ia lebih teruk daripada kehilangan wang atau kunci rumah atau telefon pintar. Satu cara untuk kita membayangkan perasaan kehilangan sebuah buku adalah kejutan pulang ke sebuah apartmen kosong. Ruang yang asalnya milik peribadi - dengan barang-barang peribadi - kini bertukar menjadi ruang umum. Ibarat sehelai kertas putih. Atau ruang terbuka sebuah kafe. Sesiapa saja boleh datang dan mengisi ruang tersebut. 

Usia sebuah buku secara umumnya bermula sebagai objek masyarakat. Ia tidak bermula sebagai objek peribadi kecuali penulis buku tersebut telah mencetak sendiri beberapa buah untuk disimpan saja di rumah. 

Apabila kita melangkah masuk ke dalam sebuah toko, kita mengenal peribadi sebuah buku melalui kedudukkannya  di atas rak. Di fasa ini, sebenarnya, sebuah buku belum mempunyai identiti diri yang khusus, kerana pengenalan peribadinya masih bergantung pada buku lain di kiri dan kanannya (atau mungkin juga atas dan bawah). Pernahkah pemilik toko membiarkan sebuah buku berdiri sendiri di atas rak? Jarang sekali. Hal ini mungkin akan menyusahkan pembeli kerana terpaksa berfikir dan menyelak beberapa halaman bagi menentukan jenis buku yang berada di tangan mereka. 

Di tengah masyarakat pun kita lebih mudah mengenal pasti seseorang apabila kita mengenali orang-orang di sekelilingnya.

Ruang sebuah toko buku adalah ruang memori sebuah masyarakat. Semua orang berkongsi dan bergilir-gilir menggunakan ruang ini sama seperti peti simpanan bahasa yang kita buka untuk meminjam kata-kata. Kalau di zaman purba kita boleh membayangkan ia sebagai ruang pasar atau plaza perdagangan untuk penghuni sebuah negara kota berkumpul dan berbual. Buku boleh diletakkan di mana-mana saja, tetapi di mana ia berada, ia memberi pengaruh berbeza kepada memori kita.

Cara-cara mungkin sebuah buku disusun:

(i) mengikut genre
(ii) mengikut saiz
(iii) mengikut bahasa
(iv) mengikut penerbit
(v) mengikut umur
(vi) mengikut populariti
(vii) mengikut tarikh penerbitan
(viii) mengikut promosi
(ix) mengikut musim perayaan
(x) mengikut kulit buku

Kebanyakan daripada kita tidak pernah menjelajah ke semua bahagian sebuah toko buku. Kita hanya melintas rak tertentu seolah-olah ia adalah papan tanda di tepi jalan. Dan ada rak yang kita tidak pernah bosan mengunjunginya. 

Di rak kegemaran ini kita turut membina hubungan intim dengan buku-buku yang tersusun. Mungkin kita pernah terfikir, Apa yang istimewa sangat tentang rak ini berbanding rak-rak lain? Adakah sebab nama-nama pengarangnya? Atau warna bukunya? Ia seolah-olah ada memori tanpa nama yang kita sembunyikan di celah buku-buku ini.

Justeru, ia tidak menghairankan, kita menjadi panik dan takut apabila ada buku di rak tersebut hilang. Pelbagai emosi dan idea negatif mula melintas dalam fikiran kita:

- kita dibenci
- kita dihukum
- kita dikhianati
- kita keseorangan
- kita dicuri
- kita diculik
- kita terlambat
- kita diubah

Ada ruang kosong ditinggalkan apabila sebuah buku hilang daripada rak. Ada sejarah yang telah dihapuskan. Ada memori yang terpaksa dituliskan semula.

(Kalau memori memang boleh dituliskan semula.)

Di rak rumah saya, terdapat dua buku berharga yang telah hilang: Kafka on the Shore oleh Haruki Murakami, dan How I Became a Nun oleh Cesar Aira. Ada jarak waktu luas yang memisahkan dua buku ini. Di antara waktu itu saya adalah orang berbeza. Malah saya tidak ingat bilakah buku Kafka on the Shore hilang daripada rak perpustakaan saya. Siapa yang mengambilnya? Atau di mana ia menyembunyikan diri? Selama ini saya sangka ia masih bersama saya. Tetapi apabila saya cuba mencarinya pada suatu tengah hari, ia sudah tidak ada. Ada bahagian daripada memori dan sejarah saya turut hilang bersamanya. 

Mungkin buku kadang-kadang sengaja menghilangkan diri supaya kita dapat menjadi pelupa dan terus membina ingatan-ingatan baru yang indah. Membina ingatan sementara kita masih boleh ingat.
     

Comments

Maya said…
Salam Azriq.Saya teruja dapat jumpa blog kamu.Sungguh!penuh inspirasi.
Banyak ilmu sastera yang saya dapat.Saya jumpa pun melalui blog kawan di
twitter.Saya kira,masih belum terlambat saya ucap tahniah atas kemenangan
novel ''Dublin''hari itu.Saya dah beli online.Tunggu nak sampai lagi.Tak sabar
nak baca.
Masshah said…
Saya pernah kehilangan buku tapi sebenarnya tidak hilang cuma lupa letaknya di mana, hampir beberapa hari juga saya memikirkannya, tapi syukur akhirnya jumpa, mungkin saya salah letak tempat. Tahniah blog sastera yang bagus dan menarik sekali.
WanRafar said…
Saya juga pernah mengalami kehilangan buku. Ada yang dipinjam anak saudara tanpa diberitahu. Kadang-kadang saya membeli lain sebagai ganti, sekiranya masih ada di pasaran. Antara buku yang hilang ialah Tenggelamnya Kapal van der Wick karya Hamka. Sebuah buku lagi yang lama hilang (sebenarnya dipinjam oleh seorang kawan, tanpa saya sedari). Beberapa tahun kemudian baru dikembalikan. Ketika itu saya sudah pun membeli yang lain.
fadz said…
Rak buku di rumah saya sekarnag selalu sahaja di kacau, entah siapa-siapa, kalau mahu mengambil perlu tahu letak semula, merunsingkan apabila ada tangan yang menyelongkar. Jadi bayangkan jika buku itu tidak ada di rak.

Popular Posts