Kenapa saya menulis?

Ketika menghadiri bengkel MPR baru-baru ini, seorang pembimbing telah bertanya kepada saya dan juga peserta lain, "kenapa anda menulis?" Saya agak terkejut pada mulanya kerana sudah lama saya tidak ajukan soalan ini kepada diri sendiri. Saya pernah tanya soalan yang sama dua tahun lepas sewaktu saya mula-mula melangkah masuk ke dalam lapangan sastera ini. Saya tidak ada jawapan ketika itu kerana saya memang tidak tahu kenapa saya hendak menulis.

Kini, setelah dua tahun berlalu, barulah saya tahu tujuan sebebanar saya menulis: saya ingin mencari diri saya sendiri. Tidak dinafikan memang ada orang menulis kerana nak berkongsi idea dengan masyarakat, menulis kerana wang, menulis kerana nama, menulis kerana nak memperjuangkan nasib masyarakat ("seni untuk masyarakat"), menulis kerana seni, menulis kerana nak memperjuangkan nasib umat Islam, dll. Saya menulis untuk mencari diri saya sendiri.

Saya selalu membayangkan pencarian itu seperti pengembaraan di tengah hutan belantara yang gelap. Kita tidak tahu di mana jalan keluar atau objektif yang hendak dituju. Yang pasti ialah saya sentiasa rasa sesat dan terasing dalam hutan itu. Kalau ada yang pernah membaca novel "Heart of Darkness" anda akan faham maksud saya. Hutan yang saya berada itu sentiasa diselimuti kabus kelabu dan hujan tidak henti-henti mencurahkan air mata kesedihan. Pengalaman yang saya lalui banyak mengajar saya tentang makna kehidupan; iaitu kehidupan menjadi manusia pascamoden, manusia pascakolonial, dan kehidupan menjadi makhluk sosial yang sering dipinggirkan atasn nama kebahagiaan bersama. Dan semua pengalaman inilah yang saya kongsi dengan pembaca. Saya tidak membawa ideologi besar seperti sesetengah penulis, tetapi yang saya bawa ialah pengalaman kehidupan yang saya cernakan dalam bentuk sastera kreatif.

Adakah saya telah menemui diri saya sendiri? Saya rasa pencarian itu akan sentiasa berterusan kerana sudah menjadi naluri jiwa manusia itu untuk membawa dirinya mendekati Tuhan. Dan untuk mendekati Tuhan, manusia itu mesti terlebih dahulu mengenali dirinya sendiri.

Comments

anis sarah said…
salam...
baru ini saya mendengar seseorang menulis kerana ingin mencari dirinya. semoga berjumpa apa yang dicari. sesat dalam hutan adakalanya menyeronokkan, sebab kita tak tahu apa yang ada di depan, mautkah atau jalan keluar yang menanti. teka-teki.
Wan Nor Azriq said…
teka-teki yang membuat kita berfikir tentang kehidupan hehe
typeace said…
wah, wan nor azriq telah melakukan kelainan dalam pentas penulisannya. Saya kagum.

Sedih hati kerana hajat masuk MPR tidak dapat pada tahun ini kerana saya pulang ke Mesir awal. Apapun tahniah!
Shafiq said…
assalamualaikum...abg azriq...saya sokong kata abang tue...Shafiq Mpr 2007
saat omar said…
ye itu memang satu persoalan asas dan kebanyakan seniman pun sehingga ke usia senjanya masih lagi bertanyakan soalan yang sama..kenapa aku menulis, kenapa aku melukis dan sebagainya. dan sudah tentu setiap orang ada jawapannya sendiri.
Dan kalau orang tanya aku kenapa aku menulis, melukis? aku akan jawab entah ...haha :)

Popular Posts