Mata Seorang Kritikus (How Fiction Works oleh James Wood)



Sastera itu jarang sekali melahirkan pengkritik fiksyen seperti James Wood. Henry James dan Virginia Woolf, dua orang pengkritik terbaik sebelum James Wood, lebih dikenali sebagai novelis. Nabokov pun sama. E. M. Forster sudah tidak dibaca lagi. David Lodge terlalu dekat dengan genre novel (dia sendiri ialah novelis) yang dibincangkannya dalam The Art of Fiction. Memang keintiman antara seorang penulis dengan genre yang dipilihnya itu memberikan semacam lesen sah untuk dia menulis esei kritikan. Tengok Shahnon Ahmad cukuplah. Sudah luput tarikh pun masih terus guna lesen itu. Membaca pendapat mutakhir Shahnon tentang fiksyen (dan sastera sudah tentunya) ialah seperti mendengar seorang tetamu bermain piano di loteng rumah kita.

Kritikan memerlukan jarak. Suatu ruang mandiri untuk ia bernafas dan hidup.

Kita mendapat ruang paling besar dalam kanon Harold Bloom. Bayangkan sebuah katedral - dengan pilar roman, lantai marmar, dan kubah kaca berlukisan baroque Eropah - untuk mendapat gambaran dalaman struktur kanonnya. Tetapi kanon ini ialah tempat yang agak membosankan. Tidak ada orang. Kecuali Harold Bloom. Lebih menarik kalau kita pergi arked permainan video Martin Amis dalam The War Against Cliche. Arked ini kecil sahaja; gelap; tepu dengan asap rokok pemain snooker dan pelacur; tandas lelaki ialah tempat Amis menekan penulis-penulis klise ke dalam lubang jamban. Dunia Amis ialah dunia budak jahat. Dan Nabokov ialah tauke ganja di belakang kaunter token.

James Wood bukan tauke ganja atau kaki buli. Arked pun dia tidak ada. Dia ialah anak kesayangan Flaubert. Sang flaneur yang berjalan ke setiap rumah penulis. Kalau kritikus-kritikus lain itu ialah peminta sedekah, James Wood ialah sepupu kecil seorang penulis yang, mahu atau tidak, terpaksa dijemput masuk. Bila sudah masuk, dia memang, tidak akan duduk diam. Diari, surat-surat lama, keratan akhbar, album keluarga, koleksi pingat dan anugerah, malah kalau boleh almari baju pun dia ingin selongkar. Kemudian penulis - tuan rumah itu. Tidak ada detail yang akan terlepas daripada pandangan James Wood ( Chekhov dan Henry James sudah mengajarnya). Dia tidak akan sepak terajang terus seorang penulis seperti Amis. Kaedah James Wood ialah mengupas perlahan-lahan kulit dari kepala ke kaki. Dia akan tengok semua. Setiap bahagian yang telah dibedah akan disusun atas meja dan dari situ baru dia boleh nampak watak seorang penulis. Ada waktunya pembedahan James Wood itu memang menyakitkan. Terutama sekali penulis yang tidak disukainya: Don DeLillo, Zadie Smith, Julian Barnes, Jonathan Franzen, Thomas Pynchon. Pisau bedah James Wood itu sangat tajam. Sekali hiris akan menyebabkan kata-kata dalam sebuah teks itu berdarah.

Kegeniusan James Wood sebagai pengkritik ialah kegeniusan Flaubert sebagai novelis. Mata mereka ialah mata penyair. Saya sudah boleh membayangkan James Wood terkinja-kinja di tempat duduknya membaca pujian ini. Mana tidaknya, mata Flaubert itu juga mata James Wood. Dalam bukunya How Fiction Works dia menyediakan dua bab khusus untuk Flaubert. Di permulaan bab berjudul "Flaubert and Modern Narrative" dia meletakkan Flaubert di takhta teratas tradisi penulisan fiksyen (seperti Amis meletakkan Nabokov di tempat sama):

"Novelists should thank Flaubert the way poets thank spring: it all begins again with him. There really is a time before Flaubert and time after him. Flaubert decisively established what most readers and writers think as modern realist narration, and his influence almost too familiar to be visible. We hardly remark of good prose that it favors the telling and brilliant detail; that it privileges a high degree of visual noticing; that it maintains an unsentimental composure and knows how to withdraw, like a good valet, from superfluous commentary; that it judges good and bad neutrally; that it seeks out the truth, even at the cost of repelling us; and that the author's fingerprints on all this are, paradoxically, traceable but not visible."

Di sini James Wood juga sedang bercakap tentang James Wood. Dengan mendedahkan Flaubert dia mendedahkan dirinya. Setiap bab dalam How Fiction Works boleh dikatakan terbina dari bahan asas yang sama iaitu Flaubert. James Wood tidak ada pilihan lain. Dia sendiri mengakuinya: "We cannot write about rhythm and not refer to Flaubert, and so once again, as if unable to stop rereading the old letters of a former lover, I return to him." Kasihan James Wood. Dia terlalu mencintai Flaubert. Tetapi apa dia boleh buat? Dia tidak ada kanon Harold Bloom sebagai tempat untuk tubuhnya rebah. Kelemahan James Wood, tanpa Flaubert, sangat terdedah dalam bab-bab pendek seperti "Dialogue" dan "Sympathy and Complexity." Lagipun siapa membaca Madame Bovary untuk dialognya? Dialog bukan kekuatan Flaubert. Dan ia juga bukan kekuatan James Wood.

