Cerpen 1970-an

Sastera adalah suatu bidang seni yang sentiasa inginkan pembaharuan. Tema atau subjek perjuangan sastera tidak pernah berubah kerana setiap karya yang terhasil pasti akan menyentuh aspek kemanusiaan. Cuma, persoalan utama yang diangkat oleh penulis adalah berbeza mengikut zaman. Jadi, jika isi sastera itu sentiasa konsisten, maka yang sering mengalami perubahan ialah bentuk. Ruangan ini ingin mengajak pembaca melihat perkembangan cerpen Melayu sekitar tahun 1970-an.
Saya sengaja memilih era ini kerana kemunculan banyak cerpen yang melanggar teknik konvensional. Pelonggaran teknik bukan sahaja dilakukan oleh penulis veteran, tetapi juga penulis muda yang mula menempa nama seperti Mana Sikana, Razak Mamat, Anwar Ridhwan, Fatimah Busu, Baharuddin Kahar, Othman Puteh dan lain-lain. Kemunculan institusi pengajian tinggi, pendedahan kepada karya luar, dan kemunculan teori sastera Barat juga telah sedikit sebanyak mempengaruhi kreativiti penulis-penulis zaman ini.
Sebelum itu, mungkin ada pembaca yang ingin tahu perbezaan antara cerpen konvensional dan bukan konvensional/eksperimen. Secara mudahnya, cerpen konvensional menggunakan bentuk yang sering kita temui. Ada protagonis yang bulat, berlakunya konflik antara protagonis dan antagonis, perkembangan plot secara kronologi, dan terdapat banyak aksi fizikal berbanding aspek dalaman watak, ini bukan bermakna bahawa cerpen konvensional sudah tidak sesuai ditulis. Kalau dibandingkan antara karya konvensional dan eksperimen, kebanyakkan pembaca masih cenderung kepada yang pertama. Ini kerana karya konvensional selalunya lebih mudah difahami dan tidak menuntut pemikiran yag terlalu tinggi. Maka, ia sangatlah sesuai untuk karya beraliran realisme yang membincangkan masalah masyarakat. Tetapi sekiranya pembaca hanya ingin memanjakan diri dengan karya konvensional,maka perkembangan sastera kita akan menjadi lambat. Akibatnya, penulis-penulis eksperimental akan dipinggirkan hanya kerana karya mereka sukar difahami. Lihat sahajalah apa yang berlaku pada pemilihan KOMSAS baru-baru ini.
Dalam cerpen bukan konvensional, pembaca akan menemui pelbagai penyimpangan . Plot dibiarkan melompat-lompat atau statik. Untuk memahami cerita , pembaca perlu menyusun semula fragmen peristiwa seperti yang terdapat dalam cerpen Pertemuan Di Kuching , karya Abdullah Hussain. Selain itu, ada juga cerpen pada tahun 1970-an yang mula menggunakan teknik stream of consciousness. Cerpen ini memfokuskan kepada kenangan watak, mimpi, monolog dalaman, igauan, dan lain-lain. Contoh cerpen ialah Kelapa Nan Sebatang dan Tak Keruan oleh Shahnon Ahmad. Sebelum 1970-an, plot digerakkan oleh aksi fizikal watak, tetapi pada era ini jiwa dalaman watak yang menjadi penggerak. Ambil sahaja cerpen Anwar Ridhwan bertajuk Dunia Adalah Sebuah Apartment sebagai contoh; watak-wataknya hanya bergerak di dalam sebuah kamar.
Dari segi latar, terdapat dua bentuk latar ketika zaman ini. Pertama, latar yang benar-benar wujud; tetapi kewujudannya hanya berperanan sebagai cermin kepada jiwa dalaman watak. Contoh, cerpen Kelapa Nan Sebatang. Kedua, latar yang berbentuk khayalan atau fantasi. Dalam konteks ini, latar bukan lagi cermin tetapi dunia kejiwaan watak atau pengarang itu sendiri. Contoh, cerpen Fakurdabakia karya Mana Sikana dan Mimpi Yang Bertaburan karya S.Othman Kelantan.

Comments

mohamadkholid said…
AKU SERONOK BACA DUNIA ADALAH SEBUAH APARTMENT
anis sarah said…
jadi, apa signifikannya cerpen eksperimental yang "sukar difahami" ini dengan keperluan masyarakat? ada yang menganggap gaya sebegini sebagai terpesong jauh dan mengarut, penulis hanya 'syok sendiri', sesat dalam dunia ciptaannya. dikhuatiri akan mengelirukan pembacanya pula.

bagaimana dengan cerpen 80-an dan 90-an? 2000?
Wan Nor Azriq said…
Seperti yang saya telah sebut, kebanyakkan pembaca kita masih selesa dengan cerpen konvensional. Hal ini banyak dipengaruhi oleh budaya pemikiran, budaya hidup, dan suasana masyarakat. Ketika zaman 30-an dan 40-an, cerpen2 kita masih dipengaruhi oleh teknik penceritaan tradisional dan romantisisme.Ada unsur jenaka dan didaktik yang relevan dengan zaman itu kerana masyarakat Melayu masih dalam proses melakukan revolusi minda.
Namun, setelah 50 tahun merdeka, kekuatan yang pernah ada pada aliran realisme kini semakin menurun.Masyarakat kita semakin kompleks dan kesan globalisasi telah mewujudkan percampuran budaya. Maka, karya eksperimental adalah alternatif buat penulis kerana ternyata ia mempunyai kekuatan sendiri bagi membincangkan persoalan masyarakat kita hari ini.
Kenyataan saudari anis sarah tentang penulis "syok sendiri" adalah suatu yang subjektif. Penulis sastera menulis dengan hasrat untuk mendidik masyarakat, bukan tulis untuk mansyarakat. Dia ialah pemikir masyarakat, bukan sebaliknya. Benda yang berat dan pahit memang susah untuk ditelan tetapi itulah ubat yang harus diterima bagi mengubati masalah masyrakat kita.
anis sarah said…
terima kasih dengan jawapan yang panjang itu. at least dari huraian anda, saya melihat sesuatu yang lain dengan cerpen eksperimental yang saya tak nampak.
saat omar said…
cerpenis (betul ke terma ini? hehe..lain macam je bunyinya) yang paling saya suka adalah NORA. tetapi setahu saya tak pernah dibukukan (betulkan kalau saya silap) kalau ada buku dan koleksi cerpen Nora boleh hubungi saya..teringin sangat untuk memilikinya
saat omar said…
cerpenis (betul ke terma ini? hehe..lain macam je bunyinya) yang paling saya suka adalah NORA. tetapi setahu saya tak pernah dibukukan (betulkan kalau saya silap) kalau ada buku dan koleksi cerpen Nora boleh hubungi saya..teringin sangat untuk memilikinya
saat omar said…
cerpenis (betul ke terma ini? hehe..lain macam je bunyinya) yang paling saya suka adalah NORA. tetapi setahu saya tak pernah dibukukan (betulkan kalau saya silap) kalau ada buku dan koleksi cerpen Nora boleh hubungi saya..teringin sangat untuk memilikinya
saat omar said…
cerpenis (betul ke terma ini? hehe..lain macam je bunyinya) yang paling saya suka adalah NORA. tetapi setahu saya tak pernah dibukukan (betulkan kalau saya silap) kalau ada buku dan koleksi cerpen Nora boleh hubungi saya..teringin sangat untuk memilikinya

Popular Posts