Saman (Ayu Utami)


Ketika membicarakan dua novelnya (Saman dan Larung) di Iowa City Public Library pada tahun 2005, Ayu Utami menyatakan bahawa dua novel ini menolak penulisan berbentuk konvensional di Indonesia yang mengutamakan sebuah plot yang lurus. Sebaliknya, dia memilih untuk menyusun plotnya secara tidak kronologi dan membiarkan watak yang berbeza menceritakan pengalaman masing-masing. Teknik ini mungkin baru di Indonesia, tapi Faulkner dan Virginia Woolf sudah terlebih dahulu menggunakannya. Selain itu, novel-novel Faulkner dan Virginia Woolf ternyata lebih kukuh binaan bentuknya dan tidak sama sekali diikat oleh isu-isu politik sementara dan seksual murahan seperti yang terdapat dalam novel Ayu Utami, Saman.

Di permulaan novel ini, pembaca akan dibawa ke latar masa paling depan iaitu tahun 1996 yang menceritakan kisah percintaan seorang wartawan bernama Laila dengan Sihar. Bagi memperkenalkan watak-wataknya, Ayu Utami akan menggerakkan masa ke belakang bagi membolehkan pembaca mengetahui bagaimana Laila bertemu dengan Sihar. Latar masa bergerak ke tahun 1993 di sebuah pelantar minyak. Laila dan rakannya Toni telah datang untuk menulis buku tentang syarikat Texcoil Indonesia, dan di sinilah Laila bertemu dengan Sihar yang berkerja di pelantar minyak itu. Suatu kemalangan telah berlaku di pelantar minyak itu akibat kecuaian pengurus pelantar. Dari situ, Laila mula terlibat dengan perjuangan Sihar untuk menuntut keadilan. Naratif di bahagian-bahagian awal ini adalah biasa kerana cerita percintaan seperti ini bukanlah sesuatu yang baru. Seorang gadis datang ke tempat yang adventure dan terjebak dengan konspirasi sebuah syarikat lalu pada masa jatuh cinta dengan seorang hero yang berani menuntut keadilan. Selain itu, cerita percintaan Laila tidak dibantu oleh bahasa Ayu Utami yang biasa sehingga kadang-kadang nampak seperti laporan seorang wartawan. Seterusnya, Laila bertemu kembali dengan Saman, bekas kekasihnya yang pernah menjadi paderi, tetapi kini aktif sebagai aktivis sosial. Bermula dari sini, Ayu Utami membawa pembaca kembali ke tahun 1983 bagi memulakan kisah hidup Saman.

Kekuatan novel ini bermula dan berakhir di bahagian kisah hidup Saman. Naratif Shakuntala dan surat percintaan antara Saman dengan Yasmin selepas bahagian ini hanya sebuah cerita cinta ala remaja dengan sedikit perencah erotik bagi memikat selera pembaca, di Malaysia dan Indonesia, yang mungkin akan terpegun kerana ada penulis yang “berani” membicarakan subjek seks. Wisanggeni (nama sebenar Saman) ialah watak yang paling jujur dalam novel ini. Maksudnya kewujudan Wis terpisah dengan Ayu Utami kerana setiap tindakan Wis menggambarkan wataknya sebagai seorang paderi yang baik hati. Dia sedia menolong Upi, seorang gadis belasan tahun yang dikurung dalam sangkar oleh ahli keluarganya kerana dikatakan gila dan ketagih seks. Wis juga tolong mempertahankan tanah pihak kampung daripada dirampas oleh syarikat perusahaan. Setelah Wis bertukar menjadi Saman kerana ingin menyembunyikan identitnya, Wis turut bertukar menjadi Ayu Utami. Daripada seorang paderi dia bertukar menjadi seorang aktivis sosial dan lelaki yang mabuk seks dengan kekasihnya Yasmin. Perubahan watak memanglah sesuatu yang normal dalam sebuahh fiksyen, tetapi perubahan yang berlaku ke atas Wis telah mematahkan rentak cerita ketika Wis belum menjadi Saman dan pada sama ia memadamkan terus kekuatan imaginasi Ayu Utami. Naratif Wis ialah dunia imaginasi yang paling mendalam dan simbolik dalam novel ini. Ada semacam unsur tahyul dan fantasi ketika pembaca mengetahui kisah tentang ibu Wis yang tiba-tiba kehilangan bayinya sewaktu bayi itu masih dalam kandungan. Kemuncak naratif di bahagian ini ialah pertemuan Wis dengan Upi. Jika Wis ialah watak paling jujur, maka Upi ialah watak yang paling asli dalam novel ini. Wis tidak asli wataknya kerana selepas dia menjadi Saman, dia telah bertukar manusia politik dan objek seks Ayu Utami. Upi lebih simbolik kewujudannya seolah-olah dia menjadi simbol kepada dilema seks semua watak perempuan dalam novel ini, termasuk Ayu Utami sendiri. Hubungan antara Wis dan Upi menimbulkan konflik seksual yang ironi. Pembaca dapat rasakan bahawa Wis ada keinginan terhadap Upi dan ini barangkali motif sebenarnya apabila dia membina sebuah sangkar baru buat Upi. Keinginan Wis itu tidaklah jelas dan setiap kali Upi cuba menggodanya, dia pasti akan menolak. Penolakkan Wis mungkin nampak seperti penolakkan dosa, tetapi Wis masih terus mendekatkan dirinya dengan Upi dan cuba mengajar Upi bercakap (dalam novel ini Upi menggunakan bahasa yang orang lain tidak faham). Imaginasi Ayu Utami dalam membina watak Wis dan Upi tidak bertahan lama, kerana selepas naratif kembali ke tahun 1996, pembaca dihidangkan dengan cerita cinta komersil dan naratif Shakuntala yang merupakan suara khutbah Ayu Utami dalam novel ini.

Selepas membaca Saman, watak Upi masih berada dalam imaginasi saya. Kegilaan seksual Upi ialah kegilaan seksual wanita moden, tetapi ia ialah kegilaan yang perlu dikawal kerana Upi menimbulkan ketakutan kepada orang-orang di sekelilingnya. Wis sendiri tidak berani melepaskan Upi kerana takut untuk berdepan untuk keinginan nafsu seksnya. Pembacaan Saman ialah untuk mengenali Upi dan konflik seksualnya dengan Wis. Bahagian-bahagian yang lain boleh sahaja diabaikan kerana di situlah bersarangnya kelemahan dan sifat komersil novel Saman.

Comments

fadz said…
review paling baik ttg saman pernah aku baca. tk..
Wan Nor Azriq said…
terima kasih fadz.ingin juga dengar pendapat fadz tentang saman
Aidil Khalid said…
Wah, nampaknya awak mendahului saya dalam membaca Saman. Hehe, padahal seingat saya, saya yang lebih dulu bagi tahu awak tempoh hari yang saya nak cari novel ini. Mana awk dapat novel tu?
Wan Nor Azriq said…
saya pinjam jerr buku ni aidil :)

Popular Posts