Nabokov & Usia Novelis


Untuk seseorang yang masih muda seperti saya, menilai, atau cuba, untuk membahagi-bahagikan, atau meletakkan, pencapaian seorang seniman atau penulis pada tempatnya, barangkali akan dilihat sebagai seseorang yang cuba untuk mengalihkan gunung, atau menempiaskan ombak, atau memanahkan hujan, kerana kita hidup dalam budaya di mana seseorang yang masih muda dilihat sebagai belum layak untuk memberikan definisi pada seseorang yang bukan lagi muda, dan kerana itu ia harus tunduk, terima, dan akui - tanpa curiga atau resah - dan seterusnya, mengikut lingo penerbitan apabila penulis berurusan dengan editor, "memberikan ruang", pada mereka, kerana kita harus mempercayai, atau perlu mempercayai, yang mereka telah berdiri di atas kita, yang mereka telah lama berada di puncak kehidupan sementara kita yang mereka memandang tanpa pun memandang hanya pandangan kabur yang tidak sempat pun dipandang, yang mereka telah hidu dan rasa setiap udara dan air dan tanah, dan kita hanya ibarat penonton di pinggir jalan yang melihat berlalunya rombongan karnival yang belum sempat ditonton dan belum sempat dikenali tokoh sihirnya yang termasyhur. Nabokov membahagikan manusia kepada mereka yang senang tidur dan mereka yang susah, dan pembahagaian ini - barangkali akan turut disetujui oleh Borges - agak aneh, untuk saya sekurang-kurangnya, kerana ia datang dari Nabokov, yang merupakan seorang pecandu insomnia. Kita selalu mendengar tentang semakin meningkat usia seorang manusia itu semakin banyak pengalaman atau semakin banyak rahsia yang boleh dia kongsikan dengan orang lain. Tetapi dalam dunia kesusasteraan usia tidak ada tempat di takhta keabadiannya. Karya lewat Nabokov itu berbeza dengan karya awal Nabokov seperti sangat berbeza karya lewat Thomas Pynchon dengan karya awal Thomas Pynchon. Setiap novelis cuba dengan sedaya upaya untuk naik ke kemuncak penulisannya - selalunya di pertengahan usia - dan apabila sampai di sana dia tidak ada pilihan melainkan untuk turun, dan kita akan dapat, dengan gembira atau duka, melihat novelis ini perlahan-lahan mencari dahan untuk ia berlabuh. Atau tidur. Dan - mungkin - bangun semula, dengan mata berbinar-binar dan sengal-sengal di lutut dan paha, mencari meja tulisnya, dan mencari semula fiksyen: mencari semula kebebasan dari kebebasan usia yang telah hilang.

Comments

Popular Posts