Melenja & Melancap Di Havana

Menyusuri Havana melalui imaginasi Pedro Juan Gutiérrez

"Like buildings, some novels are exceptionally good, they last, and millions of people visit them. Others are anodyne and vulgar, they attract no one and they collapse with the passing of time. Only mad spirits, daring people, agitators, take the risk of building lasting, moving novels that will disturb and shake their visitors. Madness is decisive."

Novel Pablo Juan Gutiérrez bukan untuk pembaca yang bacul; ia bukan untuk pembaca meja kopi yang hanya tahu mengutuk manusia lain dalam gelap dan tidak berani bergomol dengan raksasa Yunani di belakang dapur; ia bukan untuk pembaca yang membayar tiket saman setiap hujung tahun; ia bukan untuk pembaca "teruna" dan "dara"; malah ia bukan untuk pembaca sastera pun.

Jadi siapa yang patut baca Our GG In Havana? (Atau mana-mana karya Gutiérrez.) Peminat tegar Graham Greene sudah tentu tidak: ini adalah novel tentang Graham Greene di Havana yang akan buat mana-mana peminat Greene menjadi malu (atau menjadi lebih fanatik) untuk mengakuinya sebagai idola. Tetapi Gutiérrez nampaknya adalah idola di Cuba: mereka menggerlarnya sebagai Bukowski Havana. Tulisan mabuk dan gelandangan Bukowski memang bukan selera saya, kerana saya tidak boleh nak mengambil serius bahasa yang tidak mengenali dirinya sebagai bahasa: ia ibarat seorang ahli gusti yang tiba-tiba berhenti bergusti untuk menjual tubuh steroidnya di depan kamera filem. Namun, barangkali, bahasa sebegini yang lebih sesuai untuk seorang penulis dari Cuba seperti Gutiérrez. Ia perlu mabuk dan gila supaya ia boleh melingkar dan berguling di lubang penyangak dan pelacur paling terkutuk di Cuba. 

Saya tidak tahu adakah Graham Greene pernah datang ke Havana atau tidak: ia tidak ada beza pun buat saya kerana kalau Gutiérrez telah sebut dalam novel ini yang Greene juga mengembara ke Kutub Utara di atas kepala ikan paus putih, atau telah terjun ke tengah hutan Amazon bersama lima puluh orang perempuan asli, saya tetap bersedia untuk mempercayainya. Walaupun ada dua orang lelaki bernama Greene dalam novel ini (salah seorangnya dikatakan menyamar sebagai Graham Greene sebenar ketika berada di Havana dan terlibat dalam kes pembunuhan bersama mak nyah bernama "Superman"), itu tidak bermakna mereka ada kaitan dengan Graham Greene yang kita kenali melalui novel The Quiet American dan A Man In Havana. (Greene - ah, sastera Anglo-Saxon bukan lagi gergasi seperti di zaman Dickens dan James; lalu ia membuat kita sunyi dan takut membayangkan populariti Greene sekarang.)        

Di Amerika Latin, penulis yang boleh menjadi teman sejenayah dengan Gutiérrez ialah Rubem Fonseca dari Brazil. Kedua-dua orang penulis ini boleh menjadi pasangan detektif William R. Somerset  dan David Mills yang ditugaskan oleh kapten mereka iaitu Raymond Chandler untuk menyiasat pembunuhan bersiri di Rio de Janeiro dan Havana. Fonseca sudah tentu ialah ketua detektif bagi kes ini kerana dia melihat jenayah secara dekat sebagai anggota polis, sementara Gutiérrez hanya pernah bekerja sebagai penjual ais krim dan akhbar. Fonseca lebih menakutkan buat saya daripada Gutiérrez: kalau membaca Gutiérrez itu ibarat membaca majalah porno di dalam tandas sebuah stesen minyak, maka membaca Fonsenca ialah ibarat membaca majalah porno di tebing bukit di waktu malam yang dingin dengan muncung pistol sedang menikam di belakang kepala anda - dan anda takut membacanya kerana anda takut membayangkan kematian apabila anda habis membaca baris terakhir buku di tangan.     

Suatu hari nanti saya rasa Gutiérrez tidak akan dibaca lagi di Amerika Latin. Buat masa sekarang mereka menyimpannya kerana Amerika Latin masih berada di dalam penjara. Mungkin apabila mereka membuangnya ke laut, dia akan jatuh terdampar di pantai kita, dan seterusnya bangkit sebagai seorang pembunuh psikotik - dan mungkin juga sebagai seorang penyelamat. Mungkin.
 

Comments

Popular Posts