Berjalan Dengan Robert Walser

Robert Walser: penulis Swiss yang berjalan untuk menulis
  
Harold Bloom seingat saya pernah nyatakan yang Beckett dan Chekhov ialah dua orang saints yang berada dalam kanon kesusasteraan dunia. Ini ialah label - iaitu saint - yang aneh, dan barangkali absurd, untuk dilekatkan pada nama seorang penulis seolah-olah penulis ialah Seniman Lapar Kafka yang berada di dalam sangkar persembahan sebuah sarkas antarabangsa; dan kita, selaku manusia biasa, selaku manusia yang makan dan minum dan tidak kenal erti seni menahan diri daripada godaan glutoni, selaku manusia yang berdosa, terpaksa menghadap dan menghampiri sangkar seniman terkenal ini bagi mendapatkan berkat, dan barangkali juga, pengampunan katarsis; dan semakin dekat kita berada dengan seniman ini, dan semakin lama kita merenung jauh ke dalam kegelapan yang membantalkan tubuh kurusnya, kita mendapati pengampunan daripada seniman ini adalah suatu gurauan: penderitaan kelaparan seniman ini adalah suatu gurauan, kerana seni, ternyata, ialah gurauan yang tidak masuk akal buat mereka yang tidak inginkan kelaparan. 

Tetapi saya bersedia untuk menerima anugerah keramat Harold Bloom. Chekhov saya boleh faham: tetapi yang lebih saint di sini ialah orang-orang gelandangan Chekhov berbanding Chekhov sendiri. Sementara Beckett, dia ialah transformasi Seniman Lapar Kafka dalam kehidupan. Sastera itu menjadi lapar dan kurus kerana Bekcett. Sebab itu akan hanya ada seorang Beckett dan tidak ada penulis boleh (malah tidak dibenarkan) menggantikannya. Kerana dengan menggantikan Bekcett bermaksud kita membawa sastera lebih dekat dengan kondisi kebuluran.

Tetapi saya ingin juga di sini mempertikaikan anugerah keramat Harold Bloom. Kerana dia telah silap (dan Bloom memang banyak membuat kesilapan). Ada seorang lagi saint dalam sastera: iaitu Robert Walser. Berbanding Beckett (yang sebenarnya sesuai menjadi sami yang menulis sambil menatap dinding kosong sebuah bilik di puncak pergunungan Himalaya), Robert Walser ialah saint yang lebih sempurna. Kalau Walser dapat mendengar penerangan saya barangkali dia akan ketawa dan menekan kepala saya dengan topinya. Ini ialah seorang penulis yang tidak pernah mengambil dirinya secara serius. Entah-entah kalau diberikan pilihan antara menjadi tajuk sebuah buku dan  menjadi nombor halaman kertas, Walser akan memilih menjadi nombor halaman kertas. Tajuk sebuah buku sentiasa statik dan membosankan. Sementara nombor halaman berubah-ubah: ia sentiasa berjalan ke depan.

Dan dalam dunia Walser, kita sentiasa berjalan; kita sentiasa melihat; kita sentiasa berfikir; kita sentiasa ingat dan lupa; kita sentiasa ketawa dan marah; kita sentiasa menyakini dan meragui; kita sentiasa mempertimbangkan keutuhan dan konsistensi naratif memori kita, dan hubungan memori kita dengan kehidupan. Ada banyak buku yang telah menawarkan saya pengalaman untuk berjalan. Tetapi antara semua penulis yang gemar berjalan dalam penulisan, Walser ialah orang pertama saya akan cari sebagai tongkat dan jaket dan topi untuk pengembaraan saya ke tengah kota. Kafka membaca Walser, dan melalui Walser, Kafka memahami keindahan menjadi marginal. Atau keindahan menjadi orang Cina (untuk meminjam kalimat Walser sendiri).

Sesuai dengan sifat kepengarangan Walser yang marginal dan mikroskopik, karyanya hanya baru saja mula dikenali dan diterjemahkan ke bahasa Inggeris daripada bahasa Jerman. Buku Berlin Stories, terjemahan Susan Bernofsky, ialah antara tempat untuk bermula berjalan bersama Walser. Dan selepas itu... ia bergantung di manakah anda berada... di manakah anda ingin pergi... dan di manakah jalan seterusnya anda ingin susuri. 

(di sini anda boleh baca salah satu cerita Robert Walser)
        

Comments

Popular Posts