Perjuangan Sastera Baru

Saudara-saudara penulis yang saya hormati,

Marilah kita renung sejenak, dan muhasabah diri tentang siapakah sebenarnya diri kita setelah menjadi seorang penulis? Saya pasti, setiap seorang daripada kita mempunyai alasan tersendiri apabila ingin menceritakan tujuan sebenar “dia” ingin menulis. Tetapi hakikat sebenarnya, kita semua adalah seniman kreatif, dan sama ada kita sedar atau tidak, satu tugas yang kita semua kongsi bersama ialah mencipta sesuatu yang baru, kreatif, menarik, dan bermanfaat. Inilah naluri seorang seniman seperti kita, yang saya percaya akan sentiasa mengusik, malah mendesak kita supaya mencipta sesuatu yang baru. Kita inginkan keunikkn, dan kita mahu keunikkan itu diiktiraf sebagai suatu aliran baru sehingga ia bersemadi dalam diri kita sebagai sebuah identiti diri. Persoalannya sekarang saudara-saudara sekalian, adakah kita sedang bergerak ke arah itu?

Kemunculan teori-teori sastera dan –isme hebat di dunia ini telah datang daripada perjuangan golongan yang menginginkan suatu perubahan. Ia mungkin didorong oleh rasa tidak puas hati terhadap hakikat realiti yang serba tidak adil. Contohnya di Malaysia, kita ada golongan ASAS 50 yang memperjuangkan slogan “seni untuk masyarakat” kesan daripada penindasan masyarakat ketika zaman kolonial. Manakala di USA, telah muncul golongan yang dipanggil Chicago Literary Renaissance yang menentang ledakkan materialisme Selain itu, akan ada juga golongan yang memperjuangkan aliran baru bag merancakkan lagi lapangan sastera yang dilihat semakin tepu dan gersang. Contohnya, aliran Romantisme telah muncul sekitar abad ke-18 kesan daripada keruntuhan aliran Elightment yang terlalu mengagungkan rasionaliti manusia. Aliran sastera terkini iaitu pascamodenisme telah diperjuangkan oleh ahli-ahli falsafah dan linguistik Perancis seperti Derida, Barthes, dan Lacan. Di Malaysia sendiri, kita boleh lihat tempias aliran ini pada penulis seperti S Othman Kelantan, Mana Sikana, Faisal Teharni, dan Zaen Kasturi.

Aliran atau perjuangan yang saya sebutkan di atas telah berjaya kerana adanya golongan yang ingin memperjuangkannya. ASAS 50 telah berjaya kerana ia mendapat sokongan daripada segenap lapisan penjuru; terutama sekali masyarakat. Tetapi sampai bilakah kita ingin menulis mengikut gaya golongan ASAS 50; atau dalam kata mudah sampai bilakah kita ingin menulis mengikut gaya konvensional? Sastera itu sentiasa dahagakan kreativiti, dan di Malaysia, kita dahagakan suatu aliran yang mampu mengeluarkan kita daripada kepompong konvensional yang telah begitu lama berakar umbi dalam tradisi sastera negara. Mengapa hanya ada segelintir penulis kontemporari di Malaysia? Dan mengapa teori-teori sastera tempatan tidak mendapat perhatian masyarakat kita mahupun masyarakat global? Jawapannya kerana tidak ada golongan yang berani memperjuangkan aliran-aliran yang baru. Kita masih terikut-ikut dengan gaya konvensional atau pemikiran konvensional seolah-olah terlalu taksub dengan gaya penulisan sasterawan seperti Shanon Ahmad, A Samad Said, dan Usman Awang.

Saudara-saudara sekalian, tidak dinafikan sasterawan-sasterawan kita memang hebat. Tanpa mereka, mungkin sastera masih berada di tahap lama. Tetapi kita perlu ingat bahawa mereka adalah mereka; Shanon adalah Shanon; dan Usman Awang adalah Usman Awang. Tidak ada penulis yang boleh menggantikan tempat mereka. Dan kita sebagai seniman kreatif, mesti ada keinginan untuk mencipta suatu kelainan; membari nafas baru; atau macam Hemingway pernah kata, kita mesti ada keazaman untuk menewaskan penulis-penulis hebat sebelum kita.

Kita adalah penulis baru. Tidak dinafikan, masih banyak yang kita perlu belajar. Tetapi perkembangan sastera negara berada di tangan generasi muda seperti kita. Saya sekali lagi mengajak saudara untuk renung kembali tentang tugas sebenar kita sebagai seniman. Sekiranya ada keinginan, dan sekiranya kita mampu bersatu, tidak ada matlamat yang tidak boleh dikecapi bersama.

Saya berharap sangat perjumpaan kita selepas Aidilfitri menjadi kenyataan. Tolonglah berikan maklum balas kerana belum ada seorang yang memberikan maklum balas. Dan kalau ada yang ingin ajak rakan-rakan penulis yang lain, memang sangat-sangat dialukan.

Terima kasih.

Comments

Popular Posts