Bel-Ami


Agak aneh membaca novel ini pada malam raya. Lagipun saya masih berada di Kuala Lumpur. Bel-Ami ialah novel untuk lelaki lewat dua puluhan yang sedang membina kerjaya dalam masyarakat dan pada sama masih mencari tapak untuk menanamkan benih kebahagiaan. Ini ialah novel yang tidak bermoral. Adakah novel Perancis yang bermoral dan bebas daripada skandal seks? Tetapi itu memang bukan tujuan kita membaca sebuah novel. Mencari sisi-sisi kehidupan itu yang lebih penting. Dan kehidupan dari mata Maupassant bukanlah pandangan yang bersih. Saya lebih suka cerpen-cerpennya. Di situ baru kita akan menemui kegeniusan Maupassant. Sementara novel itu lebih kuat di tangan Flaubert. Saya akan menulis pasal Maupassant nanti. Saya ingin membaca dahulu cerpen Isaac Babel; salah seorang cerpenis yang paling kuat dipengaruhi oleh Maupassant.

Dilihat sekarang Babel itu lebih penting kepada tradisi cerpen berbanding Maupassant. Namun kedua-dua mereka tidak menghasilkan pengikut yang ramai seperti Chekhov dan Borges. Melodrama dan komedi ialah sisi kehidupan yang memang susah untuk seorang penulis merenung dan mencari sumber inspirasi.

Komedi ialah kemuncak kepada sebuah tragedi. Ia ialah kelukaan dengan kedua-dua kaki tergantung terbalik dari dahan sebuah pohon.

Comments

Aidil Khalid said…
Novel ini hanya menjadi "tidak bermoral" sekiranya dibaca dari kerangka pandang yang sempit. Seperti, ehem ehem, Persuratan Baru. =)

Apa pun, perasaan saya bila baca novel ini sama ketika saya baca Hamka -- saya tidak begitu menikmatinya, barangkali kerana aliran ceritanya yang terlalu "mudah" dan tidak ada kompleksiti, tetapi saya mengutip renungannya tentang kehidupan. Antara yang saya suka: "While one is climbing the ladder, one sees the top and feels hopeful; but when one has reached that summit, one sees the descent and the end which is death," dan "A man who has attained his ambition knows what to count on; a man who has his way to make does not know what may come -- it may be better or worse."
Wan Nor Azriq said…
Aidil, saya tak tahu awak ada novel ini :) hujung tahun akan keluar adaptasi ke filem

Popular Posts