Detail. Bahagian yang kebanyakkan pembaca umum akan lompat untuk mencari aksi seterusnya dalam plot sebuah novel. Itupun kalau memang ada plot. James Wood tidak peduli dengan plot. Cara pembahagian How Fiction Works mengikut nombor dan naratif yang melompat dari satu idea ke satu idea menampakkan kecenderungan James Wood pada struktur pemikiran moden. Malah ada satu bab berjudul "A Brief History of Consciousness." Naratif pemikiran James Wood itu bergerak cepat. Tetapi ia bergerak perlahan dalam pembacaan kita. James Wood melakukan ini untuk menjadikan kita "better readers of detail in literature, which in turn makes better readers of life." Akhirnya, pintu kepada sumber kegeniusan James Wood telah terbuka. Kita menemui kehidupan. Kita menemui Flaubert. Kita menemui hadiah Permaisuri Victoria James Joyce; kita menemui enjin lokomotif bernombor 4 D. H. Lawrence; kita menemui tembikai Chekhov; kita menemui sepatu satin Madame Bovary. Belum ada pengkritik yang meneliti sastera dengan begitu halus seperti James Wood. Tetapi dalam dunia James Wood detail itu mesti detail dari perspektif watak. Bukan penulis. Jadi kita boleh faham kalau dia membiarkan John Updike, David Foster Wallace, Saul Bellow, dan Nabokov menunggu di luar kamarnya sementara dia menolong Flaubert, Chekhov, dan Joyce mengasahkan kuku mereka di tepi tingkap; memerhatikan manusia-manusia di tengah masyarakat.

Buat Borges, dalam cerpen yang penting ialah plot, sementara watak lebih penting dalam sebuah novel. Nama Borges jarang sekali - atau tidak langsung - muncul dalam kritikan James Wood. Sama juga dalam How Fiction Works. Tetapi dalam bab berjudul "Character" dia memilih novel Roberto Bolano (salah seorang pengikut Borges) The Savage Detectives sebagai contoh novel yang menurutnya melukiskan watak secara pascamoden. Novelis pascamoden lain - kalau mereka memang pascamoden - yang dipilihnya ialah Nabokov (Pnin), Muriel Spark (The Prime of Miss Jean Brodie), dan Saramago (The Year of the Death of Ricardo Reis). Ini ialah novel-novel yang mempersoalkan kewujudan watak sebagai watak fiksyen. Tema yang memang sudah telah terlebih dahulu diangkat oleh Cervantes dan kemudian Borges. Namun ia tidak disebut oleh James Wood. Dia lebih berminat, dalam buku ini, untuk mempertikaikan pembahagiaan watak yang dibuat oleh E. M. Forster iaitu "watak bulat" dan "watak leper." Kita tahu di sekolah guru-guru masih menggunakan prinsip Forster yang lapuk itu. Mereka patut membaca James Wood dan lihat bagaimana dia mengangkat kepentingan watak, yang kononnya leper, tetapi kadang-kadang lebih realistik daripada watak bulat sebuah novel. Salina dan Sungai Mengalir Lesu ialah contoh terbaik dari negara kita. Tetapi sayang sekali hal ini tidak pernah disentuh oleh pengkritik apatah lagi guru-guru kita yang memang buta sastera.

Kita tidak wajib membaca buku tentang fiksyen untuk mengenali fiksyen. Seperti kita tidak wajib membaca kritikan sastera untuk mengenali sastera. Namun untuk masuk ke dalam sastera itu ada begitu banyak pintu, jendela, dan laluan rahsia. Seorang pembaca yang masuk ke dalam sastera ialah ibarat Alice yang masuk ke dalam Wonderland. Dunia ini - sastera - ialah dunia yang asing dari realiti kehidupan. Silap langkah kita akan tersesat. Tetapi dengan langkah yang betul kita akan menemui rahsia dan keindahan dunia itu sebagai bekalan untuk dibawa balik ke rumah kita.

Di manakah James Wood di dunia itu? Cuba masuk celah lalang dan rumput dan cari seekor beluncas dengan paip hookah tersepit di bibirnya, dan anda akan menemui James Wood serta hembusan asap kebijaksanaannya berkepul-kepul naik ke mata anda.

Comments

MARSLI N.O said…
Sdr Wan: Saya suka membaca catatan Sdr yang ini "Kita tidak wajib membaca buku tentang fiksyen untuk mengenali fiksyen. Seperti kita tidak wajib membaca kritikan sastera untuk mengenali sastera. Namun untuk masuk ke dalam sastera itu ada begitu banyak pintu, jendela, dan laluan rahsia."

Sungguh mengilhamkan. Juga menyuguhkan pencerahan yang lain.

MARSLI N.O

Popular Posts